Tuesday, July 9, 2013

Corat-Coret Kejohanan Sukan Tahunan SK Kampung Jawa 2 2013

Sukan tahunan SK Kampung Jawa 2 telah melabuh tirai dengan jayanya pada hari isnin 8 Julai 2013. Cikgu Moka ingin kongsikan gambar yang sempat di ambil sebagai kenangan hari mendatang. Bermula dari latihan hinggalah hari kejohanan, banyak pengalaman manis dan suka-duka warga SKKJ 2 bertungkus-lumus untuk memastikan kejayaan pasukan rumah masing-masing. Dengan semangat kerjasama yang padu diantara para guru, sukan tahunan SKKJ 2 telah berjalan lancar dengan meriah sekali. Sukan tahunan SKKJ 2 telah berlangsung di Stadium Padang Sultan Sulaiman, Klang yang telah dirasmikan oleh En. Badrul Hisham Bin Mokhtar (Penolong Pegawai PPD Daerah Klang).Di bawah ini, beberapa gambar yang sempat di ambil sebagai kenangan nanti.

Cikgu Azuan, merupakan penyelaras atau urusetia sepanjang latihan berlangsung



Cikgu Afni, guru penasihat rumah Jaguh (kuning) sama dengan Cikgu Moka. Kalau nak tahu, cikgu Afni ni dalam mood mengandung, tapi semangatnya, memang cikgu Moka Tabik springlah. Kuda Kepang hasil buatan suami beliau yang turut meberi sokongan kepada rumah Jaguh.
 
Cikgu Zaihan, guru penasihat rumah merah. Tengok la gaya beliau, bersemangat betul untuk memastikan pasukannya menang, macam gaya penari Sumazau pulak, jangan marah yer Kak Ann.
Ni pulak Ustazah Rozalina, penasihat rumah biru. Ustazah yang paling sporting habis kat SKKJ2. Mana tak sporting, hari-hari bawak makanan kat sekolah bagi makan kat cikgu-cikgu petang. Terima kasih yer kak Roza.Semoga dimurahkan lagi rezeki

 Cikgu Afif bersama Cikgu Suhaila (Tokei Keropok Lekor) sedang menyaksikan latihan lompat jauh

Ini pulak cikgu Azurah. Penasihat rumah Jaguh atau  kuning jugak sama dengan cikgu Moka. Cikgu yang paling bergaya kat SKKj2 . Cikgu Azurah di panggil cikgu Gwiyomi di kalangan cikgu petang, sebabnya suka buat gaya gwiyomi. Masa Cikgu Moka mula posting kat SKKJ2, cikgu Azurah la yang bagi tempat duduk dia kat cikgu Moka. Cikgu Azurah ni cikgu pemulihan kat SKKJ2. Rasa terharu masa tu kerana dapat tempat duduk, sampai sekarang cikgu moka ingat jasa baik beliau dan sampai bila-bila pun akan ingat. Kalau dia tak bagi tempat duduknya, jawabnya merempat kat meja belakang sekali tanpa kerusi dan kipas.… Terima kasih yer cikgu Azurah. Semoga dimurahkan rezeki berlipat kali ganda. 


Ini pulak cikgu Akma. Bukan baju biru tu, tapi baju hijau kat belakang tuh. Guru rumah hijau yang bersemangat kental. Cikgu Akma ni baik dan pemalu orangnya. Teringat masa mula-mula posting kat SKKJ2, pertama kali bercakap denganya bertanyakan jadual waktu. Lepas itu, x bercakap dah. Tetapi sekarang ni terlebih cakap pulak Cikgu Moka dengannya.


Ini Cikgu Syamsuri. Cikgu paling otai kat SKKJ2. Nampak jer pendiam, tapi ada 'isi'. Yang bestnya cikgu Syamsuri ni, dia peminat rock kapak. Kalau dalam bilik guru, selalu jer dengar dia menyanyi lagu-lagu 80-90 an. Memang mantap ah...beliau juga suka pergi karaoke bersama geng-geng cikgu lelaki lain iaitu, cikgu Saipol, Cikgu Aziz, Cikgu Rustam dan Cikgu Nasrul. Setakat ni cikgu Moka belum join lagi pergi Karaoke... :) sorry.
 Yang ini pula, Cikgu Aziz atau GTO. Apa benda GTO tu entahlah, nama pena dalam What's Up. Cikgu ni memang peramah dan mesra. Ikut la siapa pun dia jumpa walau tak kenal, macam dah setahun kenal kalau bersembang dengan beliau. Jangan marah yer GTO, Golden Sand tetap dihati :). Cikgu Aziz bertugas sebagai Penyelia Peserta pada Kejohanan Sukan Tahunan SKKJ2.

