Menangis secara berterusan adalah masalah bayi baru lahir atau
berusia kurang dari setahun yang biasa dihadapi ibu bapa atau penjaga.
Menangis adalah satu cara bayi berhubung untuk menunjukkan mereka mempunyai masalah atau tidak selesa.
Menurut Konsultan Tangisan Bayi, Uswatun Hasanah Mohd Habib, bayi
menangis disebabkan beberapa alasan antaranya kehendak rutin seperti
lapar, mengantuk, mahu sendawa, tidak selesa atau kembung perut.
“Selain
itu, bayi menangis juga disebabkan tidak sihat atau berada dalam
kesakitan. Bukan itu saja, lazimnya semua bayi akan menangis apabila
emosi terganggu.
1. BAYI perlu dibedung dengan betul.
“Gangguan emosi dalam kalangan dewasa berlaku disebabkan tekanan
berbanding bayi yang berpunca daripada perasaan cemas atau berasa rimas.
“Biasanya ibu bapa atau penjaga akan cuba melakukan pelbagai
cara untuk mententeramkan bayi bagi mengenal pasti sebab si kecil
menangis,” katanya.
Tambahnya, ada kalanya bayi berasa rimas
selepas perubahan dialami iaitu daripada alam rahim ke dunia baru.
Justeru, pelbagai bunyi suara yang
didengari akan membuatkan dirinya berasa lemas atau rimas.
Kehilangan
sensasi ketika bayi di dalam rahim juga membuatkannya berasa tidak
selesa. Terdapat lima jenis bunyi tangisan rutin bayi yang boleh
dikenal pasti bagi mengetahui masalah dialami bayi. Antaranya:
1. Lapar - ‘neh’
2. Mengantuk - ‘owh’
3. Tidak selesa (termasuk emosi terganggu) - ‘heh’
4. Kembung - ‘eairh’
5. Mahu sendawa - ‘eh’
Teknik 5S“Disebabkan
itu, teknik ‘rawatan dakapan’ yang dikenali sebagai colic-calm (penawar
sawan tangis) atau suis tutup tangisan bayi diperkenalkan sejak 12
tahun lalu.
“Ia adalah kombinasi lima teknik yang digelar 5S.
Semua teknik ini diilhamkan daripada sensasi di dalam rahim yang
menjadi sebab fetus (janin) kekal bertenang sepanjang sembilan bulan di
dalam kandungan ibu,” katanya.
Kelima-lima elemen teknik
berkenaan bukanlah perkara baru. Hampir semua ibu tahu mengenai teknik
itu, namun tidak mengetahui cara yang tepat untuk melaksanakannya
mengikut turutan yang betul.
Ini biasa berlaku terutama kepada
bayi yang mempunyai masalah kembung atau sensitif. Teknik tepat dan
mengikut turutan yang betul dapat membantu menenangkan bayi dalam tempoh
beberapa minit saja.
Lakukan kelima-lima teknik berkenaan
mengikut turutan dan apabila bayi sudah bertenang atau tidur, letakkan
seperti biasa di tempat tidur.
Sila ambil perhatian, apabila
bayi menangis berterusan, ini adalah satu petanda penyakit yang teruk.
Sekiranya bayi masih menangis berterusan meskipun semua cara sudah
diambil untuk memujuk atau ada petanda selain disebutkan di atas, jangan
ragu terus mendapatkan rawatan di hospital.
Lima teknik berkenaan sesuai dilakukan kepada bayi di bawah usia enam bulan. Antara tekniknya adalah:
1. Bedung (swaddle)Bedung
adalah salah satu teknik meniru posisi bayi dan keterbatasan ruang di
dalam rahim ibu. Ia akan membuatkan bayi berasa seperti sentiasa
dipeluk. Bedung saja tidak mampu mententeramkan bayi yang sedang
menangis, tetapi teknik ini diperlukan kerana dapat mengelakkan tangan
dan kaki terus bergerak tanpa kawalan.
