Showing posts with label gstt. Show all posts
Showing posts with label gstt. Show all posts

Wednesday, July 13, 2011

Guru sandaran (GSTT) menang tuntutan saman

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg9k1nfsnUcICGOOog-q3AQyBdXBJ6skiBHH3_f37XtH_xLLw2PY3kemUHbM7tkBC0d6bw6U-CsPKved5VQ8H9NP-xgsnSq_pTJe_YVk5l-fNmUDW_yBR05t2g5MenH8h1hEH9_9x-XzgY/s1600/gstt.jpg

SHAH ALAM: Seorang wanita yang hilang kerja guru sandaran tidak terlatih berikutan kehamilan berjaya dalam tuntutannya apabila Mahkamah Tinggi di sini, semalam mengisytiharkan bahawa dia layak dan berhak dilantik untuk jawatan itu.

Peguam mewakili plaintif, Edmund Boon, ketika ditemui berkata, mahkamah berpuas hati bahawa tindakan pada 12 Januari 2009 untuk menarik balik atau membatalkan lantikan plaintif sebagai guru sandaran tidak terlatih sebagai tidak sah dan terbatal.


Beliau berkata, Hakim Datuk Zaleha Yusof ketika membuat keputusan dalam kamar memerintahkan defendan membayar ganti rugi am kepada plaintif pada kadar faedah 8 peratus setahun dari tarikh penyelesaian penuh yang ditaksirkan kelak. Pada 7 Mei 2010, Noorfadilla Ahmad Saikin, 29, (plaintif) memfailkan saman pemula dengan menamakan tiga pegawai pelajaran daerah Hulu Langat, Chayed Basirun, Ismail Musa dan Dr Zahri Aziz sebagai defendan.

Turut dinamakan dalam saman pemula itu sebagai defendan ialah Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Menteri Pelajaran dan Kerajaan Malaysia.


Antara lain, wanita itu menuntut sejumlah ganti rugi am serta deklarasi bahawa wanita hamil iaitu dirinya (sehingga 12 Januari 2009) layak dan berhak dilantik sebagai guru sandaran tidak terlatih.


Plaintif turut memohon perintah deklarasi bahawa tindakan pada 12 Januari 2009 untuk menarik balik dan membatalkan lantikan beliau sebagai guru sandaran tidak terlatih sebagai tidak sah dan terbatal. Berdasarkan afidavit sokongannya, plaintif mendakwa dia menghadiri temuduga untuk jawatan guru sandaran terlatih pada 2 Januari 2009.

Namun, dia tidak ditanya berhubung status kesihatannya ketika mengisi maklumat peribadi pada borang permohonan. Pada 11 Januari 2009, wanita itu mendapat surat tawaran untuk jawatan guru sandaran tidak terlatih dan memintanya hadir ke pejabat pelajaran Hulu Langat mendapatkan memo penempatan sekolah. Keesokan harinya, dia mendapat memo itu dan ditugaskan mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Kajang dengan gaji RM1,500 sebulan.


“Pada sesi taklimat seorang pegawai pelajaran suruh calon guru perempuan yang hamil mengaku, jadi saya dan dua lagi mengaku. “Tanpa sebarang soalan, pegawai itu menarik balik memo penempatan dengan alasan calon mengandung tidak boleh dilantik sebagai guru sandaran tidak terlatih,” katanya. Pada prosiding semalam, plaintif diwakili Edmund Boon, Honey Tan dan Chan Yen. Manakala, responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Aidha Adha, plaintif Edmund Bon, Honey Tan dan Chan Yen.

Friday, March 4, 2011

13,000 GSTT diambil semula



KINABATANGAN 3 Mac – Nasib hampir 13,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang ditamatkan tugas baru-baru ini bakal terbela apabila kerajaan bersetuju mengambil semula mereka untuk berkhidmat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan berita gembira itu berkata, kerajaan telah meneliti perkara itu dengan terperinci dan meminta Ketua Pengarah Pelajaran mengambil tindakan segera.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan bersetuju untuk menarik semula tindakan memberhentikan tugas kumpulan pengajar tersebut dan berusaha menempatkan mereka di kawasan yang memerlukan.

Bagaimanapun katanya, kumpulan GSTT tersebut harus bersedia ditempatkan di mana-mana kawasan yang diperlukan mereka bertugas di seluruh negara.

