Monday, December 31, 2012

Temui tengkorak makhluk asing?


Temui tengkorak makhluk asing?
Penemuan salah satu tengkorak.
MEXICO CITY - Sekumpulan ahli Arkeologi di Mexico, menjumpai kumpulan tengkorak manusia dipercayai milik individu yang mengalami kecacatan kranium dan kelihatan seperti
kepala makhluk asing, semalam.

Pengarah projek, Cristina Garcia Moreno berkata, tengkorak pelik itu dipercayai berusia lebih 1,000 tahun dan dijumpai berhampiran perkampungan kecil, Onavas.

"Kita percaya ini adalah penemuan pertama melibatkan tengkorak diikat kain sehingga mengubah bentuk.

"Masyarakat budaya Mesoamerika menggunakan kecacatan tengkorak bagi membezakan kumpulan sosial dan tujuan ritual," kata Cristina.

Tanah perkuburan yang menyimpan 25 individu itu dihuni 13 orang yang dipercayai mengalami kecacatan tengkorak. - MailOnline

5 negara paling bahaya untuk wanita


LIMA NEGARA PALING BERBAHAYA UNTUK WANITA
LIMA NEGARA PALING BERBAHAYA UNTUK WANITA
Afghanistan

Sahar Gul, gadis diseksa suami

Pembuka tahun 2012, dunia digemparkan dengan insiden seorang remaja berusia 15 tahun, Sahar Gul, dipukul dan dikurung dalam tandas oleh suami dan keluarga mertuanya selama lima bulan selepas enggan bekerja sebagai pelacur.

Sewaktu diselamatkan sekumpulan aktivis di kediaman mertuanya di utara Baghlan, Sahar ditemui dalam keadaan cedera parah di seluruh badan.

Menurut polis, selain dipukul, rambutnya direntap, kukunya dicabut dan dikurung di dalam tandas di bawah tanah tanpa makanan dan minuman untuk hidup.

"Suami dan keluarga mertuanya turut mencederakannya dengan puntung rokok dan  lidahnya dikerat dengan playar," kata jurucakap polis Baghlan.

Kes berkenaan turut mendapat perhatian pemimpin Afghanistan, Presiden Hamid Karzai yang menggesa hukuman dikenakan ke atas di pelakunya.

Ketua hal ehwal wanita Baghlan, Rahima Zarifi berkata kepada Reuters, Sahar yang berasal dari wilayah Badakhshan telah dikahwin dengan suspek pertengah Mei 2011 dan telah dipaksa menjadi pelacur bagi mendapatkan wang untuk keluarga mertuanya.

Sementara itu, polis kanan Baghlan, Mohammad Zia, mengesahkan ibu mertua dan kakak ipar Sahar telah ditahan, tetapi membebaskan suami dan bapa mertuanya.

Pakistan

Malala Yuosafzai, gadis ditembak Taliban

Gadis dan pelajar sekolah menengah berusia 15 tahun, Malala Yousafzai yang memperjuangkan pendidikan kepada golongan wanita ditembak oleh Taliban sewaktu dalam perjalanan pulang dari sekolah di Pakistan pada 9 Oktober lalu.

Serangan mengejut terhadap Malala yang juga aktivis paling dikehendaki Taliban itu mendapat liputan penuh media dunia sekali gus mencetuskan bantahan besar-besaran seluruh negara.

Beberapa pemimpin berpengaruh dunia termasuk Britain menghulurkan bantuan ke atas Malala dengan memberikan rawatan membuang peluru di kepalanya.

Kini, Malala yang juga simbol keberanian dan beribu-ribu pembaca yang mengikuti kisahnya itu menandatangani petisyen meminta remaja itu dianugerahkan Hadiah Keamanan Nobel.

Bercakap bagi pihak gadis itu, bapanya, Ziauddin Yousafzai berkata, anaknya yang mesra dipanggil Malala mahu berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatannya kerana membantu dia untuk terus kuat.

Kejadian tersebut menarik perhatian dunia dan Taliban menerusi laman webnya berikrar akan melancarkan serangan lagi sekiranya Malala masih hidup.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Yayasan Amanah NHS, Hospital Universiti Birmingham, Yousafzai berkata, Malala mahu memberitahu kepada semua bagaimana dirinya sangat bertuah kerana seluruh dunia mendoakan penyembuhannya.

India
Pelajar perubatan mati dirogol kumpulan lelaki

Seorang pelajar perubatan sebuah kolej di India, yang cedera parah selepas diperkosa beramai-ramai di New Delhi dan diterbangkan ke Singapura untuk rawatan, meninggal dunia pada Sabtu lalu.

