Showing posts with label Petikan Akhbar. Show all posts
Showing posts with label Petikan Akhbar. Show all posts

Thursday, July 11, 2013

Mengamuk tak sahur

Kuala Lumpur: Kepalanya dihentak ke dinding selain ditampar, ditumbuk dan disepak lebih 20 minit. Itu ‘harga’ terpaksa dibayar seorang wanita berusia awal 20-an kerana dikatakan tidak mengejutkan suaminya bangun bersahur, semalam.
Dalam kejadian jam 8 pagi di rumah mereka di Kampung Baru, di sini, isteri yang cedera di kepala dan badan akibat tindakan ganas suaminya membuat laporan di balai polis berhampiran rumahnya.
Sumber polis berkata, sebelum kejadian isteri muda yang belum mempunyai anak itu terjaga daripada tidur apabila mendengar bunyi pinggan pecah di dapur rumahnya.
“Dia bergegas ke dapur dan melihat suaminya sedang menghempaskan pinggan. Apabila ditanya mengapa, lelaki itu tidak memberi jawapan sebaliknya memaki hamun mangsa.
“Selepas puas memaki hamun baru suaminya yang berusia 20-an itu menjelaskan dia berang kerana isterinya tidak mengejutkannya bangun bersahur,” katanya. Menurutnya, mangsa memberitahu dia sudah mengejutkan suaminya jam 5 pagi namun tidak diendahkan menyebabkan dia bersahur seorang diri.
Sumber itu berkata, mangsa kemudian cuba menenangkan suaminya itu dengan meminta maaf di atas kesilapannya, namun dia dibelasah.
“Mungkin disebabkan tidak puas hati dengan penjelasan isterinya, suspek hilang pertimbangan lalu menumbuk, menampar dan menyepak isterinya itu.
“Lebih kejam, lelaki terbabit turut menghentak kepala isterinya ke dinding rumah dan hanya berhenti memukul mangsa selepas wanita itu hampir pengsan,” katanya.
Menurutnya, suspek kemudian dengan selamba meninggalkan rumah tanpa menghiraukan isterinya yang kesakitan manakala mangsa segera menghubungi rakannya meminta bantuan sebaik saja ditinggalkan.
“Mangsa yang dibantu rakannya itu membuat laporan di balai polis berhampiran rumahnya sebelum menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian dan siasatan masih dijalankan.

CM : Macam ni pun ada, dalam berumah tangga perlu ada tolak ansur baru bahagia...

Sunday, July 7, 2013

Polis Kelantan kenal pasti suspek tembak guru

Guru cedera ditembak
Mangsa dibawa ke HRPZ II untuk menerima rawatan selanjutnya selepas ditembak di Pasir Mas.
KOTA BHARU - Polis telah mengenalpasti seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian tembakan membabitkan seorang guru di Kubang Panjang, Pasir Mas, semalam.
  
Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata lelaki itu juga disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah dan dikenali oleh mangsa.
  
Beliau memberitahu perkara itu kepad pemberita ketika ditemui selepas majlis sambutan Kor Kadet Polis Ke-43 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.
  
Dalam kejadian pada 12.15 tengah hari semalam, seorang guru di sebuah sekolah rendah di Tumpat cedera ditembak di bahagian leher. Guru yang berasal dari Kampung Tualang, Pasir Mas itu kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II dan keadaannya dilapor stabil.
  
Jalaluddin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
  
Pada majlis itu, seramai 160 pelajar tingkatan empat dan lima dari sekolah di semua daerah negeri ini terlibat dalam perbarisan.  - Bernama

CM - Masyaallah, sekarang ni hari-hari kita dengar kes tembak-menembak. Semoga kita semua dilindungi oleh Allah SWT.

Saturday, July 6, 2013

Babak akhir sebelum Mursi ditahan

Mohammed Mursi
Mohammed Mursi
‘ASTAGHFIRULLAH, Astaghfirullah, Astaghfirullah, ALLAHUAKBAR’ mulutnya tidak pernah lekang dari terus berzikir memohon pertolongan Yang Maha Esa.