Ini pula Cikgu Saipol, penyelia petang SKKJ2. Cikgu Saipol ni merupakan cikgu disiplin SKKJ2. Budak-budak semua takut bila dengar saja nama cikgu Saipol. Tetapi orangnya baik, kalau budak tak buat nakal, dia tak akan marah. Cikgu Saipol berperanan sebagai penyelia peserta pada kejohanan Sukan Tahunan SKKJ2 2013.

 Gambar belakang ni pula, Cikgu Rustam dan Cikgu Azuan sedang mengukur jarak lontaran yang di lontar oleh peserta lontar peluru. Cikgu Rustam ni orang Nogori Sombilan, yang pendiam orangnya tetapi dengan geng lelaki memang rock ahhh.
Sebelah cikgu Aziz tu ialah cikgu Mat Noor. cikgu Mat Noor ni cikgu yang paling ceria dan mementingkan barangan branded kalau memakai. Tengok la cermin mata  yang beliau pakai tu, harga lebih kurang rm600 jenama oakley. original tu. Yang cikgu Aziz, cikgu Moka tidak tahu ori ke tak :).  Cikgu mat Noor juga merupakan guru penasihat rumah kuning.
Dua orang ni pulak, cikgu nazri (kiri) dan Cikgu Nasrul (kanan). Cikgu Nazri pakar dalam bab muzik, dan urutan tradisional manakala cikgu Nasrul pakar dalam bab kereta, kamera, dan matematik. hebat tu dua orang ni. Mereka merupakan guru sesi pagi yang sporting habis. Cikgu Nazri bertugas sebagai pengacara majlis manakal cikgu Nasrul sebagai kameraman pada hari kejohanan tersebut. Tetapi pada hari tersebut, anaknya telah di masukkan ke wad di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. Semoga anak beliau cepat sembuh.
Ada beberapa orang lagi yang cikgu moka belum cerita, lain kali kita cerita lagi.

Kuda Kepang Maskot Rumah Jaguh
Gaya Cikgu Azurah sedang memberi tunjuk ajar  kepada peserta perbarisan
 Rancak bersembang diantara ustazah Rozalina dan Ustazah Salmah. Antara geng ustazah yang sporting di SKKJ2.

 Cikgu Noraini dan Cikgu Syu 

 Cikgu Baizura bersama peserta tarik tali rumah hijau yang akan berentap untuk pusingan akhir lawan pasukan rumah kuning.  Keputusannya, rumah kuning yang menang. :)
 Kak Kiah, Kerani SKKJ2 yang sporting

Cikgu Muhan, Orang yang berperanan penting dalam memastikan kejohanan tersebut berjalan dengan lancar

Cikgu lelaki yang mengambil bahagian dalam acara ibu bapa dan guru
 Ustazah Rozalina bersama dengan Cikgu Nadiah, guru yang baru masuk kat SKKJ2
Ustaz Haris, orang lama SKKJ2. Pakar dalam bidang percetakan baju, mug, welding dan pemborong barangan China. 
Comelkan pembawa nama rumah Jaguh
PK Ko-Ko, Pen. Pegawai PPD, dan Guru Besar
Murid-murid sedang menarikan tarian kuda kepang 
Rumah Satria (Biru) dengan tema wau bulan, juara acara perbarisan
Maskot Kerbau sempena tema Minangkabau
Rumah Wira (Merah) sedang menarikan tarian piring

Ustazah Rozalina dan Cikgu Aziz berposing habis sambil di kacau oleh Cikgu Azurah
Cikgu Saipol sedang menyelia peserta untuk acara lari 4 x 200 Meter

 Cikgu Wan, Cikgu Su dan Ustazah Zuraiza. Kenapa tu Ustazah Zuraiza?

 Cikgu Rohana bertugas sebagai hakim penamat

 Peserta sedang berlari menuju ke garisan penamat
 Pengacara majlis pada hari kejohanan sukan
 Ustaz Hayat selaku ketua rumah sukan Jaguh
 Sokongan daripada para ibu bapa untuk anak-anak mereka
 Guru-guru yang bertugas sebagai hakim penamat
 Peserta tarik tali rumah kuning yang di bimbing oleh Cikgu Guna
 Cikgu Shahida, guru ganti yang setia di SKKJ2
 Kaum ibu yang mengambil tempat untuk acara ibu bapa dan guru
Larian daripada para guru dan ibu bapa
Guru Besar SKKJ2, En. Norazmi menkalungkan pingat kepada pemenang
Peserta dari pasukan rumah hijau dan biru
Peserta sedang menunggu upacara pengumuman juara keseluruhan rumah sukan menjadi johan keseluruhan

Cikgu Afif bertugas sebagai Jurukamera dan Dokumentasi

Rumah Jaguh Menjadi Johan Keseluruhan Pertandingan Sukan Tahunan 2013

 Inilah Stadium Padang Sultan Sulaiman


Secara keseluruhannya, latihan dan pertandingan sukan pada tahun ini telah mencapai objektif dan berlangsung dengan jayanya. Kerjasama dan komitmen yang ditunjukkan oleh para guru dan murid telah menyebabkan kejohanan ini berlangsung dengan meriah sekali. Selain itu juga, masa yang digunakan untuk membuat latihan sukan dapat mengeratkan lagi hubungan di antara para guru. Semoga kita jumpa lagi pada tahun depan dengan lebih meriah lagi.