Wanita berusia 23 tahun itu, yang mana serangannya dalam sebuah bas menimbulkan bantahan di seluruh India, meninggal dunia 4.45 pagi (waktu tempatan) di Hospital Mount Elizabeth di mana beliau dimasukkan untuk rawatan pada Khamis lalu.

Pelajar itu dipindahkan dari Hospital Safdarjung di tengah Delhi ke Hospital Medanta di Gurgaon, berdekatan dengan lapangan terbang bandar itu, sebelum diterbangkan ke Singapura.

Menurut sumber, sewaktu kejadian mangsa bersama teman lelaki yang pulang dari menonton wayang dengan menaiki bas, diserang enam lelaki. Suspek memukul mangsa dan teman lelakinya dengan batang besi dan merogolnya secara bergilir-gilir.

Laporan perubatan mendedahkan, mangsa mengalami kecederaan teruk pada bahagian dalaman badan dan suspek dipercayai menggunakan batang besi sebagai alat memperkosa mangsa.

Selepas merogol mangsa selama sejam, dia dan teman lelakinya dicampak keluar.


Tahukah anda?
Sesetengah ahli sejarah percaya asal usul keganasan terhadap wanita berkait rapat dengan tanggapan bahawa golongan itu sebagai aset dan jantinanya yang memaksa mereka tunduk kepada kaum lelaki dan wanita atasan lain.

Dalam Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Penyingkiran Keganasan terhadap Wanita (1993), menyatakan bahawa keganasan terhadap wanita adalah satu manifestasi perhubungan kuasa yang dari segi sejarah tiada persamaan antara lelaki dan wanita di mana membawa kepada dominasi serta diskriminasi oleh golongan lelaki yang menyekat kemajuan wanita.

Keganasan terhadap wanita adalah satu daripada mekanisme sosial utama yang memaksa mereka berada pada kedudukan bawah golongan lelaki.

Pada tahun 1980, sebuah mahkamah di Amerika Syarikat telah mengharamkan hak si suami melaksanakan hukuman fizikal terhadap isterinya.

Sementara itu, adat menghukum isteri yang diamalkan masyarakat Britain dengan penderaan sederhana agar si isteri rajin melakukan kerja telah disekat pada tahun 1891.

Monday, December 3, 2012

Puntianak di Serbia bangkit semula?

3 Disember 2012
Puntianak di Serbia bangkit semula?
Insiden pelik mula berlaku selepas kincir air usang di sungai Rogatica runtuh beberapa bulan lalu. - Foto: AP
ZAROZJE - Penduduk kampung Zarozje, barat Serbia kini hidup dalam ketakutan selepas mereka mendakwa puntianak yang menjadi legenda masyarakat tempatan telah bangkit semula.

Sebelum ini, kebanyakan penduduk kampung percaya puntianak digelar Sava Savanovic itu hanya cerita dongeng yang sengaja direka untuk menakutkan mereka.

Bagaimanapun, mereka mendakwa beberapa insiden pelik mula berlaku selepas kincir air usang di sungai Rogatica yang dipercayai menjadi tempat tinggal puntianak tersebut runtuh beberapa bulan lalu.

Ahli majlis perbandaran Bajina Basta, Miodrag Vujetic berkata, lima penduduk kampung dilaporkan mati dan seorang daripadanya membunuh diri.

Dalam satu kenyataan lain, pakar berkaitan legenda puntianak di Universiti Durham, Britain, Richard Sugg memberitahu 'kebangkitan' Savanovic telah memberi kesan psikologi ke atas penduduk. - AP

Friday, November 2, 2012

'Elephant man' mahu hidup normal, tidak sanggup sembunyi wajah lagi


2 November 2012
Yuen Keong - elephant man
Yuen Keong (kiri) menunjukkan bahagian wajah Chee Ming yang bakal menjalani rawatan laser 8 November ini.
SERDANG – “Memang berharap sangat wajah saya akan pulih seperti manusia normal yang lain kerana tidak sanggup lagi membawa ketumbuhan di bahagian muka ini,” kata lelaki yang digelar ‘elephant man’, Leong Chee Ming, 42, ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Dia yang menghidap sejenis penyakit dikenali sebagai ‘capillary malformation’ sejak lahir itu turut melahirkan harapan tinggi rawatan laser bakal dijalani 8 November depan dapat mengubah wajahnya.