“Ini adalah ujian ALLAH buatku, DIA maha mengetahui dan DIA tahu aku mampu menanggung dugaan ini,” bisiknya di dalam hati.

Jam di dinding rumah Kelab Pengawal Presiden Republikan di Kaherah dipandang beberapa kali sambil bersilang tangan.

Langkahnya ke kiri dan ke kanan dari bangun dia duduk dan berjalan ke jendela. Perkara itu dilakukan sejak awal kedatangannya ke pejabat baru di rumah itu, seolah menanti sesuatu.

Pintu diketuk dan sekumpulan tentera menyerbu masuk ke pejabat gerakan itu. Keadaan sedikit huru hara kerana lebih daripada sepuluh anggota pergerakan itu cuba menghalang kehadiran tentera daripada berjumpa beliau.
“Tidak mengapa biarkan mereka masuk dan sediakan kerusi,” pintanya memberi arahan kepada seorang ahli kumpulan itu.

“Silakan duduk Encik Abdel, apa hajat dan apa yang boleh saya bantu,” katanya kepada Menteri Pertahanan, Jeneral Abdel Fattah al Sisi dengan tenang. 

Hatinya yang dari malam kelmarin dirundung keresahan itu terlerai lalu berdetik adakah saatnya sudah sampai? Adakah aku akan berpisah dengan isteriku, Najlaa yang selama ini menjadi kekuatanku dan lima anakku, tiga orang cucuku serta ratusan pengikutku?

Wajah Abdel ditatap tanpa gentar.

“Tuan Presiden, kami hanya ingin membuat permintaan mudah, tempoh 48 jam telah berlalu dan kami mohon tuan mengumumkan peletakan jawatan bagi mengelakkan lebih banyak nyawa terkorban dan protes di negara ini,” kata Abdel.

“Kamu langkah mayat saya dahulu. Saya rela mati demi rakyat Mesir. Perjuangan ini akan saya teruskan hingga ke titisan darah terakhir,” katanya sambil menggenggam erat kerusinya, menahan marah.

Bergelar Hafiz dan dibesarkan dengan penuh didikan agama tidak memungkinkan beliau untuk bangkit menerajang tetamu tidak diundang itu. Tingginya pegangan agama beliau membuatkan dia menjadi insan paling sabar sekuat imannya.

“Tuan...rakyat, ulama, hakim dan anggota keselamatan, Perdana Menteri Hesham Kandil semuanya mendesak tuan untuk berundur. Terlalu banyak kesilapan yang telah tuan lakukan. Banyak jawatan kerajaan tuan serahkan kepada Ikhwanul Muslimin, masalah ekonomi gagal ditangani. Berundurlah!,” pinta Abdel.

“Kamu langkah mayat aku dulu!,” Mursi mengulangi kata-katanya itu.

Hakikatnya, puluhan kereta perisai telah ditempatkan di jalan-jalan utama sekitar bandar Kaherah. Puluhan khemah didirikan oleh penyokong anti Mursi dan pejabat Ikhwanul Muslimin juga sudah beberapa kali di pecah.

“Sekiranya tuan tidak mahu mengikut arahan kami, saya menggunakan kuasa sebagai menteri untuk mengarahkan tuan dan pengikut lain dikenakan perintah tahanan di rumah. Tuan dan pengikut lain tidak dibenarkan keluar, semua talian media dan telefon terpaksa diputuskan. Ini ARAHAN TERAKHIR KAMI!,” katanya dan terus berlalu meninggalkan Mursi.

“Jangan susah ALLAH sentiasa melindungi kita dan ada penyelesaian untuk masalah ini. Anda jangan melawan dan hanya mengikut arahan sahaja, biarkan mereka berkuasa tetapi yakinlah ALLAH akan membantu kita,” katanya kepada pengikut beliau yang mulai kecoh.

Kira-kira setengah jam kemudian, sepasukan tentera komando menyerbu ke rumah itu mengacukan senapang ke arah ahli pergerakan Ikwanul Muslimin.

“Jangan halang tugas kami! Kami menerima arahan untuk membawa Mursi pergi!,” kata seorang komando.