Monday, July 8, 2013

Syarat minimum SPM 7A untuk mohon jadi guru


KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan menetapkan syarat baharu minimum 7A bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari semenanjung untuk memohon menceburi profesion perguruan bermula tahun ini.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata kelonggaran minima 5A diberikan kepada mereka yang tinggal di Sabah dan Sarawak. Langkah itu bagi memartabatkan profesion perguruan di negara ini dan sejajar dengan hasrat kementerian mahukan 30 peratus lulusan SPM terbaik menyertai profesion itu, katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di sini.

Ketika ini, syarat asas mendapat cemerlang sekurang-kurangnya dalam tiga mata pelajaran dan kepujian dalam tiga mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan satu mata pelajaran lain serta lulus Bahasa Inggeris selain kelayakan khusus bagi bidang pengajian yang dipohon.

Sementara itu, Idris berkata kementerian juga sedang mengkaji bagaimana untuk meringankan beban guru dalam pelaksanaan sistem pengurusan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) selain daripada menambah bilangan pembantu guru seperti yang telah dilaksanakan di Kedah dan Sabah.

Katanya, antara perkara yang diambil kira ialah penyediaan laporan yang tidak perlu terlalu banyak perincian dalam membuat penilaian mereka. - Bernama

Sunday, July 7, 2013

Polis Kelantan kenal pasti suspek tembak guru

Guru cedera ditembak
Mangsa dibawa ke HRPZ II untuk menerima rawatan selanjutnya selepas ditembak di Pasir Mas.
KOTA BHARU - Polis telah mengenalpasti seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian tembakan membabitkan seorang guru di Kubang Panjang, Pasir Mas, semalam.
  
Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata lelaki itu juga disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah dan dikenali oleh mangsa.
  
Beliau memberitahu perkara itu kepad pemberita ketika ditemui selepas majlis sambutan Kor Kadet Polis Ke-43 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.
  
Dalam kejadian pada 12.15 tengah hari semalam, seorang guru di sebuah sekolah rendah di Tumpat cedera ditembak di bahagian leher. Guru yang berasal dari Kampung Tualang, Pasir Mas itu kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II dan keadaannya dilapor stabil.
  
Jalaluddin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
  
Pada majlis itu, seramai 160 pelajar tingkatan empat dan lima dari sekolah di semua daerah negeri ini terlibat dalam perbarisan.  - Bernama

CM - Masyaallah, sekarang ni hari-hari kita dengar kes tembak-menembak. Semoga kita semua dilindungi oleh Allah SWT.

Saturday, July 6, 2013

Pentas Dikir 2 Kini disiarkan di TVi pada setiap hari sabtu jam 9 mlm

Setelah hampir setahun rakaman Pentas Dikir 2 yang di jalankan di Kota Bharu, Kini martabat dikir barat di angkat lagi ke kaca televisyen dalam bentuk pertandingan realiti. Seramai 12 orang peserta yang mewakili 6 orang Tok Jogho dan 6 orang Tukang karut bersaing untuk merebut gelaran Juara bagi kategori masing-masing. Pelbagai cabaran dan ujian yang perlu di lalui untuk merebut slot ke peringkat final. Cikgu Moka yang kebetulan bercuti pada hujung tahun turut terlibat menjadi Still Photo rancangan tersebut. Di bawah ini ada beberapa gambar untuk anda lihat, untuk selebihnya boleh la melihatnya di laman facebook Pentas Dikir 2.












 Jangan lupa saksikan pada setiap hari sabtu, jam 9.00 mlm hanya di TVi. :)

Babak akhir sebelum Mursi ditahan

Mohammed Mursi
Mohammed Mursi
‘ASTAGHFIRULLAH, Astaghfirullah, Astaghfirullah, ALLAHUAKBAR’ mulutnya tidak pernah lekang dari terus berzikir memohon pertolongan Yang Maha Esa.

“Ini adalah ujian ALLAH buatku, DIA maha mengetahui dan DIA tahu aku mampu menanggung dugaan ini,” bisiknya di dalam hati.

Jam di dinding rumah Kelab Pengawal Presiden Republikan di Kaherah dipandang beberapa kali sambil bersilang tangan.