Bagaimanapun katanya, dia tetap berasa takut dan bimbang terhadap kesan rawatan bakal dijalani di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kelantan itu.

Chee Ming yang juga anak ketiga daripada enam beradik menyatakan jika wajahnya berjaya dipulihkan tiada perkataan lain selain gembira kerana dapat menikmati hidup bersosial dengan masyarakat sekitar selepas 42 tahun menyembunyikan wajahnya itu dengan duduk di rumah sahaja.

“Saya memang teringin hendak menjadi seperti manusia normal yang lain, tidak larat hendak bawa benda ini (ketumbuhan) yang berat di wajah setiap hari.

“Mengenai rawatan laser bakal dijalankan memang ada rasa takut kerana tidak tahu apa tindak balas dan kesannya selepas itu,” katanya yang merupakan antara pesakit pertama menerima rawatan untuk penyakit seperti itu di hospital negara ini.

Sementara itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Kembangan, Datuk Liew Yuen Keong berkata, lelaki berkenaan sudah menjalani lapan pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak enam bulan lalu sebelum kesnya dirujuk ke HUSM.

Katanya, sebuah jawatankuasa kecil ditubuh dan mendapat sokongan 12 doktor pakar untuk membantu Chee Ming dan seorang lagi pesakit yang menghidap penyakit sama mendapatkan rawatan.

“Sejak enam bulan lalu, kedua-dua pesakit sudah menjalani pemeriksaan dan mereka akan dihantar untuk mendapatkan rawatan laser mematikan selnya.

“Kita berharap rawatan diterima akan dapat memulihkan wajahnya dan dalam masa sama meningkatkan perkhidmatan perubatan diberikan oleh hospital di negara ini tanpa perlu membuat rawatan di luar negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Wanita MCA Selangor, Senator Chew Lee Giok berkata, beliau sudah mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan untuk mengurangkan beban ditanggung keluarga lelaki itu.

Beliau dalam pada itu mengingatkan supaya ibu bapa yang menyedari terdapat tanda-tanda bintik merah di wajah dan tubuh badan anak mereka ketika lahir supaya segera merujuk perkara itu kepada hospital.

Katanya, penyakit itu boleh dicegah awal namun jika tidak ia akan menyulitkan keadaan di kemudian hari. “Seperti kes ini, sudah terlalu lama barulah rawatan hendak dibuat, dalam kebanyakan kes sebelum ini, apabila ketumbuhan yang wujud disedari ketika bayi dibuang, ia tidak tumbuh dan menjadi begitu serius apabila pesakit meningkat dewasa,” katanya.

Tuesday, October 30, 2012

Tali-telefilem kelantan




Sunday, October 21, 2012

Piala Malaysia: Luar biasa, Kelantan tiada tandingan


21 Oktober 2012
Kelantan
Pasukan Kelantan meraikan kejayaan bersama trofi Piala Malaysia setelah menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), semalam.
PIALA Malaysia 2012 melabuh tirainya dengan Kelantan dinobatkan juara Piala Malaysia buat kali kedua, sekali gus mencipta sejarah dengan memenangi tiga gelaran utama sebaris termasuk juara Piala FA dan Liga Super.

Kejuaraan kali ini adalah yang kedua bagi Kelantan selepas kali pertama memenanginya pada 2010 apabila menumpaskan Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

 
Pasukan yang dibarisi barisan bintang dan berpengalaman, jelas membuktikan pasukan itu sememangnya layak untuk mencipta sejarah mereka tersendiri dalam arena bola sepak.

Semua sedia maklum, sejak awal perlawanan peringkat kumpulan lagi, ramai yang sudah menjangka pasukan Kelantan mampu merampas kembali kejuaraan ini daripada Negeri Sembilan berdasarkan prestasi cemerlang ditunjukkan pasukan The Red Warriors.

Dan, akhirnya terbukti apabila skuad kendalian Bojan Hodak nyata tidak menghampakan peminat setia skuad Kijang apabila memenuhi impian berjuta peminat seluruh Malaysia dengan berjaya menewaskan Angkatan Tentera Malaysia 3-2 di final.

 
Bagaimanapun pada awalnya, anak didik Bojan terpaksa mengharungi laluan berliku dalam saingan di peringkat kumpulan apabila tewas 0-2 ketika menentang Terengganu. Namun, Kelantan bangkit untuk menewaskan Kedah 2-1.
 