“Mereka inginkan jawatan ini, maka mereka juga harus bersedia untuk ditempatkan di mana-mana kawasan yang memerlukan khidmat mereka,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Juara Rakyat dan Majlis Penyampaian Dividen Ladang Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Tongod dan Geran Komunal Lalampas, Tongod dekat sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin.

Sebelum ini kerajaan memutuskan untuk tidak menyambung semula perkhidmatan GSTT yang ditamatkan pada akhir tahun lalu dengan tiada sebarang pelantikan baru bagi tahun ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, individu yang pernah memegang jawatan GSTT sebelum ini, terutama yang berkhidmat selama dua atau tiga tahun akan diberi peluang untuk terus berkhidmat.

“Kumpulan tersebut mempunyai pengalaman mengajar dan khidmat mereka diperlukan untuk mendidik anak bangsa,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kumpulan GSTT yang diberhentikan itu juga akan diberi peluang menjadi guru terlatih dengan menyertai pelbagai kursus meningkatkan kemahiran yang disediakan kerajaan seperti kursus lanjutan dan kursus dalam cuti.

Beliau berkata, penambahan kursus-kursus tersebut bertujuan meningkatkan kemahiran mereka dalam mata pelajaran pilihan seperti Bahasa Inggeris dan Matematik.

Ditanya bilakah kumpulan tersebut akan berkhidmat semula, Muhyiddin berkata, arahan mengambil semula kumpulan GSTT itu telah dikeluarkan kepada pihak terbabit sejak dua bulan lalu.

“Ia kini dalam proses pengurusan logistik dan penempatan semula kumpulan GSTT tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pengambilan GSTT kali ini akan dilakukan dengan lebih teliti dengan memberi keutamaan kepada mereka yang pernah berkhidmat.

Justeru, beliau meminta semua Pengarah Pelajaran Negeri dalam pemilihan nanti supaya memberi perhatian kepada individu yang telah berkhidmat sebagai GSTT sebelum ini dan hanya mengambil mereka yang benar-benar layak.

Monday, January 17, 2011

Jawatan GSTT di Negeri Melaka - Jan 2011


JAWATAN:
- Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT)
(Sekolah Menengah negeri Melaka)

SYARAT-SYARAT:
1. Warganegara Malaysia
2. Umur tidak melebihi 35 tahun bagi siswazah dan 30 tahun bagi bukan siswazah
3. Mempunyai kelayakan akademik yang diiktiraf (Telah tamat pengajian dan dianugerahkan IJAZAH atau DIPLOMA)
4. Mempunyai kepujian Bahasa Malaysia (SPM) atau yang setaraf dengannya dan mendapat kepujian dalam 3
matapelajaran yang lain.
5. Bagi lantikan guru-guru Agama, calon-calon hendaklah mempunyai kelulusan Bahasa Arab sekurang-kurangnya
peringkat SPM, matapelajaran Agama Islam Tinggi ataupun IV Senawi.
6. Pemohon akan dihubungi melalui telefon sekiranya ada kekosongan.

BORANG PERMOHONAN
http://www.jpnmelaka.gov.my/portal/images/stories/borang_guru_gstt_2011.pdf

Sila Sertakan bersama borang permohonan
1. Salinan Sijil SPM ( sekurang-kurangnya memperoleh 4 kepujian ) yang DIAKUI SAH
2. Salinan Sijil STPM ( sekurang-kurangnya Lulus Kertas Am + 2P + 2R ) yang DIAKUI SAH, JIKA ADA
3. Salinan Kad Pengenalan dan Salinan Sijil Akademik SAHAJA yang DIAKUI SAH
4. Salinan skrol Ijazah/Diploma yang DIAKUI SAH

Hantarkan kepada alamat berikut:

Pengarah
Jabatan Pelajaran Melaka
Jalan Istana,
75450 Bukit Beruang
Melaka
( u.p : Unit Sekolah Menengah )

Tarikh Tutup : 31 Januari 2011

Friday, January 14, 2011

Guru sandaran rayu sambung kontrak


Sebahagian daripada guru sandaran tidak terlatih (GSTT) menunjukkan berita mengenai nasib mereka selepas tidak disambung tugas sebagai guru walaupun ada kenyataan pihak tertentu mengekalkan jawatan itu di Kangar, semalam.


