- Ketagihan terhadap internet menyebabkan seseorang lebih gemar meluangkan masanya untuk berada lebih lama di depan komputer.
Perkembangan teknologi yang sangat pesat menyebabkan
masyarakat kini terlalu obses dengan pelbagai gajet canggih seperti
telefon pintar dan tablet yang mengandungi pelbagai aplikasi moden
termasuk permainan video.
Bukan sahaja kanak-kanak, remaja, atau pelajar, tetapi menjadi pilihan
golongan berumur hingga memberi impak negatif terhadap diri, keluarga,
masyarakat dan negara.
Ketua Jabatan dan Psikiatri, Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental,
Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr Tuan Sharipah Tuan Hadi
berkata, obsesi melampau melayari internet dan bermain permainan
komputer boleh menjejaskan tumpuan, malah mampu mengurangkan aspek
kepantasan reaksi atau rasa empati.
Menurutnya, ada baik dan buruknya apabila menggunakan kemudahan teknologi sama ada dalam kehidupan, pekerjaan dan pelajaran.
“Namun, ia menimbulkan masalah apabila digunakan berlebihan sehingga
tidak tidur malam, tidak menumpukan kepada pekerjaan dan perkara lain
sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang Islam, isteri, suami,
anak dan kepada majikan.
“Malah ia boleh diibaratkan seperti orang ketagihan dadah, jika tidak
mengambilnya akan menjadi tidak keruan dan semakin lama, keinginan
menjadi semakin bertambah,” katanya.
Ibarat rakan baik
Kata Dr Tuan Sharipah, ketagih bermain permainan komputer dan internet
sama seperti ketagihan dadah dan arak, apabila keinginan mereka menjadi
semakin tinggi untuk 'meneroka' alam maya itu.
Ini kerana katanya, dengan melayari internet mampu melayan segala macam
keperluan yang diidamkan individu terbabit, daripada keperluan seksual,
mental, emosi dan intelek sehinggalah spiritual.
“Mereka umpama sahabat dan rakan. Malah ada individu menganggap
komputer dan internet sebahagian daripada diri dan kehidupan mereka.
Mereka akan dirundung rindu resah dan gundah gulana sekiranya tidak
berpeluang ‘melayan sahabat’ ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau yakin ada sebahagian pengguna yang menggunakannya
untuk mengurangkan tekanan di tempat kerja, masalah pelajaran dan pada
masa sama bagi mengikuti perkembangan teknologi terkini.
Pengguna jadi kurang sensitif
Namun, di sebalik perkembangan teknologi maklumat itu, impak paling
ketara adalah komunikasi dalam kalangan masyarakat semakin pudar kerana
taasub dengan teknologi, sehingga sesetengah kelompok individu
menghidapi sejenis penyakit atau kecelaruan dikenali sebagai ketagihan.
“Individu terbabit juga menjadi tidak peka atau sensitif dengan
perasaan orang lain disebabkan fungsi otak mereka yang diubah kerana
terlalu asyik dengan komputer atau gajet walaupun berada di khalayak
ramai, tetapi mereka bersendirian dengan dunianya.
“Akhirnya, jarak perhubungan semakin jauh kerana kurangnya komunikasi
keluarga berbanding berkomunikasi dengan gajet. Seseorang yang ketagih
didapati gagal memberi tumpuan yang baik terhadap kehidupannya seperti
biasa. Bagi mereka yang ada ketagihan itu, peranan dan perhubungannya
dengan individu lain dalam lingkungan hidupnya akan terjejas,” katanya.
Hadkan penggunaan internet
Beliau berkata, bagi mengelakkan perkara itu berlaku, pengguna perlu
menetapkan objektif dan matlamat sebelum melayari laman web atau
menggunakan komputer dengan mengenal pasti tujuan penggunaan.
“Layari laman web tertentu dan yang perlu sahaja, atau sekadar memenuhi
keperluan yang dikehendaki agar tidak melebihi had dan bagi mengelakkan
melayari laman yang tidak perlu.
“Hadkan atau tetapkan jangka masa diperlukan ketika melayari laman
siber bagi mengelakkan pembaziran masa. Bahagikan masa yang sewajarnya
antara kehidupan di dunia siber dan kehidupan di alam nyata supaya
seimbang,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pengguna supaya menjadikan ruang siber dan
internet sebagai sumber pengetahuan untuk meningkatkan peranan menjadi
insan yang sempurna dan untuk menambah kemahiran yang diperlukan dalam
kehidupan.
“Kurangkan beriadah secara ‘maya’, lebihkan interaksi secara realiti
serta mengamalkan gaya hidup sihat kerana mencegah adalah lebih baik
daripada merawat.
“Untuk mengelakkan senario ini menjadi semakin membimbangkan,
babitkanlah diri dalam perkara yang boleh memberi manfaat seperti dalam
kokurikulum selain aktiviti luaran yang mendekatkan mereka dengan
masyarakat,” katanya.