“Jangan! Jangan! Jangan! Tidak kamu tidak boleh buat begitu, Tuan Mursi tidak melakukan kesalahan dan atas tujuan apa dia ditangkap dan ke mana dia akan dibawa? Biarkan aku ikut serta, tangkaplah aku sekali, aku rela berjuang bersama dia?” teriak timbalan ketua pergerakan itu, Rashad Bayoumi.

“Itu bukan urusan kamu!,” balasnya.

“Tuan sila ikut kami!” Lengan Mursi digenggam dan pemimpin itu akur mengikut arahan.

Di ruang rumah itu jugalah puluhan media berkumpul untuk menjadi saksi penahanan Mursi.

“Tentera telah membawa Mursi pergi dan kami yakin Abdel tidak akan melayan tuntutan kami. Kami naif....Kami tidak sangka Jeneral mengkhianati Presiden yang melantiknya dahulu,” kata jurucakap Ikhwan Muslimin, Murad Ali kepada sekumpulan media.

“Anda yakin Mursi tidak akan meletakkan jawatan selepas ditahan?,” tanya seorang wartawan.

“Tidak! Kami dan beliau sanggup dipenjarakan, Mursi tidak akan memberikan kuasa kepada tentera,” katanya.

“Adakah anda sedar tempoh 48 jam telah berakhir tetapi kenapa Tuan Presiden masih berdegil?,” tanya wartawan itu lagi.

“Wahai pemberita anda perlu tahu pada 23 Jun lalu arahan itu datangnya dari cetusan idea Duta Amerika Syarikat, Anne Patterson! Adakah kamu tahu, Asaad el-Sheikh dan Rifaah el-Tahtawy adalah sekutu AS. AS selama ini berpura-pura simpati terhadap nasib tentera Mesir berpangkalan Port Said dan Ismailia di Terusan Suez adalah SANDIWARA!

“Kamu tahu tujuan AS bersimpati adalah mahu mewujudkan sekutu tentera yang baru!, Adakah anda ingin membiarkan perkara itu berlaku? Di manakah maruah Umat Islam dan anda sebagai rakyat Mesir?” jelas Ali.

************

“Najlaa, aku rasa demi keselamatan kamu, anak-anak dan cucu kita, elok la kita berpindah. Istana Ittihadiya tidak selamat. Aku dapat rasakan kebangkitan rakyat untuk menentang pemerintahanku akan berlaku pada 30 hari bulan ini. Kita belum terlambat. Masih ada enam hari untuk kita bersiap dan mengemas. Bawalah Al-Quran, pakaianmu dan sejadah lebih supaya senang pengikutku untuk berjemaah di rumah kelab nanti,” katanya.

“Baik dan segala tuntutanmu akan ku penuhi. Kamu jangan bimbang keselamatan kami dilindungi ALLAH,” kata wanita tabah itu.

Sejurus tiba di rumah kelab, kelihatan barisan puluhan tentera mengawal di sekitar kediaman itu. Berpakaian lengkap dengan senjata.

“Helo, Tuan Presiden. Abdel sini. Tuan tahu apa yang berlaku di luar sana?”

“Ya saya tahu Jeneral.” kata Mursi pendek.

“Tuan, tempoh 48 jam makin hampir. Jangan lupa perjanjian kita. Apa kata, kalau kami menawarkan pelindungan keselamatan untuk tuan dan keluarga dengan meninggalkan Mesir dan pergilah ke Turki, Libya atau ke tempat lain. Asalkan tuan melepaskan jawatan,” pintanya.

“Kamu langkah mayatku dahulu!. Assalam 'alaikum!” Ganggang terus diletakkan.

‘"Astaghfirullah, Subhanallah, ALLAHHU AKBAR..." bisiknya di dalam hati.

************

Pada 3 Julai, seawal jam 5 pagi  askar mula mengawal seluruh jalan di Kaherah. Kenderaan tentera, ratusan polis ditempatkan. Jutaan penyokong pro dan anti Mursi berhimpun di Dataran Tahrir.

Bendera berkibar dengan lautan manusia memenuhi segenap ruang menanti pengumuman. Media sosial dan stesen televisyen bagaikan mengalami kesesakan trafik. Jutaan mesej di Twitter dan Facebook disampaikan sepanjang menanti detik pengumuman tengah hari nanti.