KANGAR 5 Jan. - Harapan sekumpulan guru sandaran tidak terlatih (GSTT) di negeri ini untuk sentiasa bergelar guru musnah setelah ditamatkan kontrak perkhidmatan walaupun ada di antara mereka pernah mengharumkan nama sekolah.

Lebih menyedihkan, mereka sudah lima kali membuat permohonan untuk mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) namun jawapan yang diterima mengecewakan.

Ada di antara mereka yang telah menjadi GSTT sejak tiga tahun lalu malah mereka merupakan antara GSTT yang tidak pernah merungut untuk berkhidmat sebagai pendidik walaupun pada cuti sekolah.

Sehubungan itu, mereka merayu Kementerian Pelajaran untuk menyambung khidmat mereka dan mempermudahkan pengambilan KPLI dan DPLI dengan mengutamakan GSTT yang telah mempunyai banyak pengalaman mengajar.

Menurut GSST berkenaan iaitu Suriani Shahidan, 27; Aznida Hassan, 26; Habibah Saad, 29; Haniza Hashim, 26; dan Tarmizi Shukeri, 28; pengalaman menjadi guru amat bernilai dan mereka berharap dapat meneruskan profesion tersebut.

"Kami bukan tidak mahu mencari kerja lain namun jiwa kami telah sebati dengan tugas mendidik malah kami pernah memohon Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan sekolah swasta namun tiada jawapan," kata mereka kepada pemberita di sini hari ini.

Mereka merupakan antara GSTT yang sangat meminati bidang pendidikan malah sanggup dihantar ke kawasan pedalaman di negara ini untuk menjadi guru.

"Kami bukan berjanji kerana belum dapat jawatan ini, tetapi memang kami menyintai bidang perguruan malah kami tidak kisah jika dihantar ke mana sahaja walaupun ke Sabah atau Sarawak."

"Sekali kami dipanggil cikgu biarlah selama-lamanya kami dipanggil cikgu juga," ujar mereka.

Mereka juga berharap agar dapat diterima masuk mengikuti kursus berkenaan dalam tempoh yang terdekat memandangkan usia mereka menghampiri had umur kelayakan memohon kursus itu.

Bagi Tarmizi, kejayaannya mengharumkan nama sekolah dalam sukan bola tampar merupakan saat yang paling manis dalam hidupnya.

Dia yang menjadi jurulatih sukan berkenaan untuk kategori bawah 18 tahun dan bawah 16 tahun berjaya menempatkan sekolah itu di tempat ketiga dan kedua pada Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Perlis (MSSPs) tahun lalu.

"Malah dua pelajar sekolah berkenaan telah dipanggil untuk mengikuti Latihan Pembangunan Bola tampar Perlis kerana kejayaan sekolah justeru saya sangat berharap ada pihak yang menghargai usaha saya dan rakan-rakan dengan menerima kami sebagai guru tetap," katanya.

Friday, December 10, 2010

12 ribu GSTT TIDAK akan diberhentikan

Beberapa hari lepas, aku dengar berita yang agak panas. Dengarnya, Kementerian Pelajaran tidak akan memberhentikan sebahagian daripada 12,000 guru sandaran tidak terlatih (GSTT) di seluruh negara yang bakal tamat kontrak tahun ini. Wahh, ini satu berita baik. Nak dengar berita lagi baik?

Tarik nafas dalam-dalam. Ok, ini dia. GSTT Bakal diserap ke jawatan tetap secara berperingkat jika mengajar lebih 3 tahun. Tu dia!! Tak kesahlah secara berperingkat ke secara pairing ke atau melintang dan menegak, janji diserap ke jawatan tetap. Aku yakin ini yang ditunggu oleh kawan-kawan GSTT aku yang lain. Mesti gembira sakan bila baca paper 3 Disember yang lepas. Sekali lagi, hanya yang mengajar lebih 3 tahun. Maksudnya yang setahun dan dua tahun, lom cukup layak lagi rasanya..