Selepas itu, skuad The Red Warriors terus menunjukkan taring apabila menjinakkan Terengganu 6-1 dalam perlawanan akhir peringkat kumpulan dan melayakkan bimbingan Bojan ke saingan suku akhir.

Bagaimanapun, laluan semakin getir terpaksa diharungi pasukan Kelantan di peringkat suku akhir dan separuh akhir apabila terpaksa berdepan Felda United dan Selangor.

Namun, dengan status juara, tidak diragui bahawa kebolehan skuad kendalian Bojan untuk muncul juara Piala Malaysia sememangnya jelas berdasarkan prestasi mereka yang konsisten sejak bermulanya saingan di peringkat kumpulan.

Secara keseluruhan pertemuan semalam, Kelantan dan ATM membuktikan kedua-dua pasukan adalah pasukan yang terbaik. Masing-masing menunjukkan aksi yang cemerlang apabila berjaya mengunci pergerakan dalam melakukan serangan yang banyak ke arah gawang.

Meskipun Kelantan berjaya mendahului lawan pada mulanya, tetapi ATM bangkit dan dilihat mampu untuk menyaingi barisan tengah berpengalaman Kelantan setelah setiap gerakan The Army seolah-olah sentiasa menjadi sehingga berjaya mengikat kedudukan 2-2 dan mengheret perlawanan tersebut di masa tambahan.

Perlawanan semakin genting dan mendebarkan.

ATM bersemangat untuk mencari kejuaraan buat julung kalinya, namun pengalaman yang dimiliki oleh Kelantan akhirnya memusnahkan impian itu apabila jaringan Indra Putra Mahayuddin memastikan Piala Malaysia menjadi milik The Red Warriors.


Apa yang jelas, pujian harus diberi kepada anak buah B. Sathianathan.

Meskipun gagal untuk menjulang Piala Malaysia buat julung kalinya, ATM membuktikan mereka sebuah pasukan antara yang terbaik dalam kancah bola sepak dan wajar digeruni.

Begitupun perlawanan sedikit tercalar ekoran pergaduhan pemain di atas padang dan insiden penyokong yang masih berkelakuan tidak bermoral. Pokoknya, pertemuan antara dua gergasi, Kelantan dan ATM sangat menghiburkan peminat seluruh Malaysia apabila perlawanan itu dipenuhi dengan aksi-aksi menarik.

Akhirnya, keputusan final membawa Kelantan mencipta tiga rekod.

Satu kejayaan yang luar biasa dan membanggakan. Tahniah Kelantan.

Rumah guru disimbah cat


Siti Noor
Siti Noor menunjukkan keretanya yang disimbah dengan cat merah malam tadi.
KOTA BHARU - Sebuah keluarga hidup dalam ketakutan apabila rumah mereka di Taman Sabariah, di sini dibaling dengan cat merah dalam kejadian, jam 11 malam tadi.

Mangsa, Siti Noor Sidin Ahmad, 40, merupakan seorang guru berkata, pada malam tersebut dia sedang melakukan kerja rumah dan dikejutkan dengan bunyi letupan yang kuat.

“Apabila membuka tingkat rumah saya lihat lantai, serta tiang rumah dan kereta dipenuhi dengan cat berwarna merah,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Menurutnya, anak lelaki sulungnya, Amirul Azim Zulkifli, 13, sempat melihat sebuah kereta Perodua Kancil berhenti di hadapan pintu pagar rumahnya.

Beliau yang ketika itu tinggal bersama lima anaknya yang berumur di antara 13 hingga tiga tahun itu terus menghubungi suaminya, yang merupakan seorang pensyarah di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) Tanjong Malim Perak, Zulkifli Yaacob untuk memaklumkan kejadian tersebut.

Siti Noor berkata, sebaik sahaja selesai menghubungi suami, dalam jam 11.30 malam beliau terus membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Chepa.

“Ini merupakan kali pertama rumah saya di simbah dengan cat merah semenjak sembilan tahun menetap di kawasan perumahan ini.

“Sebelum kejadian, saya ada dimaklumkan oleh jiran-jiran bahawa mereka ternampak sebuah kereta Perodua Kancil dilihat melalui kawasan rumah ini beberapa kali,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azaham Othman mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan akan menjalankan siasatan lanjut.