Sebarang cara membedung
bayi boleh digunakan selagi ia dibalut dengan ketat di bahagian abdomen
bagi mengelakkan tangan bayi terkeluar. Elakkan bedung yang ketat di
bahagian kaki dan pinggang agar bayi tidak berasa sakit selain
memudahkan si kecil membengkok atau menggerakkan kaki.
2. Posisi mengiring atau meniarap (side/stomach) Ia
boleh dilakukan dengan memegang bayi dalam posisi mengiring atau
meniarap dengan keseluruhan perut dan abdomen di atas lengan kita.
Teknik
ini meniru posisi bayi semasa di dalam rahim yang sentiasa dalam
kedudukan sisi atau terapung dengan bahagian depan badan mengadap ke
dinding rahim (3D) dan bukannya baring telentang seperti kebiasaan kita
meletak bayi.
3. Bunyi ‘sssh’ (Ssshing sound)Buat
bunyi ‘sssh’ di telinga bayi atau memasang sebarang bunyian yang dapat
menenangkan si kecil. Ini kerana bayi sangat gemarkan bunyian. Ramai
pakar dan banyak kajian membuktikan rahim adalah tempat yang sangat
bising dengan kekuatan bunyi mencecah hingga 90 desibel iaitu lebih kuat
daripada bunyi pembersih vakum.
Bunyi ini datang daripada
pelbagai sumber antaranya bunyi aliran deras darah ibu ke setiap salur,
buka dan tutup injap jantung, proses pencernaan dalam usus serta
bunyian dari dunia luar yang dibuktikan hampir tidak ditapis sebelum
menerobos masuk ke dalam rahim.
Namun, ia langsung tidak
mengganggu janin kerana bunyian akhir yang sampai ke pendengarannya
dikurangkan. Ini kerana gegendang telinga janin masih tebal dengan
telinganya diselaputi verniks dan ruang tengahnya pula dipenuhi dengan
air ketuban.
Justeru, kehilangan unsur bunyian itu meresahkan
bayi dan kita dapat membantu bayi bertenang malah tidur lebih lena jika
dipasang bunyi-bunyian dengan syarat irama yang dipasang cukup kuat. Ia
bagi memastikan bunyian akhir yang sampai ke pendengaran bayi menyamai
kekuatan bunyi yang biasa didengari semasa di dalam rahim.
Ibu
bapa boleh menggunakan pelbagai sumber bunyian antaranya membeli cakera
padat yang mendapat sentuhan teknik jurutera bunyi atau boleh memasang
radio dan televisyen.
Semua sumber ini boleh dipasang pada jarak
empat hingga enam kaki daripada bayi. Selain itu, ibu bapa atau penjaga
juga boleh membuat bunyian ‘sssh’ di telinga bayi.
Bunyi
dipasang lebih kuat di puncak tangisan bayi dan merendahkan kekuatannya
apabila bayi bertenang. Mungkin ibu bapa sedar kebanyakan bayi tidur
lebih lena di siang hari walau berhampiran sumber bunyi aktiviti harian
di dalam rumah. Ia juga menjadi sebab bayi lebih mudah dan kerap
terjaga di malam hari terutama apabila suasana sunyi.
4. Hayunan (swing)Semasa di dalam rahim, hampir setiap masa bayi berasa seperti dihayun apabila ibu bergerak. Bayi memang suka dihayun.
Ramai
daripada kita sedar janin lebih kerap menendang pada waktu malam ketika
ibu tidur. Apabila bayi masih menangis selepas melakukan tiga teknik
di atas, cuba hayun bayi dengan pantas dan kerap.
Namun, bayi
harus dipegang erat. Kepantasan hayunan bayi boleh dikurangkan ketika si
kecil sudah bertenang. Caranya pegang bahagian dagu bayi dan goyangkan
kepala. Pada masa sama lakukan hayunan badan sambil membunyikan ‘sssh’.
5. Menghisap (sucking)Memberi
bayi sesuatu untuk dihisap seperti puting, payudara atau jari bersih
akan mengurangkan tangisan bayi. Bayi gemar menghisap dan kadang kala
ada ibu bapa yang berpeluang melihat imbasan imej janin di dalam rahim
sedang menghisap jari.