“Dengan kuasa yang ada pada saya, saya mengumumkan kerajaan akan mengambil kuasa di Mesir dan Presiden Muhamed Mursi digulingkan. Pembentukan kerajaan sementara akan diketuai Adly Mansur sehingga tarikh pilihan raya ditetapkan,” begitulah ucapan ringkas Jeneral Abdel Fattah di stesen televisyen.

Friday, March 8, 2013

Budak 2 tahun bawa jentolak

8 Mac 2013
Budak 2 tahun bawa jentolak
Ahmad Adam tenang semasa mengendalikan jentolak.
Budak 2 tahun bawa jentolak
Adam dikatakan akan menangis jika tidak dapat kendalikan jentolak berkenaan.
BALING - Mengendalikan jentolak memang perkara biasa, tetapi amat mustahil sekiranya ia dikendalikan seorang kanak-kanak yang baru berusia dua tahun.

Namun, dengan kuasa ALLAH Ahmad Adam Haziq, 2, boleh mengendalikan jentolak itu sejak dua minggu lalu kerana sering mengikuti ayahnya ke tapak kuari pasir di Sungai Ketil Becah Sawa.

Ayahnya, Amran Ahmad, 43, dari Kampung Becah Sawa berkata, anak kedua keduanya itu boleh menghidupkan jentolak, menggerakkan malah mengorek pasir seperti biasa.

Kelebihan Adam disedari setelah dia menangis hanya kerana ingin mengendalikan jentolak tersebut.

Amran berkata, pada mulanya dia tidak membenarkannya kerana tidak mempercayai anaknya itu mampu mengendalikan jentolak itu.

“Dia (Adam) terus menangis, dan mendesak mahu mengendalikan jentolak itu, jadi saya membenarkannya dengan pemantauan saya.

“Saya betul-betul terkejut kerana Adam memang boleh mengendalikan jentolak itu dengan baik seperti mereka yang telah berpengalaman,” katanya kepada Sinar Harian.

Ditanya bagaimana anaknya itu mampu mengendalikan jentera berat itu, Amran berkata, anaknya itu sering berada di kawasan kuari itu selain turut diajar oleh salah seorang pekerjanya.

“Pekerja saya sering mengajarnya, saya pun tidak pernah ajar Adam bawa jentolak ini. Disebabkan itu, saya terkejut setelah melihat kemahirannya itu,” katanya.

Menurutnya, Adam seorang yang cenderung kepada aktiviti menukang malah pernah meleraikan beberapa komponen motosikalnya.

“Adam pantang tengak kayu, kalau ada, pasti dia nak paku. Memang itu hobinya. Tetapi, saya sama sekali tidak menyangka dia mampu bawa jentolak.

“Kini, setiap hari saya perlu membawa Adam ke sini agar dia dapat mengendalikan jentolak ini. Sekiranya tidak, dia akan menangis,” katanya.

Amran berkata, walaupun Adam mampu mengawal jentera itu dengan baik, dia tetap mengawasi anaknya itu agar tidak berlaku sebarang kejadian tidak dingini.

“Di sini kawasan sungai, sebarang kejadian boleh berlaku. Adam hanya mengendalikan jentolak ini sekiranya ada pemantauan dari saya mahupun pekerja lain di sini,” katanya.

Thursday, March 7, 2013

Guru paling kenit di dunia

6 Mac 2013
Guru paling kenit di dunia
Masalah hormon pelik yang berlaku pada anggota badan Azad membuatkan tumbesarannya terbantut sejak berusia lima tahun.
SEWAKTU berumur 18 tahun, beliau pernah dilabelkan sebagai peserta sarkas pelik, namun lelaki kenit Azad Singh yang berketinggian hanya 91 sentimeter (sm) berjaya menutup mulut masyarakat setempat apabila menjadi guru paling kecil di dunia.

Azad, 22, disahkan menghidap sejenis penyakit gangguan genetik luar biasa yang menghentikan tumbesarannya ketika berumur lima tahun, sekali gus kekal sehingga ke hari ini.