Langkahnya ke kiri dan ke kanan dari bangun dia duduk dan berjalan ke jendela. Perkara itu dilakukan sejak awal kedatangannya ke pejabat baru di rumah itu, seolah menanti sesuatu.

Pintu diketuk dan sekumpulan tentera menyerbu masuk ke pejabat gerakan itu. Keadaan sedikit huru hara kerana lebih daripada sepuluh anggota pergerakan itu cuba menghalang kehadiran tentera daripada berjumpa beliau.
“Tidak mengapa biarkan mereka masuk dan sediakan kerusi,” pintanya memberi arahan kepada seorang ahli kumpulan itu.

“Silakan duduk Encik Abdel, apa hajat dan apa yang boleh saya bantu,” katanya kepada Menteri Pertahanan, Jeneral Abdel Fattah al Sisi dengan tenang. 

Hatinya yang dari malam kelmarin dirundung keresahan itu terlerai lalu berdetik adakah saatnya sudah sampai? Adakah aku akan berpisah dengan isteriku, Najlaa yang selama ini menjadi kekuatanku dan lima anakku, tiga orang cucuku serta ratusan pengikutku?

Wajah Abdel ditatap tanpa gentar.

“Tuan Presiden, kami hanya ingin membuat permintaan mudah, tempoh 48 jam telah berlalu dan kami mohon tuan mengumumkan peletakan jawatan bagi mengelakkan lebih banyak nyawa terkorban dan protes di negara ini,” kata Abdel.

“Kamu langkah mayat saya dahulu. Saya rela mati demi rakyat Mesir. Perjuangan ini akan saya teruskan hingga ke titisan darah terakhir,” katanya sambil menggenggam erat kerusinya, menahan marah.

Bergelar Hafiz dan dibesarkan dengan penuh didikan agama tidak memungkinkan beliau untuk bangkit menerajang tetamu tidak diundang itu. Tingginya pegangan agama beliau membuatkan dia menjadi insan paling sabar sekuat imannya.

“Tuan...rakyat, ulama, hakim dan anggota keselamatan, Perdana Menteri Hesham Kandil semuanya mendesak tuan untuk berundur. Terlalu banyak kesilapan yang telah tuan lakukan. Banyak jawatan kerajaan tuan serahkan kepada Ikhwanul Muslimin, masalah ekonomi gagal ditangani. Berundurlah!,” pinta Abdel.

“Kamu langkah mayat aku dulu!,” Mursi mengulangi kata-katanya itu.

Hakikatnya, puluhan kereta perisai telah ditempatkan di jalan-jalan utama sekitar bandar Kaherah. Puluhan khemah didirikan oleh penyokong anti Mursi dan pejabat Ikhwanul Muslimin juga sudah beberapa kali di pecah.

“Sekiranya tuan tidak mahu mengikut arahan kami, saya menggunakan kuasa sebagai menteri untuk mengarahkan tuan dan pengikut lain dikenakan perintah tahanan di rumah. Tuan dan pengikut lain tidak dibenarkan keluar, semua talian media dan telefon terpaksa diputuskan. Ini ARAHAN TERAKHIR KAMI!,” katanya dan terus berlalu meninggalkan Mursi.

“Jangan susah ALLAH sentiasa melindungi kita dan ada penyelesaian untuk masalah ini. Anda jangan melawan dan hanya mengikut arahan sahaja, biarkan mereka berkuasa tetapi yakinlah ALLAH akan membantu kita,” katanya kepada pengikut beliau yang mulai kecoh.

Kira-kira setengah jam kemudian, sepasukan tentera komando menyerbu ke rumah itu mengacukan senapang ke arah ahli pergerakan Ikwanul Muslimin.

“Jangan halang tugas kami! Kami menerima arahan untuk membawa Mursi pergi!,” kata seorang komando.

“Jangan! Jangan! Jangan! Tidak kamu tidak boleh buat begitu, Tuan Mursi tidak melakukan kesalahan dan atas tujuan apa dia ditangkap dan ke mana dia akan dibawa? Biarkan aku ikut serta, tangkaplah aku sekali, aku rela berjuang bersama dia?” teriak timbalan ketua pergerakan itu, Rashad Bayoumi.

“Itu bukan urusan kamu!,” balasnya.

“Tuan sila ikut kami!” Lengan Mursi digenggam dan pemimpin itu akur mengikut arahan.

Di ruang rumah itu jugalah puluhan media berkumpul untuk menjadi saksi penahanan Mursi.

“Tentera telah membawa Mursi pergi dan kami yakin Abdel tidak akan melayan tuntutan kami. Kami naif....Kami tidak sangka Jeneral mengkhianati Presiden yang melantiknya dahulu,” kata jurucakap Ikhwan Muslimin, Murad Ali kepada sekumpulan media.