Selain itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata ia bagi memastikan kekurangan tenaga pengajar di sekolah dapat diatasi dan pendidikan pelajar juga tidak akan terganggu. Bagi guru GSTT tamat tempoh perkhidmatan tahun ini mereka tidak diberhentikan, malah bagi mereka yang sudah menerima surat diberhentikan perkhidmatan, ia akan ditarik balik. Kita mempunyai guru GSTT yang berkhidmat di sekolah rendah dan menengah. Semua guru direkrut Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), katanya di sini, semalam. Bagaimanapun katanya, kementerian sudah membuat keputusan tidak membenarkan JPN melatih guru GSTT, sebaliknya akan diselaraskan dengan lebih sistematik. Sumber: Berita Harian 3 Disember 2010

Haha, makin ramailah GSTT yang gembira. Dan yang paling best, kalau korang dah ditamatkan tak kiralah pada bulan Oktober ke November ke Disember ke, ianya akan ditarik balik. Cuma aku nak tanya, tarik balik tu serta-merta ke? Kalau bacaan dalam paper tu, kira macam serta-merta.

Jadi, bonus RM500 tu, kawan-kawan GSTT ni dapat ke tak? Ke kena pulangkan balik? Bagi aku, bagi ajelah GSTT duit RM500 tu. Kira macam hadiah untuk mereka sebab dah penat kerja dekat 10 bulan jadi guru. Bukan senang nak jadi guru sandaran tu..

Ps: Tahniah buat 12 ribu GSTT tersebut. HOho..



Berita baik bagi guru sandaran

http://blog.hedayat7.com/wp-content/uploads/2008/12/612px-kementerianpelajaran_putihsvg.png

MELAKA 24 Okt. - Kementerian Pelajaran merancang menyerap masuk guru sandaran tidak terlatih (GSTT) yang berkhidmat melebihi lima tahun ke dalam program Kursus Dalam Cuti (KDC) sebelum layak memegang jawatan tetap.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pihaknya sedang mengenal pasti GSTT yang berkhidmat lebih lima tahun daripada keseluruhan 12,000 orang yang mengikuti KDC.

Menurutnya, kementerian tidak mampu menyerap masuk kesemua GSTT mengikuti KDC memandangkan tempat yang disediakan agak terhad.

''Bagi memenuhi permintaan pelbagai pihak untuk mengambil guru sandaran ke jawatan tetap, mungkin kita boleh ambil GSTT yang berkhidmat lebih lima tahun mengikuti KDC sebelum mereka diserap ke jawatan tetap," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menutup Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) ke-22 di sini hari ini.

Katanya, kementerian menganggarkan kurang 1,000 GSTT yang sudah berkhidmat lebih lima tahun ketika ini.

''Jumlah mereka amat kecil, tidak sampai beribu orang, hanya mereka ini yang mungkin dipilih mengikuti KDC sebelum boleh diserap ke jawatan tetap," katanya.


Beri peluang guru sandaran diserap jadi guru tetap

http://duniacikgu.files.wordpress.com/2010/10/serap-gstt.jpg

Saudara Pengarang,
ISU guru siswazah yang tidak mencukupi di sekolah khasnya di kawasan pedalaman memang bukan perkara baru di negara kita terutamanya di negeri seperti Sarawak dan Sabah. Baru-baru ini kita dikejutkan lagi dengan cabaran yang bakal dihadapi oleh guru-guru sekolah di negara ini yang menghendaki agar mata pelajaran Matematik dan Sains diajar dalam Bahasa Inggeris. Di kawasan pedalaman, masih ada guru yang mengajar menengah atas dengan hanya memiliki kelayakan SPM.

Pengalaman mengajar di empat buah sekolah di sekitar kawasan Sarawak selama 5 tahun (sebaik sahaja menamatkan pengajian saya di sebuah universiti tempatan pada awal tahun 1997) telah sedikit sebanyak mematangkan saya tentang alam pendidikan. Bidang pengurusan yang dipelajari di IPTA tersebut dipergunakan sebaik mungkin walaupun ia tidak berkaitan secara langsungnya.

Malah sekarang ini, jawatan sebagai Ketua Panitia yang diamanahkan kepada saya oleh rakan-rakan Panitia yang lain (yang lama menjadi guru tetap) masih digenggam erat dan amat berbangga mengenainya walaupun hanya bergelar sandaran. Pencapaian yang memberansangkan dalam mata pelajaran serta kepelbagaian teknik pengajaran yang bersesuaian dengan tahap pelajar menyebabkan saya sering menerima pujian dan kadang-kadang terlupa bahawa diri ini hanyalah guru sandaran.