Suami, isteri dan cucu maut dihempap buah sawit



20 Oktober 2012
PEKAN - Sepasang suami isteri dan cucu mereka yang berusia setahun maut dalam satu kemalangan membabitkan sebuah lori membawa buah kelapa sawit dan dua buah kereta di Kilometer 9, Jalan Salong-Chini, dekat Pekan, hari ini.
Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahaya Othman berkata, kejadian pukul 2.30 petang itu meragut nyawa pemandu kereta Perodua Kancil, Abdul Malek Mohamed Saman, 62; isterinya, Faridah Hamzah, 56; dan cucu mereka, Nur Syafiqa Shalily Mohd Khairul Nizam, setahun; kesemuanya dari Felda Chini 4, dekat sini.
"Ketika tiba di tempat kejadian, buah kelapa sawit lebih muatan yang dibawa oleh sebuah lori yang datang dari arah bertentangan tiba-tiba terjatuh dan menghempap kereta Kancil," katanya kepada pemberita di sini.
Menurut Yahaya pada masa yang sama sebuah kereta Proton Iswara yang berada di belakang kereta Kancil itu tidak sempat mengelak lalu melanggarnya mengakibatkan pemandunya patah tangan.
Katanya semua mangsa yang meninggal dunia dan cedera dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat dan rawatan lanjut.
Beliau berkata pemandu lori sawit itu kini ditahan untuk siasatan lanjut. - Bernama

Kelantan cipta sejarah, Annuar sujud syukur di Makkah


Kelantan cipta sejarah, Annuar sujud syukur di Makkah
Muka Depan Sinar Harian
SHAH ALAM - Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa yang kini berada di Makkah untuk menunaikan ibadah haji melahirkan kesyukuran tidak terhingga atas kejayaan pasukan The Red Warriors yang mencipta sejarah - kejuaraan 'treble' dengan menewaskan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2 malam tadi.

"Alhamdulillah... Ku sujud syukur di Masjidil Haram malam ini atas doa yang dimakbul ALLAH SWT! Alllahhuakbar!! Tahniah Bojan dan seluruh TRW (The Red Warriors).

"Terima kasih pada penyokong dan set (kawan-kawan) kita yang setia bersama.. Tiga piala disembah pada (Sultan Kelantan) Duli Yang Maha Mulia Alsultan Muhamad V dan seluruh rakyat Kelantan serta penyokong setia TRW. Saya ucapkan terima kasih pada semua!! Dari Makkarratul Mukkarramah," tulis beliau menerusi laman sosial Facebook.

Minggu lalu beliau mengumumkan hadiah sebidang tanah jika Kelantan menang Piala Malaysia 2012. Kemenangan itu menjadi kenyataan malam tadi.
Kemenangan semalam dilihat penganalisis dan pemerhati sebagai amat bermakna buat Annuar yang kini digantung oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selama dua tahun enam bulan.

Ekoran penggantungan itu, beliau dilarang sama sekali terbabit dalam aktiviti sukan bola sepak di negara ini sama ada di peringkat kebangsaan mahu pun di peringkat negeri.

Skuad Kijang menjadi perhatian dan menonjolkan prestasi pada tahap tertinggi setelah Kafa diterajui oleh Annuar pada 2007.

Mutu permainan gergasi Pantai Timur itu menyerlah apabila mencapai satu demi satu kejayaan termasuk buat pertama kalinya menjuarai Piala Malaysia pada 2010.
Tahun ini, The Red Warrriors melengkapkan misi treble setelah merangkul Piala Malaysia 2012 yang diadakan di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Pasukan kendalian Bojan Hodak itu sebelum ini meraih kemenangan dalam Liga Super dan Piala FA.

Wonder Girls sopan berbaju kurung


Wonder Girls sopan berbaju kurung
Wonder Girls
COMEL sungguh lima gadis dari kumpulan K-Pop terkenal, Wonder Girls yang memakai baju kurung ketika membuat persembahan di konsert mereka di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dengan imej sopan sebegitu, mereka langsung tidak kekok menari menghiburkan peminat.

Ramai peminat memuji kumpulan dari Korea Selatan ini kerana pandai membawa diri dan menghormati budaya masyarakat di sini.

Jika artis antarabangsa boleh mengikut garis panduan berpakaian ketika membuat persembahan di Malaysia, mengapa tidak artis kita?

Malah, kebelakangan ini artis tempatan seolah-olah berlumba-lumba untuk tampil seksi di majlis anugerah.

Mungkin selepas ini, penganjuran mana-mana majlis anugerah boleh mengangkat baju kurung sebagai tema pakaian. Pasti ramai artis kita yang tampil sopan dan sejuk mata memandang.