Masalahnya, janin mampu mengekalkan jarinya di dalam mulut untuk tujuan menghisap kerana kedudukan dan keterbatasan ruang rahim.
Namun,
bayi tidak boleh membuat perkara yang sama selepas dilahirkan kerana
kemampuan ototnya dan kemahiran menghisap jari yang hanya muncul selepas
berusia empat bulan ke atas. Justeru, bayi perlu dibantu mendapatkan
elemen menghisap untuk mengekalkan ketenangannya.
Kesan membiarkan bayi menangisUjar
Uswatun Hasanah, satu fakta penting yang harus di ketahui oleh semua
orang ialah tangisan berlebihan boleh memudaratkan bayi. Sains
memberitahu kita bahawa bayi akan berasa panik dan resah apabila
dibiarkan menangis tanpa diberi perhatian.
Bukan itu saja, ia
juga boleh memudaratkan bayi serta memberi impak negatif terhadap otak
si kecil. Fakta di bawah adalah penerangannya mengenai perkara ini:
Ketidakstabilan hormon dan bahan kimia di dalam otakKajian
mendapati, bayi yang sering dibiarkan bersendirian dalam suasana
tertekan mempunyai tahap lambakan hormon kortisol (hormon yang
dikaitkan tekanan) yang abnormal.
Dr Allan Schore dari Pusat
Pengajian Perubatan UCLA menjelaskan, lambakan hormon ini memusnahkan
hubungan antara saraf di bahagian penting otak bayi yang sedang
berkembang.
Fakta kemusnahan hubungan antara saraf atau dipanggil
neurotransmitter ini juga dijelaskan sepasukan pengkaji di Universiti
Yale dan Pusat Pengajian Perubatan Harvard.
Mereka mendapati
tahap kemusnahan di dalam otak bayi yang sering dibiarkan menangis
bersendirian menyamai kemusnahan otak orang dewasa yang mengalami
penyakit kemurungan.
Kajian lanjutan berkaitan impak negatif
tangisan terhadap otak menunjukkan bayi mengalami potensi peningkatan 10
kali ganda menjadi kanak-kanak hiperaktif dan kekurangan tumpuan
(ADHD) yang akan alami masalah pembelajaran di sekolah dan mempunyai
kemahiran sosial yang lemah.
Hal ini dapat dijelaskan menerusi
penemuan Dr Bruce Perry dari Universiti Baylor. Kajian berkenaan
mendapati bayi yang dibiarkan menangis untuk tempoh panjang berdepan
dengan stimulasi tekanan yang kronik dan melampau di dalam otaknya.
Situasi ini akan mengubah fungsi dan struktur otak bayi secara amnya.
Kemunduran perkembangan intelektual, emosi dan kemahiran sosialPasukan
Dr Rao dari Institut Kesihatan Nasional Amerika Syarikat membuktikan
bayi yang mengalami episod tangisan berpanjangan (tetapi bukan
disebabkan kolik) pada tiga bulan pertama mempunyai tahap IQ rendah
iaitu purata sembilan mata kurang menjelang usia lima tahun berbanding
kanak-kanak lain.
Kanak-kanak ini juga menunjukkan kelembapan
perkembangan fungsi motor badan. Pengkaji di Universiti Pennsylvania
dan Arizona pula mendapati bayi yang menangis secara berlebihan di awal
usianya mempamerkan kesukaran mengawal emosi seawal usia 10 bulan serta
menjadi sangat cerewet walaupun cuba ditenangkan.
Ini kerana
sistem badan dan otak bayi sudah terbiasa berada di dalam fasa sistem
adrenalin terlebih aktif hasil keresahan dan panik berpanjangan kerana
tangisan mereka diabaikan.
INFO
Sebab bayi menangis:• Lapar dan dahaga
• Mengantuk atau letih
• Kesejukan atau basah
• Minta didukung
• Perlu ditukarkan lampin
• Berada di dalam kesakitan atau tidak selesa