“Anda yakin Mursi tidak akan meletakkan jawatan selepas ditahan?,” tanya seorang wartawan.

“Tidak! Kami dan beliau sanggup dipenjarakan, Mursi tidak akan memberikan kuasa kepada tentera,” katanya.

“Adakah anda sedar tempoh 48 jam telah berakhir tetapi kenapa Tuan Presiden masih berdegil?,” tanya wartawan itu lagi.

“Wahai pemberita anda perlu tahu pada 23 Jun lalu arahan itu datangnya dari cetusan idea Duta Amerika Syarikat, Anne Patterson! Adakah kamu tahu, Asaad el-Sheikh dan Rifaah el-Tahtawy adalah sekutu AS. AS selama ini berpura-pura simpati terhadap nasib tentera Mesir berpangkalan Port Said dan Ismailia di Terusan Suez adalah SANDIWARA!

“Kamu tahu tujuan AS bersimpati adalah mahu mewujudkan sekutu tentera yang baru!, Adakah anda ingin membiarkan perkara itu berlaku? Di manakah maruah Umat Islam dan anda sebagai rakyat Mesir?” jelas Ali.

************

“Najlaa, aku rasa demi keselamatan kamu, anak-anak dan cucu kita, elok la kita berpindah. Istana Ittihadiya tidak selamat. Aku dapat rasakan kebangkitan rakyat untuk menentang pemerintahanku akan berlaku pada 30 hari bulan ini. Kita belum terlambat. Masih ada enam hari untuk kita bersiap dan mengemas. Bawalah Al-Quran, pakaianmu dan sejadah lebih supaya senang pengikutku untuk berjemaah di rumah kelab nanti,” katanya.

“Baik dan segala tuntutanmu akan ku penuhi. Kamu jangan bimbang keselamatan kami dilindungi ALLAH,” kata wanita tabah itu.

Sejurus tiba di rumah kelab, kelihatan barisan puluhan tentera mengawal di sekitar kediaman itu. Berpakaian lengkap dengan senjata.

“Helo, Tuan Presiden. Abdel sini. Tuan tahu apa yang berlaku di luar sana?”

“Ya saya tahu Jeneral.” kata Mursi pendek.

“Tuan, tempoh 48 jam makin hampir. Jangan lupa perjanjian kita. Apa kata, kalau kami menawarkan pelindungan keselamatan untuk tuan dan keluarga dengan meninggalkan Mesir dan pergilah ke Turki, Libya atau ke tempat lain. Asalkan tuan melepaskan jawatan,” pintanya.

“Kamu langkah mayatku dahulu!. Assalam 'alaikum!” Ganggang terus diletakkan.

‘"Astaghfirullah, Subhanallah, ALLAHHU AKBAR..." bisiknya di dalam hati.

************

Pada 3 Julai, seawal jam 5 pagi  askar mula mengawal seluruh jalan di Kaherah. Kenderaan tentera, ratusan polis ditempatkan. Jutaan penyokong pro dan anti Mursi berhimpun di Dataran Tahrir.

Bendera berkibar dengan lautan manusia memenuhi segenap ruang menanti pengumuman. Media sosial dan stesen televisyen bagaikan mengalami kesesakan trafik. Jutaan mesej di Twitter dan Facebook disampaikan sepanjang menanti detik pengumuman tengah hari nanti.

“Dengan kuasa yang ada pada saya, saya mengumumkan kerajaan akan mengambil kuasa di Mesir dan Presiden Muhamed Mursi digulingkan. Pembentukan kerajaan sementara akan diketuai Adly Mansur sehingga tarikh pilihan raya ditetapkan,” begitulah ucapan ringkas Jeneral Abdel Fattah di stesen televisyen.

Friday, March 8, 2013

Budak 2 tahun bawa jentolak

8 Mac 2013
Budak 2 tahun bawa jentolak
Ahmad Adam tenang semasa mengendalikan jentolak.
Budak 2 tahun bawa jentolak
Adam dikatakan akan menangis jika tidak dapat kendalikan jentolak berkenaan.
BALING - Mengendalikan jentolak memang perkara biasa, tetapi amat mustahil sekiranya ia dikendalikan seorang kanak-kanak yang baru berusia dua tahun.

Namun, dengan kuasa ALLAH Ahmad Adam Haziq, 2, boleh mengendalikan jentolak itu sejak dua minggu lalu kerana sering mengikuti ayahnya ke tapak kuari pasir di Sungai Ketil Becah Sawa.

Ayahnya, Amran Ahmad, 43, dari Kampung Becah Sawa berkata, anak kedua keduanya itu boleh menghidupkan jentolak, menggerakkan malah mengorek pasir seperti biasa.

Kelebihan Adam disedari setelah dia menangis hanya kerana ingin mengendalikan jentolak tersebut.