Friday, October 19, 2012

Anu bengkak pakai gelang

IPOH: Bidang tugas anggota pasukan bomba dan penyelamat kini bukan sekadar memadam kebakaran atau mengeluarkan mangsa kemalangan, malah turut meliputi kerja menyelamatkan lelaki gila seks gara-gara cincin, gelang besi atau nat skru tersangkut pada kemaluan mereka.

Dalam kes terbaru, minggu lalu khidmat anggota bomba dan penyelamat Ipoh ditagih pihak hospital bagi memotong nat besi yang tersekat pada kemaluan seorang lelaki berusia 30-an.

Lelaki terbabit berbuat demikian kerana terpengaruh dengan dakwaan kononnya pemasangan gegelang seperti cincin dan nat pada kemaluan mampu meningkatkan keupayaan seksual serta memanjangkan zakar.

Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Mohd Mahir Mat Saad berkata, lelaki itu dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, selepas nat besi bersaiz lebih kurang syiling 50 sen yang disarungkan pada pada kemaluannya gagal dikeluarkan.

Menurutnya, tindakan lelaki itu menyebabkan aliran darah pada kemaluannya tersumbat sehingga alat sulitnya itu membengkak dan bertukar lebam hitam. - MyMetro*

Budak enam tahun juruhebah termuda


Amber gembira mengendalikan slotnya sendiri.
Amber gembira mengendalikan slotnya sendiri.
LONDON - Buku Rekod Guinness menamakan seorang budak perempuan berumur enam tahun, Amber Jacobs sebagai juruhebah paling mudah dalam gelombang udara.

Pada umur enam tahun, Amber atau dikenali sebagai DJ AJ dikategorikan sebagai kanak-kanak matang, menjadi tajuk utama apabila berkongsi muzik yang digemarinya bersama pendengar selain tampil sensasi dalam internet.

Kehebatan Amber terdedah sejak enam bulan lalu, apabila dia membantu bapanya, Steve, seorang pengarah stesen radio internet TBFM Online memilih lagu untuk disiarkan.

Amber kini memiliki slotnya sendiri yang dikeudarakan dalam segmen bapanya dan Amber bertanggungjawab memilih dan memainkan lagu selain bercakap dan memberi isyarat muzik.

Dalam satu temu bual bersama akhbar harian Britain, The Sun, Steve memberitahu anaknya itu sentiasa menari sebaik sahaja beliau menyiarkan muzik yang digemarinya di dalam studio. - AFP

Jumpa keris melekat pada akar kayu


Keris yang ditemui melekat pada akar pokok kucing galak. Gambar kecil: Nasir Othman.
Keris yang ditemui melekat pada akar pokok kucing galak. Gambar kecil: Nasir Othman.
SEBERANG PERAI UTARA - Seorang pengamal perubatan terkejut menemui sebilah keris lama berukuran 15 sentimeter (cm) terlekat pada akar sebatang pokok yang dicabutnya untuk tujuan perubatan di kawasan semak di belakang perumahan penduduk di Kampung Bagan Ajam di sini, kelmarin.

Nasir Othman, 65, yang juga pesara tentera sering menjadikan kawasan berkenaan untuk mendapatkan pokok kucing galak yang dijadikan ubat merawat pelbagai penyakit kucing sejak lima tahun lalu.

Lebih mengejutkan, katanya, keris dengan anggaran berat 10 gram itu amat sukar dipisahkan dari akar Pokok berkenaan.

“Jika nak diikutkan akar pokok ini sepertimana pokok renek lain yang mudah putus apabila ditarik kerana ia bersaiz kecil, namun usaha saya memisahkan keris dari akar pokok ini selepas menemuinya, semalam, menjadi sukar.

“Sebagai orang lama yang turut mengamalkan perubatan tradisional, saya tahu keris yang dianggarkan berusia puluhan tahun ini agak ‘keras’ dan istimewa," katanya.

Nasir yang pernah berkhidmat dalam angkatan tentera laut berkata, penemuan keris berlok tiga itu turut menimbulkan misteri pada dirinya, kerana sebaik dibawa pulang dan dibasuh kesihatan dirinya tiba-tiba berubah.

“Selesai membasuhnya dan sewaktu hendak dilap menggunakan kain kepala saya tiba-tiba terasa berat sebelum pening dan rasa nak muntah serta hampir pitam.

“Menghairankan, keris itu tiba-tiba kering dan turut menitiskan air dari hujungnya, walaupun lekuk dan loknya tidak ada tempat simpanan air,” katanya.

