Lama jugalah termenung lepas saya jumpa kawan yang kematian isterinya semalam. Almarhum meninggalkan 3 orang anak selepas 2 minggu di hospital kerana jangkitan paru-paru.
Suaminya ini dah lama ajak bersembang, namun kami tak dapat nak tentukan masa kerana masing-masing sibuk. Dalam banyak-banyak hal kami berbual semalam, dia terkesan sangat apabila baca diari kerja isterinya.
Almarhum bekerja sebagai pegawai kerajaan manakala suaminya berniaga.
Katanya dalam diari isterinya itu ada tertulis:
Sedekah bulanan RM30 (RM1 sehari)
Korban RM750 = Sebahagian.
Sedekah kecemasan RM50, sekiranya ada ahli keluarga atau staff atau sesiapa yang meninggal.
Sedekah anak-anak saudara belajar RM50.
Dan semua itu siap ada nombor akaun bagai.
Kawan saya ini cakap, walau ada masa perniagaannya perlahan, di rumah isterinya tak pernah merungut, tak pernah juga ada kisah kalau perbelanjaan semakin kecil dan sebagainya. Semua jadi ok.
Dia selalu tanya kat isteri dia kenapa selalu tenang je. Isteri dia akan jawab,
“Abang nak tenang, sedekah.
Abang nak relaks, sedekah.
Abang nak mati mudah, sedekah.
Abang nak murah rezeki, sedekah.
Abang kerap sakit, sedekah.
Abang selalu marah-marah, penat, letih tak tentu pasal, serabut, sedekah.
Itu antara ubat paling mujarab bang. Saya gaji kecil ja bang, abang tu berniaga kena banyak lagi dari saya. Saya bertuah dapat abang pun, dapat rezeki anak-anak dengar kata pun saya rasa sebab abang banyak sedekah. Saya ikut je perangai abang.”
Kawan saya menangis sebut hal tersebut.
Katanya memang dia yang ajar isteri dia banyak-banyak sedekah kerana mereka ini 4 tahun kahwin belum ada anak. Selepas banyaknya bersedekah dan memberi hadiah, mereka dikurniakan seorang demi seorang zuriat.
Dia tak sangka selepas sahaja semua itu berlaku, isterinya masih diam-diam bersedekah dan terus buat benda itu sampai menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Kami pulang ke rumah. Saya sampai sahaja di rumah, park kereta, duk tanya kepada diri sendiri, banyaknya ujian yang datang ini entah-entah sebab kurangnya bersedekah, kita rasa dah banyak, namun sebenarnya masih kecil lagi. Ayat yang saya terkesan sangat ialah
“Khairul, sedekah ni bukan besar bukan kecil yang kita nak kira. Yang kena buat ialah memberi itu tanpa ada rasa ralat dan ada rasa spontan sangat nak berbuat selalu. Itulah yang bestnya Rul. Macam kau bangun je pagi-pagi, kau terus rasa nak memberi, itulah yang paling seronok. Kalau kau dah dapat yang itu, tandanya kau memang akan hidup bahagia sangat dah.”
Semoga kita sama-sama dapat buat ya. Kita mula hari ini.
Begitulah.
Khairul Hakimin Muhammad,
Kecilnya kita.