Amran berkata, pada mulanya dia tidak membenarkannya kerana tidak mempercayai anaknya itu mampu mengendalikan jentolak itu.

“Dia (Adam) terus menangis, dan mendesak mahu mengendalikan jentolak itu, jadi saya membenarkannya dengan pemantauan saya.

“Saya betul-betul terkejut kerana Adam memang boleh mengendalikan jentolak itu dengan baik seperti mereka yang telah berpengalaman,” katanya kepada Sinar Harian.

Ditanya bagaimana anaknya itu mampu mengendalikan jentera berat itu, Amran berkata, anaknya itu sering berada di kawasan kuari itu selain turut diajar oleh salah seorang pekerjanya.

“Pekerja saya sering mengajarnya, saya pun tidak pernah ajar Adam bawa jentolak ini. Disebabkan itu, saya terkejut setelah melihat kemahirannya itu,” katanya.

Menurutnya, Adam seorang yang cenderung kepada aktiviti menukang malah pernah meleraikan beberapa komponen motosikalnya.

“Adam pantang tengak kayu, kalau ada, pasti dia nak paku. Memang itu hobinya. Tetapi, saya sama sekali tidak menyangka dia mampu bawa jentolak.

“Kini, setiap hari saya perlu membawa Adam ke sini agar dia dapat mengendalikan jentolak ini. Sekiranya tidak, dia akan menangis,” katanya.

Amran berkata, walaupun Adam mampu mengawal jentera itu dengan baik, dia tetap mengawasi anaknya itu agar tidak berlaku sebarang kejadian tidak dingini.

“Di sini kawasan sungai, sebarang kejadian boleh berlaku. Adam hanya mengendalikan jentolak ini sekiranya ada pemantauan dari saya mahupun pekerja lain di sini,” katanya.

Thursday, March 7, 2013

'Batman' tangkap suspek dikehendaki polis


5 Mac 2013
BRADFORD - Seorang lelaki yang berpakaian seperti ‘Batman’ menangkap dan menyerahkan suspek dikehendaki kepada polis sebelum menghilangkan diri.

Menurut pihak polis, penjenayah yang berusia 27 tahun itu dibawa oleh lelaki yang memakai kostum Batman pada awal pagi 25 Februari lalu.

Penjenayah itu didakwa atas kesalahan mencuri dan menipu.

“Individu yang membawa penjenayah itu ke balai polis memakai kostum Batman dan hingga kini, identitinya masih lagi menjadi misteri,” kata sumber polis.

“Bukan saja identiti Batman itu tidak diketahui, malah kami sendiri juga kurang pasti sama ada lelaki itu terlibat sama atau tidak dengan penjenayah yang diserahkan kepada polis,” ujar pihak polis.

Pemilik kedai The Joke Shop di Kirkgate, Kathryn Sutcliffe berkata, dia ada menjual kostum Batman kepada seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an beberapa hari sebelum kejadian itu.

Sutcliffe berkata, lelaki itu menggunakan loghat penduduk tempatan dan berambut kerinting.

Tambah beliau, mungkin lelaki itu yang terlibat menyerahkan penjenayah kepada pihak polis baru-baru ini kerana dia membeli kostum batman menggunakan kad kredit dan berkata mahu merahsiakan identitinya.

Guru paling kenit di dunia

6 Mac 2013
Guru paling kenit di dunia
Masalah hormon pelik yang berlaku pada anggota badan Azad membuatkan tumbesarannya terbantut sejak berusia lima tahun.
SEWAKTU berumur 18 tahun, beliau pernah dilabelkan sebagai peserta sarkas pelik, namun lelaki kenit Azad Singh yang berketinggian hanya 91 sentimeter (sm) berjaya menutup mulut masyarakat setempat apabila menjadi guru paling kecil di dunia.

Azad, 22, disahkan menghidap sejenis penyakit gangguan genetik luar biasa yang menghentikan tumbesarannya ketika berumur lima tahun, sekali gus kekal sehingga ke hari ini.

Anak muda yang amat kecil itu, bertanggungjawab mengajar mata pelajaran kemahiran komputer di sebuah sekolah rendah perempuan dalam Haryana, India.

"Kesemua pelajar saya lebih tinggi daripada saya," katanya sambil ketawa.

Bagaimanapun, Azad mempunyai sedikit masalah untuk mengajar, beliau terpaksa berdiri di atas meja guru untuk membolehkannya menulis di papan putih.

Pelajar turut menggelar Azad sebagai 'Chotu' atau 'Cikgu kecil' berikutan memiliki ketinggian 91 sm serta berat 18 kilogram (kg).

"Sejak bekerja sebagai guru, saya memiliki pendapatan sendiri iaitu setiap bulan saya menerima 10,000 rupees (RM563.70)," katanya.