Nasir, yang mempunyai sedikit pengetahuan berkaitan penjagaan barangan misteri kemudiannya mendapatkan sehelai kain kuning untuk membalut keris itu.

“Sebaik dibalut, air titisan itu berhenti dan kesihatan saya kembali normal membuatkan saya beranggapan keris ini sememangnya istimewa dan perlukan penjagaan rapi.

“Sejak malam semalam, sebaik penemuannya diketahui umum, rumah saya mula dipenuhi orang ramai yang ingin melihatnya. Malah ada antara mereka sanggup menawarkan harga tinggi untuk memilikinya,” katanya yang tidak berhajat menjualnya.

Menurutnya, dia juga mengalami mimpi buruk semalam apabila diingatkan berkali-kali oleh satu suara ghaib supaya menyimpan keris itu dengan baik dan tidak menyalah gunakannya.

“Sebaik terjaga, jantung saya berdegup kencang, manakala hampir keseluruhan tubuh dibasahi peluh menyebabkan cadar yang dijadikan alas katil turut basah.

“Kejadian pelik sebaik keris itu ditemui merupakan kali pertama dialami dan saya percaya ia ada kena mengena dengan senjata penting yang digunakan oleh anggota masyarakat terdahulu ini,” katanya.

Katanya, dia akan menyimpan keris itu dan tidak menolak kemungkinan ia boleh digunakan sebagai antara peralatan penting semasa menjalankan perubatan tradisional terhadap pelanggan yang datang berubat dengannya selepas ini.

Psy menari tarian kanggaru




PSY menghiburkan para peminatnya dengan tarian baharunya di Sydney semalam.


SYDNEY - Penyanyi rap Korea Selatan, Psy menghiburkan para peminatnya pada pagi semalam, lapor akhbar The Herald Sun.
Beribu-ribu peminat membanjiri Martin Place di sini untuk menyaksikan persembahannya selepas dia popular dengan tarian kuda menerusi muzik video Gangnam Style di laman YouTube.
Kebanyakan peminat mula berada seawal pukul 1 pagi pada waktu tempatan.
Psy membuat persembahan itu ketika dia menghadiri program Sunrise terbitan stesen televisyen Channel 7.
Bagaimanapun, Psy tidak membuat tarian kuda.
Sebaliknya, dia membuat tarian beruang panda dan kanggaru.
"Ini (tarian itu) merupakan tarian yang baharu (buat peminat-peminat di luar negaranya) tetapi di Korea Selatan, ia merupakan rentak tarian Psy yang lain.
"Saya membuat tarian itu pada setiap masa," kata Psy.
Menurutnya, dia menghabiskan banyak masa dengan pereka tarinya untuk menghasilkan tarian tersebut.
Muzik video Gangnam Style telah ditonton lebih 480 juta kali di YouTube sejak ia dimuat naik pada 15 Julai lalu.
Sebelum ini dia pernah membuat konsert percuma di Seoul, Korea Selatan bagi menghargai sokongan para peminatnya. - Agensi

Buah labu terbesar dunia milik Wallace



WALLACE (kiri) bercakap kepada Kelly dan Michael (kanan) tentang buah labu gergasi miliknya pada program Live with Kelly and Michael di New York kelmarin.


NEW YORK - Seorang penanam labu, Ron Wallace dari Greene, Pulau Rhode, Amerika Syarikat diundang menghadiri program bual bicara Live with Kelly and Michael di sini kelmarin.
Dia diundang bagi menceritakan tentang buah labunya yang seberat 849 kilogram (kg).
Buah labu itu direkodkan sebagai yang terbesar di dunia.
Ia mengatasi rekod Guinness World Records hampir 90.71kg.
Wallace memenangi pertandingan buah labu terbesar pada pertandingan hasil pertanian di Topsfield, Massachusetts baru-baru ini.
Dia menenangi hadiah wang tunai sebanyak AS$5,500 (RM16,694) ekoran kemenangannya.
Wallace juga memperoleh wang tunai sebanyak AS$10,000 (RM30,353) kerana berjaya memecahkan rekod dunia. - Agens

Lelaki 96 tahun jadi bapa tertua di dunia



LAMAN YouTube semalam menunjukkan Raghav dan isterinya mendukung kedua-dua anak mereka.