Pelbagai kursus yang berkenaan dengan bidang pengajaran dan pembelajaran telah dihadiri malah sijil kursus yang diperoleh semasa menjadi Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) ini lebih banyak berbanding dengan yang diperoleh semasa di alam persekolahan. Ini termasuklah sijil jurulatih sukan dan jurulatih pertolongan cemas.

Bagi GSTT, saat yang paling mendebarkan adalah apabila guru tetap datang ke sekolah, ramai yang berpeluh walaupun bilik guru berhawa dingin. Persoalan utama yang meniti di bibir mereka adalah ``guru itu mengajar subjek apa?'' Jika kena pada subjek yang diajar oleh GSTT, maka walau sebanyak manapun sumbangan yang telah mereka curahkan kepada sekolah sebelum ini, semuanya tinggal kenangan kerana terpaksa mengucap selamat tinggal kepada sekolah berkenaan.

Ada yang bertanya mengapa tidak memohon Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI)? Entah berapa kali sudah memohon, semuanya hampa. Jawapan yang selalu ditujukan kepada saya ialah ``ingin memberi peluang kepada GSTT yang telah lama mengajar'' dan ``ijazah anda tidak berkenaan dengan subjek yang dipohon.'' Keputusan yang cemerlang dalam SPM dan STPM rupanya-rupanya tidak banyak membantu hanya kerana saya memiliki ijazah pengurusan.

Saya terlalu memilih pekerjaan? Tidak, sudah semestinya tidak. Malah persoalan yang seharusnya timbul di sini ialah adakah pekerjaan ingin memilih saya? Sebaik sahaja menerima gelaran siswazah, pelbagai jawatan telah cuba dipohon.

Tajuk lagu yang sering dimainkan oleh si penemuduga ialah ``anda belum ada pengalaman'' (belum termasuk lagi liriknya). Bagi mencari pengalaman jawatan sebagai penolong pula yang dijadikan sasaran, lagu overqualified pula yang datang.

Nasib GSTT mungkin tidak sebaik guru Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang besar kemungkinan diserap ke sekolah kebangsaan. Apa yang cuba disampaikan di sini ialah berilah peluang kepada GSTT untuk diserap ke dalam sistem pendidikan atau diserap menjadi guru tetap khasnya yang telah mempunyai pengalaman mengajar lebih daripada lima tahun dan memegang pelbagai jawatan di sekolah.

Saya percaya ramai lagi yang mengalami nasib yang sama seperti saya malah yang paling lama berkhidmat sebagai GSTT yang pernah saya temui ialah berpengalaman mengajar selama lapan tahun dan memegang pelbagai jawatan penting di sekolah. - GSTT MALANG, Kuching, Sarawak.



Monday, December 6, 2010

Harapan guru sandaran belum kesampaian...



GURU tetap atau sandaran, matlamat tetap sama mahu menjadikan murid cemerlang dalam akademik, berakhlak mulia. - Gambar hiasan

MENCEBURI bidang pendidikan bukanlah suatu tugas yang mudah kerana dunia pendidikan dewasa ini penuh dengan pelbagai cabaran. Tanpa minat yang tinggi dalam bidang pendidikan, saya percaya seseorang itu tidak dapat menjalankan tugas sebagai seorang pendidik dengan sempurna. Akibatnya, timbullah kerja seperti melepaskan batuk di tangga.

Apabila sudah berada dalam dunia pendidikan, walaupun hanya sebagai Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT), saya telah jatuh cinta dengannya. Cita-cita telah ditanam sejak di bangku sekolah untuk menjadi cikgu tetapi tiada rezeki untuk menyambung pengajian dalam bidang pendidikan.

Alhamdulilah, tamat sahaja pengajian, saya memohon menjadi GSTT dan akhirnya berjaya menempatkan diri di sebuah sekolah cemerlang di daerah saya. Kini sudah hampir setahun saya bergelar pendidik. Alhamdulillah kerana minat yang mendalam di samping kerja itu dilakukan dengan hati yang ikhlas, segala kerja yang dilakukan berjalan dengan lancar dan segala masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan mudah.

Persoalannya di sini, ke manakah arah guru sandaran seperti saya? Untuk pengetahuan semua, terlalu ramai guru sandaran yang ingin menjadi guru tetap. Bayangkan terdapat guru GSTT yang telah memegang jawatan tersebut hampir empat tahun dan mungkin lebih daripada itu.