Anak muda yang amat kecil itu, bertanggungjawab mengajar mata pelajaran kemahiran komputer di sebuah sekolah rendah perempuan dalam Haryana, India.

"Kesemua pelajar saya lebih tinggi daripada saya," katanya sambil ketawa.

Bagaimanapun, Azad mempunyai sedikit masalah untuk mengajar, beliau terpaksa berdiri di atas meja guru untuk membolehkannya menulis di papan putih.

Pelajar turut menggelar Azad sebagai 'Chotu' atau 'Cikgu kecil' berikutan memiliki ketinggian 91 sm serta berat 18 kilogram (kg).

"Sejak bekerja sebagai guru, saya memiliki pendapatan sendiri iaitu setiap bulan saya menerima 10,000 rupees (RM563.70)," katanya.

Azad terpaksa akur dengan fizikalnya di mana beliau terpaksa memakai pakaian kanak-kanak walaupun usianya telah mencecah golongan dewasa.

Beliau berkata, walaupun tubuh badannya kenit dan tidak akan membesar seperti lelaki normal, beliau amat berbangga kerana mampu mencapai impian yang diidamkan iaitu menjadi seorang guru.

"Masyarakat sememangnya melayan saya sebagai lelaki normal kerana kini saya sudah bekerja dan pekerjaan saya ini amat dihormati orang ramai.

"Pernah sekali ketika saya berusia 18 tahun, saya telah disalah tafsir sebagai bayi oleh seorang pengawal kereta api.

"Sewaktu di sekolah pula saya juga pernah dibuli kerana masalah saiz badan saya dan berasa amat takut dengan ancaman yang saya berkemungkinan akan diculik oleh pengurus sarkas," katanya.

Bagaimanapun, Azad berkata cemuhan yang dilemparkan kepadanya sewaktu di zaman kanak-kanak menjadi pemangkin kepada beliau untuk membina karakter, sekali gus mematangkannya sehari demi sehari.

"Si pembuli itu berjaya membuatkan saya berusaha keras mencapai matlamat dan mereka tidak akan dapat berkata apa-apa lagi sekarang ini," katanya. - MailOnline

Friday, March 1, 2013

Rezeki percuma nelayan Gaza

Rezeki percuma nelayan Gaza
Pegawai polis tempatan ini memerhati kejadian yang dianggap pelik tetapi rezeki buat mereka.
'ALHAMDULILLAH'. Itu adalah ungkapan yang diucapkan penduduk dan kumpulan nelayan di pantai Bandar Gaza, Palestin, apabila puluhan ekor ikan pari spesies Mobula terdampar, sekali gus menjadi sumber protein buat mereka.

Menurut seorang nelayan tempatan, Mohammad al-Yusof, kejadian pari terdampar di pantai adalah yang pertama sejak ia pernah berlaku pada enam tahun lalu.

"Ikan ini mampu mencapai berat lebih 76 kilogram (kg) dan kami pernah menjualnya kira-kira 5 shekels (RM4.22) setiap setengah kg di pasar tempatan.

"Kami juga percaya ia adalah rezeki daripada ALLAH SWT," kata al-Yusof.

Lapor agensi berita Ma'an, kumpulan pari Mobula itu mampu membesar sehingga saiz 5.2 meter dan kelihatan sama dengan pari spesies Manta yang cukup terkenal di Gaza.

Sementara itu, pakar ikan pari dunia daripada Kolej Santa Rosa Junior, California, Bob Rubin berkata, pari dari keluarga Mobula ini mengembara bersama kumpulan hidupan akuatik sangat besar selain mampu melompat dari dalam air ke udara.

"Spesies hidupan laut ini amat menarik. Malah kejadian kumpulan besar pari Mobula terdampar di pinggir pantai dalam jarak tempoh tertentu adalah sangat pelik.

"Selama saya mengkaji corak hidup pari Mobula di Teluk California, saya tidak pernah melihat kejadian seperti ini.