Azad terpaksa akur dengan fizikalnya di mana beliau terpaksa memakai pakaian kanak-kanak walaupun usianya telah mencecah golongan dewasa.

Beliau berkata, walaupun tubuh badannya kenit dan tidak akan membesar seperti lelaki normal, beliau amat berbangga kerana mampu mencapai impian yang diidamkan iaitu menjadi seorang guru.

"Masyarakat sememangnya melayan saya sebagai lelaki normal kerana kini saya sudah bekerja dan pekerjaan saya ini amat dihormati orang ramai.

"Pernah sekali ketika saya berusia 18 tahun, saya telah disalah tafsir sebagai bayi oleh seorang pengawal kereta api.

"Sewaktu di sekolah pula saya juga pernah dibuli kerana masalah saiz badan saya dan berasa amat takut dengan ancaman yang saya berkemungkinan akan diculik oleh pengurus sarkas," katanya.

Bagaimanapun, Azad berkata cemuhan yang dilemparkan kepadanya sewaktu di zaman kanak-kanak menjadi pemangkin kepada beliau untuk membina karakter, sekali gus mematangkannya sehari demi sehari.

"Si pembuli itu berjaya membuatkan saya berusaha keras mencapai matlamat dan mereka tidak akan dapat berkata apa-apa lagi sekarang ini," katanya. - MailOnline

Sanggup jual diri, mahu hidup mewah

7 Mac 2013
Sanggup jual diri, mahu hidup mewah
Sanggup berbogel depan kamera untuk raih keuntungan.
KULIM - Hanya mahu hidup mewah dengan pendapatan lumayan setiap hari, golongan remaja hari ini rela menjual diri mereka menerusi laman web.

Pengerusi Persatuan Penguna Kulim, Mohd Zailan Hashim berkata, apa yang mengejutkan kebanyakan mereka terdiri daripada pelajar perempuan di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Menurutnya, pelanggan yang melayari laman web itu boleh berinteraksi bersama pelajar berkenaan dan meminta mereka melakukan apa sahaja aksi diingini.

"Sekiranya pelanggan mahu melihat pelajar itu membuka pakaian dan beraksi panas, mereka diarahkan untuk masuk ke ruangan peribadi dan membayar diantara 0.79 hingga 0.99 dollar bagi tempoh seminit," katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati ada dalam kalangan mereka juga masih bersekolah.

Tambah Mohd Zailan, permasalahan ini mesti ditangani segera sebelum ia menjadi ikutan untuk memperoleh pendapatan sambilan yang tidak bermoral.

"Mereka yang terlibat boleh disiasat di bawah akta komunikasi. Pihak berkuasa seharusnya lebih peka terhadap permasalahan ini dan tidak mengambil sikap lepas tangan.

"Saya sangat berharap kementerian terlibat dapat menangani masalah keruntuhan akhlak golongan remaja ini dengan sewajarnya," katanya.

Friday, March 1, 2013

PM umum berita gembira kakitangan awam 11 Mac?

Datuk Seri Dr Ali Hamsa
Datuk Seri Dr Ali Hamsa
SANDAKAN - Kertas kajian mengenai perubahan gaji penjawat awam yang sudah mencapai tangga gaji maksimum telah dikemukakan kepada kerajaan untuk pertimbangan Jawatankuasa Kabinet Gaji, kata Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata kajian itu dilakukan oleh pihaknya bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berikutan perkara itu merupakan antara masalah yang dihadapi dalam perkhidmatan awam di negara ini.

Katanya, penilaian telah dibuat terhadap kalangan penjawat awam yang sudah mencapai had atau tangga gaji maksimum dengan kebanyakan mereka ini mempunyai skor 80 hingga 85 ke atas dalam Laporan Penilaian Prestasi Tahunan.

"Ia menunjukkan penjawat awam itu telah melaksanakan tugas dengan cemerlang tetapi jika dilihat skim gaji, kita dapati ada yang terhenti dan sampai ke tahap maksimum," katanya dalam Program Temubual Bersama Radio Sandakan FM yang bersiaran semalam.

Ketua Setiausaha Negara berkata, masalah gaji sudah capai had maksimum atau statik dalam kalangan penjawat awam perlu perubahan selari dengan perkembangan semasa yang menyebabkan kenaikan kos hidup dan inflasi di negara ini pada kadar satu setengah peratus yang turut dihadapi penjawat awam.

Katanya, kertas cadangan itu turut meliputi cadangan kenaikan dua hingga lima peratus untuk penjawat awam yang sudah capai had gaji maksimum.

Menurutnya, perkara itu sedang dibincangkan di peringkat Kabinet dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dijangka membuat pengumuman secepat yang boleh.