Usaha telah dilakukan dengan memohon Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) tetapi mungkin rezeki tidak menyebelahi kami golongan GSTT ini kerana itulah kami terus dengan gelaran GSTT. Apabila kami terus sebagai GSTT kami agak sukar untuk merancang sesuatu untuk masa hadapan kerana apabila terikat dengan kontrak (setahun) adakah kami akan disambung perkhidmatannya untuk tahun berikutnya? Perkara ini sering menghantui kami.

Tugasan GSTT disekolah adalah sama seperti guru-guru yang lain. Menjadi guru kelas, mengajar dengan masa yang penuh, menyertai aktiviti kokurikulum, membuat soalan peperiksaan atau ujian, menyertai pelajar untuk perkhemahan, lawatan dan banyak lagi (boleh dikatakan semua tugasan guru kami lakukan). Bagaimanapun kerana minat, kami tidak pernah rasakan semua ini sebagai bebanan. Kami anggap sebagai satu tanggungjawab dan pengalaman yang akan mengajar kami menjadi pendidik yang matang.

Sesungguhnya pengalaman akan mendewasakan kita. Pujian yang tidak terhingga kepada sebilangan guru-guru di sekolah yang tidak pernah mengenepikan kami sebagai guru sandaran tetapi peluang sentiasa diberi untuk kami menguruskan pelajar. Pengalaman yang diberi terlalu berharga.

Harapan saya agar peluang untuk mengikuti pengajian KPLI dan DPLI diutamakan kepada GSTT. Ini kerana segala aspek praktikal sebagai seorang guru telah kami lalui sepanjang bergelar GSTT.

Selain itu, kami golongan GSTT di seluruh negara sangat berharap kementerian membuka peluang untuk kami mengikuti Kursus Dalam Cuti (KDC). Sememangnya KDC untuk GSTT telah dibuka tetapi hanya pada sesetengah bidang sahaja, contohnya GSTT yang mengajar kelas pemulihan.

Tetapi untuk pengetahuan semua, tidak semua GSTT mengajar kelas pemulihan. Maka bagaimana dengan nasib kami GSTT yang mengajar subjek lain seperti Bahasa Melayu, Sejarah, Geografi, Sivik, Matematik dan lain-lain? Pertimbangan daripada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia amatlah dihargai.

Seri Johor

Serap GSTT ke jawatan tetap

KUALA LUMPUR 12 Okt. - Kementerian Pelajaran bakal memperkenalkan mekanisme bagi membolehkan lebih ramai guru sandaran tidak terlatih (GSTT) diserap ke jawatan tetap pada masa hadapan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kajian khusus mengenainya sedang dijalankan dan ia dijangka dapat disiapkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, kementerian sedar ketika ini terdapat ramai GSTT yang berkebolehan serta berkemampuan namun gagal menempatkan diri ke jawatan tetap kerana tempat yang disediakan adalah terhad.

"Bagi membolehkan mereka diserap ke jawatan tetap, kementerian menggalakkan GSTT memohon mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI). Namun kami sedar, bukan semua 12,546 GSTT akan diterima kerana tempat yang terhad.

"Justeru, satu kajian khusus sedang dijalankan dan kita akan mengetahui hasilnya dalam masa terdekat. Kementerian prihatin dengan nasib guru berkenaan kerana ada antara mereka yang telah berkhidmat lebih daripada lima tahun," katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang meminta kementerian menyatakan sama ada wujud dasar menyerap semua GSTT ke jawatan tetap setelah mengikuti Kursus Dalam Cuti (KDC).

Sementara itu, Mohd. Puad menjelaskan, kementeriannya masih meneruskan program KDC dan Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM) bagi menyerap GSTT ke jawatan tetap.

"Seramai 1,400 guru GSTT akan menyertai kedua-dua program tersebut 22 November depan bagi melayakkan mereka diserap ke jawatan tetap.

"Bagi yang tidak terpilih KPLI, KDC dan KDPM, Kementerian Pelajaran prihatin dengan nasib mereka. Menyedari minat serta kelayakan yang ada pada GSTT, sebab itulah kementerian menjalankan kajian tersebut," ujarnya.


Coretan moka :

Semoga ia akan menjadi kenyataan, kerana ramai guru-guru gstt yang berkaliber dan berkualiti untuk menjadi guru tetap. Disebabkan oleh peluang dan rezeki belum menyebelahi mereka, ia telah membantut impian guru gstt untuk menjadi guru tetap.