"Berdasarkan kesan luka pada sirip sebahagian besar ikan pari ini, ia berkemungkinan berlaku disebabkan insiden dilanggar bot, batu karang, pasir atau berlanggar satu sama lain sewaktu hidupan laut ini mengembara dalam kelompok yang banyak," kata Rubin.

Beliau juga tidak menolak pencemaran bunyi atau isyarat elektrik menjadi punca menyebabkan kumpulan pari itu terdampar di tepi pantai.

"Jika diberi kesempatan, saya akan menjalankan autopsi segera bagi mengetahui punca sebenar terdamparnya spesies Mobula di tepi pantai Bandar Gaza," katanya. - MailOnline

Thursday, January 31, 2013

Iran hantar monyet ke orbit

30 Januari 2013
Iran hantar monyet
Rakaman monyet yang selamat kembali ke bumi ini mendapat liputan meluas media di Iran. Foto: Mashregnews.ir
TEHERAN - Iran, berjaya menghantar seekor monyet ke orbit yang dilihat sebagai membuka jalan baru untuk negara itu melakukan penjelajahan ke angkasa lepas, menurut Menteri Pertahanan, kelmarin.

Ahmad Vahidi berkata, haiwan itu berjaya kembali dalam keadaan selamat selepas melalui perjalanan di dalam sebuah kapsul pada altitud 120 kilometer.

"Kejayaan pada kali ini memberi peluang besar kepada pakar dan saintis untuk meneroka angkasa lepas pada masa hadapan," jelasnya lagi.

Stesen televisyen tempatan turut menyiarkan rakaman monyet itu dipakaikan ves dan ditempatkan pada alat menyerupai tempat duduk kanak-kanak di dalam kereta.

Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) melihat kejayaan Teheran tersebut sebagai satu pencabulan ke atas resolusi Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB).

Difahamkan, AS membuat kenyataan itu selepas mendapati teknologi tersebut mungkin juga boleh digunakan untuk melancarkan peluru berpandu balistik.

Di bawah Resolusi PBB 1929, Iran dilarang melakukan sebarang aktiviti yang berkaitan dengan peluru berpandu balistik atau teknologi senjata nuklear. - AFP

Cuepacs mahu pegawai kontrak diserap segera

31 Januari 2013
 Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman
Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman
PUTRAJAYA - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu penjawat awam berstatus kontrak yang telah lama berkhidmat diserapkan ke jawatan tetap secepat mungkin.
Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata tidak perlu sebarang kajian dibuat terhadap masalah yang mereka hadapi kerana pekerja terbabit telah lama berkhidmat sehingga ada yang melebihi 10 tahun.
"Ini bukan lagi zaman kajian kerana isu itu telah diperjuangkan sejak sekian lama," katanya kepada pemberita selepas menghadiri bengkel bersama Kesatuan Pembantu Am Pejabat Perkhidmatan Awam Semenanjung Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Jawatankuasa Mengkaji Masalah Pegawai-pegawai Lantikan Kontrak yang ditubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), mula mengadakan perbincangan dengan wakil pegawai berkaitan dalam usaha mencari jalan penyelesaian kepada pelbagai masalah berkaitan dengan taraf perkhidmatan mereka.

Jawatankuasa itu akan mengemukakan pandangan dan membuat syor tertentu kepada kerajaan sekiranya ia dapat merumuskan satu jalan penyelesaian yang terbaik bagi mengatasi masalah pegawai kontrak.
Menurut Omar, nasib kira-kira 50,000 pegawai lantikan kontrak ini perlu diberi perhatian kerana mereka berhak mendapat keistimewaan sebagaimana yang dinikmati penjawat awam lain.
"Berikan mereka keceriaan, lantik mereka ke jawatan tetap kerana mereka ada tanggungjawab, ada keluarga," katanya.
Selain itu Omar berkata Cuepacs turut menerima laporan berhubung kekosongan jawatan di sesuatu jabatan, namun ia akhirnya diisi oleh 'orang luar' sama ada graduan atau calon yang mempunyai 'orang dalam', sekali gus menafikan hak pekerja berstatus kontrak.
Tegas beliau pekerja berstatus kontrak perlu diberi keutamaan untuk mengisi kekosongan jawatan bertaraf tetap.
Sementara itu, Cuepacs katanya telah menghantar surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk diadakan satu perhimpunan penjawat awam bersama Perdana Menteri bagi membincangkan beberapa isu.
Antara isu yang akan dibangkitkan termasuklah gaji maksimum, imbuhan tetap perumahan, skim bagi menggantikan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan menaikkan taraf gred.
Dalam pada itu Cuepacs akan mengadakan perjumpaan bersama jurufoto dan jurukamera dalam perkhidmatan awam termasuk badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan pada 5 Feb depan bagi membincangkan masalah berbangkit, katanya.
"Sebelum ini banyak janji nak naik taraf gred mereka. Tetapi sehingga ke hari ini tidak tahu (keputusannya). Akhirnya mereka berbalik kepada Cuepacs.
"Mereka memerlukan skim yang lebih baik dan diberi insentif khas kerana cabaran jurufoto, jurukamera dan juruteknik bukan seperti dahulu," kata Omar. - Bernama