Beliau yakin kerajaan akan mengambil perhatian perkara itu selepas meluluskan kenaikan pencen sebanyak dua peratus setiap tahun bermula tahun ini kepada pesara kerajaan.

Ali berkata, pada Sesi Amanat Perdana Menteri kepada Perkhidmatan Awam pada 11 Mac ini di Putrajaya, Perdana Menteri dijangka mengumumkan berita gembira kepada 1.4 juta penjawat awam di negara ini.

"Kita tunggu sahaja perdana menteri membuat pengumuman tidak lama lagi dan kalau ada insentif kita sama-sama tunggu.

"Tahun ini amat penting kerana kita perlu lihat kerajaan mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam," katanya.

Katanya, untuk faedah jangka panjang, pihaknya kini meneliti mengenai 86 jenis elaun penjawat awam disebabkan ada antara elaun itu sudah lama belum dikaji semula seperti elaun perumahan.

"Kami sedang melihat dan mungkin ia akan mengambil masa lebih sikit kerana kena perlu melihat balik semua elaun dan juga akan ada implikasi kewangan yang lebih," katanya.

Pada akhir program itu, beliau meminta penjawat awam di seluruh negara meneruskan perjuangan mereka untuk membaiki perkhidmatan diberikan kepada rakyat dan hala tuju negara ke arah pencapaian negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Beliau berkata, penjawat awam mesti bersikap kreatif dan inovatif secara lebih proaktif dengan disertai sikap positif, peribadi yang mulia dan berintegriti.

Katanya, tugas sebagai penjawat awam adalah untuk menyampaikan perkhidmatan cemerlang kepada rakyat. - Bernama

Wanita tertua di dunia

28 Februari 2013
Misao Okawa
Misao Okawa
MISAO Okawa, 114, diiktiraf Rekod Dunia Guinness sebagai wanita tertua di dunia dalam satu majlis khas di Osaka, semalam.
Menurut Institut Penyelidikan Gerontologi yang berfungsi mengesahkan maklumat mengenai umur untuk Guinness, Misao dilahirkan pada 5 Mac 1898 dan beliau bakal menyambut ulang tahun kelahirannya ke-115, minggu depan.

Pada masa ini, Jepun mempunyai lebih 51,000 penduduk berumur sekurang-kurangnya 100 tahun dan 87 peratus daripadanya ialah wanita.  - AP

Rezeki percuma nelayan Gaza

Rezeki percuma nelayan Gaza
Pegawai polis tempatan ini memerhati kejadian yang dianggap pelik tetapi rezeki buat mereka.
'ALHAMDULILLAH'. Itu adalah ungkapan yang diucapkan penduduk dan kumpulan nelayan di pantai Bandar Gaza, Palestin, apabila puluhan ekor ikan pari spesies Mobula terdampar, sekali gus menjadi sumber protein buat mereka.

Menurut seorang nelayan tempatan, Mohammad al-Yusof, kejadian pari terdampar di pantai adalah yang pertama sejak ia pernah berlaku pada enam tahun lalu.

"Ikan ini mampu mencapai berat lebih 76 kilogram (kg) dan kami pernah menjualnya kira-kira 5 shekels (RM4.22) setiap setengah kg di pasar tempatan.

"Kami juga percaya ia adalah rezeki daripada ALLAH SWT," kata al-Yusof.

Lapor agensi berita Ma'an, kumpulan pari Mobula itu mampu membesar sehingga saiz 5.2 meter dan kelihatan sama dengan pari spesies Manta yang cukup terkenal di Gaza.

Sementara itu, pakar ikan pari dunia daripada Kolej Santa Rosa Junior, California, Bob Rubin berkata, pari dari keluarga Mobula ini mengembara bersama kumpulan hidupan akuatik sangat besar selain mampu melompat dari dalam air ke udara.

"Spesies hidupan laut ini amat menarik. Malah kejadian kumpulan besar pari Mobula terdampar di pinggir pantai dalam jarak tempoh tertentu adalah sangat pelik.

"Selama saya mengkaji corak hidup pari Mobula di Teluk California, saya tidak pernah melihat kejadian seperti ini.

"Berdasarkan kesan luka pada sirip sebahagian besar ikan pari ini, ia berkemungkinan berlaku disebabkan insiden dilanggar bot, batu karang, pasir atau berlanggar satu sama lain sewaktu hidupan laut ini mengembara dalam kelompok yang banyak," kata Rubin.

Beliau juga tidak menolak pencemaran bunyi atau isyarat elektrik menjadi punca menyebabkan kumpulan pari itu terdampar di tepi pantai.

"Jika diberi kesempatan, saya akan menjalankan autopsi segera bagi mengetahui punca sebenar terdamparnya spesies Mobula di tepi pantai Bandar Gaza," katanya. - MailOnline