SHAH ALAM: Seorang wanita yang hilang kerja guru sandaran tidak terlatih berikutan kehamilan berjaya dalam tuntutannya apabila Mahkamah Tinggi di sini, semalam mengisytiharkan bahawa dia layak dan berhak dilantik untuk jawatan itu.
Peguam mewakili plaintif, Edmund Boon, ketika ditemui berkata, mahkamah berpuas hati bahawa tindakan pada 12 Januari 2009 untuk menarik balik atau membatalkan lantikan plaintif sebagai guru sandaran tidak terlatih sebagai tidak sah dan terbatal.
Beliau berkata, Hakim Datuk Zaleha Yusof ketika membuat keputusan dalam kamar memerintahkan defendan membayar ganti rugi am kepada plaintif pada kadar faedah 8 peratus setahun dari tarikh penyelesaian penuh yang ditaksirkan kelak. Pada 7 Mei 2010, Noorfadilla Ahmad Saikin, 29, (plaintif) memfailkan saman pemula dengan menamakan tiga pegawai pelajaran daerah Hulu Langat, Chayed Basirun, Ismail Musa dan Dr Zahri Aziz sebagai defendan.
Turut dinamakan dalam saman pemula itu sebagai defendan ialah Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Menteri Pelajaran dan Kerajaan Malaysia.
Antara lain, wanita itu menuntut sejumlah ganti rugi am serta deklarasi bahawa wanita hamil iaitu dirinya (sehingga 12 Januari 2009) layak dan berhak dilantik sebagai guru sandaran tidak terlatih.
Plaintif turut memohon perintah deklarasi bahawa tindakan pada 12 Januari 2009 untuk menarik balik dan membatalkan lantikan beliau sebagai guru sandaran tidak terlatih sebagai tidak sah dan terbatal. Berdasarkan afidavit sokongannya, plaintif mendakwa dia menghadiri temuduga untuk jawatan guru sandaran terlatih pada 2 Januari 2009.
Namun, dia tidak ditanya berhubung status kesihatannya ketika mengisi maklumat peribadi pada borang permohonan. Pada 11 Januari 2009, wanita itu mendapat surat tawaran untuk jawatan guru sandaran tidak terlatih dan memintanya hadir ke pejabat pelajaran Hulu Langat mendapatkan memo penempatan sekolah. Keesokan harinya, dia mendapat memo itu dan ditugaskan mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Kajang dengan gaji RM1,500 sebulan.
“Pada sesi taklimat seorang pegawai pelajaran suruh calon guru perempuan yang hamil mengaku, jadi saya dan dua lagi mengaku. “Tanpa sebarang soalan, pegawai itu menarik balik memo penempatan dengan alasan calon mengandung tidak boleh dilantik sebagai guru sandaran tidak terlatih,” katanya. Pada prosiding semalam, plaintif diwakili Edmund Boon, Honey Tan dan Chan Yen. Manakala, responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Aidha Adha, plaintif Edmund Bon, Honey Tan dan Chan Yen.
0 Komen:
Post a Comment