Ada berita gembira buat kakitangan awam

1 Januari 2013
TPM: 'Ada berita gembira buat kakitangan awam'
Muhyiddin menghadiri Perjumpaan Khas Bersama Pemimpin Masyarakat dan Pertubuhan Bukan Kerajaan di Kota Bharu. - Foto Sinar Harian oleh Khiru Shaleh Abdullah
KOTA BHARU - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menolak kemungkinan akan ada lagi beberapa berita gembira bakal diumumkan buat kira-kira 1.4 juta penjawat awam di negara ini apabila beberapa permasalahan mereka dapat diselesaikan tidak lama lagi.
  
Beliau berkata kerajaan sememangnya mengambil berat soal kebajikan penjawat awam yang telah banyak membantu membangunkan negara selama ini.
  
"Saya faham telah banyak perkara yang telah dapat diselesaikan oleh kerajaan namun masih ada beberapa perkara yang belum selesai.
  
"Tunggulah dan berdoalah agak panjang daripada biasa kerana mungkin ada berita baik akan diterima (oleh penjawat awam) tidak lama lagi," katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Khas Bersama Penjawat Awam Persekutuan dan Negeri Kelantan di Dewan Utama, Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan di sini, hari ini.
  
Turut hadir pada majlis dihadiri lebih 3,000 penjawat awam itu ialah isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin, Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Omar Osman dan Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman.
  
Muhyiddin berkata kerajaan sangat menghargai jasa dan peranan penjawat awam yang pada masa sama telah menjadi "mata dan telinga" kerajaan bagi menyelesaikan masalah rakyat keseluruhan.
  
Beliau berkata, melalui penjawat awam, kerajaan mendengar segala rintihan rakyat yang kemudiannya akan bertindak untuk membela mereka yang memerlukan pembelaan.
  
Timbalan Perdana Menteri juga menzahirkan rasa bangga dengan peranan penjawat awam yang telah berjaya merealisasikan program transformasi negara sehingga lahir sebagai sebuah negara yang dikagumi.
  
"Saya bangga dengan peranan penjawat awam ini kerana segala yang kita sasarkan itu telah menjadikan keadaan negara jauh lebih baik daripada sebelum ini," katanya.
  
Beliau juga mahukan penjawat awam di semua sektor dapat memastikan setiap peruntukan pada belanjawan yang diumumkan dapat digunakan dengan sebaik mungkin bagi pembangunan negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata soal politik tidak akan diambil kira dalam membangunkan Kelantan kerana yang penting adalah memastikan rakyat negeri itu sama-sama menikmati pembangunan negara.
  
Pada sesi dialog selepas itu, Muhyiddin berkata kerajaan sama sekali tidak bercadang untuk mengurangkan jumlah penjawat awam di negara ini.
  
Beliau berkata pihak tertentu tidak boleh membandingkan saiz penjawat awam di Malaysia dengan negara lain kerana keadaan itu sangat berbeza sama sekali.
  
Muhyiddin jturut menafikan negara akan muflis seperti dakwaan pembangkang kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) merupakan kerajaan yang bertanggungjawab dan berkemampuan untuk membangunkan negara.
  
"Selagi kerajaan Barisan Nasional kekal memerintah, kita tidak akan menjadi negara yang bankrap kerana kita ada segala kemampuan," katanya.
  
Beliau juga berkata segala bentuk bantuan terutama Bantuan Rakyat 1Malaysia akan diteruskan pada masa hadapan jika keadaan ekonomi yang baik ketika ini dapat diteruskan lagi.  - Bernama

Sunday, January 27, 2013

15,000 buaya terlepas di Afrika

26 Januari 2013
Buaya
Buaya yang terlepas selepas kejadian banjir yang melanda wilayah utara Afrika Selatan.
CAPE TOWN - Penduduk di sebuah kampung terpaksa berkurung di rumah gara-gara ribuan buaya dipercayai berkeliaran selepas kejadian banjir melanda di wilayah utara Afrika Selatan.

Sebanyak 15,000 buaya bersaiz hingga lima meter panjang dikatakan terlepas dari Taman Buaya Rakwena selepas air sungai Limpopo melimpah ke kampung berdekatan.

Pengurus taman buaya itu, Langman berkata, empangan air di taman itu terpaksa dibuka kerana paras air ketika banjir mencecah tiga meter.

“Kami menggesa penduduk berhati-hati dengan buaya liar ini kerana kebanyakannya berada dalam kelaparan,” katanya. - AFP

Tuesday, January 22, 2013

70 tahun solat salah kiblat

Muka Depan Sinar 22 Januari 2013

MELAKA - Sebuah masjid berusia lebih 70 tahun di Melaka Tengah dekat sini dikesan telah silap dalam penetapan arah kiblat.
Imam I Masjid Al-Ehsan, Bukit Baru, Sabtu Kina berkata, kedudukan arah lebih kurang 10 sentimeter terpesong dari arah kiblat sebenar, yang sepatutnya mencondong ke kiri, wujud sejak masjid tersebut didirikan.
Menurutnya, perkara itu dikesan semasa bermulanya projek penambahan bangunan masjid penghujung tahun lalu oleh pelukis pelan.
Ia turut mendapat perhatian Majlis Agama Islam Melaka (Maim).
“Kita segera atasi keadaan itu dengan memasang pita pelekat penanda arah kiblat sebenar bagi mengelak kekeliruan jemaah,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Paya Ikan, semalam.
Sabtu yang menjadi imam sejak 17 tahun lalu bagaimanapun berkata, ia kesilapan tidak disengajakan berdasarkan faktor usia masjid itu yang dibina pada tahun 1940-an.
Terdahulu, masjid warisan itu tidak dirobohkan, sebaliknya akan dinaik taraf sebahagian bangunan bagi keselesaan lebih 1,000 jemaah.
Sementara itu, salah seorang jemaah masjid tersebut, Abdul Wahab Baba, 55, berkata, dia berharap pihak bertanggungjawab dapat melakukan pemeriksaan di semua masjid lama di negeri ini.
“Semak semula arah kiblat di masjid lama kerana kita tak mahu sembahyang dengan kiblat tidak betul,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Maim, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, beliau sudah maklum berkaitan perkara itu dan kesalahan terbabit adalah tidak disengajakan.
“Mungkin ada silap sedikit dan boleh dibaiki kecuali kita sengajakan, itu satu kesalahan. Sama juga seperti kita sembahyang di hotel luar negara yang mungkin boleh tersilap arah kiblat,” katanya yang juga Ketua Menteri Melaka.
Sementara itu, umat Islam yang pernah menunaikan solat di Masjid Al Ehsan, Bukit Baru dinasihatkan tidak perlu risau dengan solat mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Datuk Yaakub Md Amin berkata, biarpun kesalahan arah kiblat berlaku, namun hukum sembahyangnya adalah sah.
Menurutnya, ia tidak menyalahi apa-apa kesalahan kerana yang penting niat untuk menunaikan solat.
“Zaman dahulu, kita tiada teknologi canggih untuk menentukan arah kiblat tepat dan hasilnya mendapat arah yang tidak terlalu tepat.
“Berbeza sekarang, kita ada alat canggih dengan pelbagai penggunaan sistem yang baru,” katanya.