HARYANA, India - Seorang lelaki berusia 96 tahun menjadi bapa paling tua di dunia selepas isterinya yang telah dikahwininya selama 17 tahun melahirkan anak kedua mereka pada awal bulan ini, lapor portal berita Indian Today semalam.
Lelaki itu, Ramajit Raghav dan isterinya, Shakuntala, 54, tidak pernah dikurniakan cahaya mata untuk tempoh 15 tahun pertama perkahwinan mereka.
Pasangan yang bertemu jodoh di sebuah perkampungan Kharkhosa di daerah Sonepat itu menerima kehadiran cahaya mata sulung lelaki dua tahun lalu.
Bagaimanapun, anak kedua mereka, Ranjit dilahirkan 5 Oktober lalu.
"Tuhan mungkin mahukan kami memiliki lagi anak. Saya sangat gembira," katanya yang juga seorang petani.
Raghav yang berasal dari Azamgarh berhijrah ke Sonepat 20 tahun yang lalu bagi mendapat pekerjaan.
Dia merupakan bekas ahli gusti ketika zaman mudanya.
Raghav memecahkan rekod sebagai bapa tertua di dunia buat kali pertama pada 2007.
Petani tersebut menewaskan rekod yang dipegang oleh lelaki dari Rajasthan, Nanu Ram Jogi yang berusia 90 tahun apabila memperoleh anaknya yang ke-21.
Raghav kini memecahkan rekodnya sendiri apabila dia memperoleh anak keduanya.
Menurut petani tersebut, dia mahu kedua-dua anaknya menjadi pegawai tinggi pentadbiran.
Akhbar dalam talian MailOnline melaporkan, Raghav mengamalkan diet dengan meminum susu, memakan buah badam dan mentega.
Petani itu berkata, jiran-jirannya berasa cemburu kerana dia berjaya memperoleh dua anak yang sihat.
Raghav berkata, jiran-jirannya kerap bertanya rahsia kesihatan dirinya.
Lelaki tersebut berkata, dia mengambil berat tentang isterinya dan memenuhi keperluannya.
"Dia seorang wanita yang amat gembira," katanya.
Ketika Shakuntala melahirkan anaknya di sebuah hospital di sini, petani tersebut diketawakan oleh doktor-doktor kerana dia menyatakan bayi itu ialah anaknya.
Shakuntala menyatakan dia amat sayang suaminya itu.
"Saya menyayanginya walaupun dia kadangkala menjerit ke arah saya," katanya.
Menurut portal berita International Business Times, dia tidak mahu anak lagi selepas memperoleh dua cahaya mata. - Agensi

Helikopter tentera Syria ditembak jatuh di Idlib



KOMBINASI gambar menunjukkan sebuah helikopter tentera ditembak jatuh oleh kumpulan penentang di wilayah Idlib semalam.


DAMSYIK - Para penentang Presiden Bashar Al-Assad menembak jatuh sebuah helikopter dalam satu pertempuran sengit ketika pihak tentera berusaha untuk menawan sebuah bandar di Syria semalam.
Helikopter itu ditembak jatuh di wilayah Idlib.
Kejadian itu berlaku semasa Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Lakhdar Brahimi memberi amaran bahawa konflik yang berlaku di Syria boleh merebak menjadi semakin serius.
Beberapa pertempuran masih tercetus di Damsyik dan Aleppo walaupun Brahimi meminta gencatan senjata dilaksanakan antara pihak penentang dengan tentera Presiden Bashar Al-Assad bagi menghormati kedatangan Hari Raya Aidiladha.
"Saya berharap pihak pemerintah Syria dan puak penentang bersenjata dapat memberikan reaksi positif untuk melakukan gencatan senjata dan berhenti daripada melakukan kekejaman ketika sambutan hari raya," katanya.
Menurut Brahimi, beliau tidak mahu pergolakan di Syria berterusan seperti Lebanon yang mengambil masa selama 19 bulan bagi mengakhiri tragedi pertumpahan darah.
"Krisis ini tidak boleh dibiarkan berterusan berlaku di Syria," katanya kepada media di Beirut.
Konflik tersebut yang bermula pada Mac 2011 di Syria itu telah meragut lebih 30,000 orang.
Para penentang tersebut mahu Bashar meletakkan jawatan kerana beliau gagal melaksanakan pembaharuan politik dan kebebasan bersuara.
Ketegangan juga semakin meningkat antara Damsyik dan Ankara apabila lima warga Turki terbunuh dalam bedilan meriam tentera Syria pada 3 Oktober lalu. - Agensi

Thursday, October 18, 2012

Download Panggilan hangit mp3.rar

Download Panggilan hangit mp3.rar sila klik butang download di bawah

Tuesday, October 16, 2012

Baumgartner lebih pantas daripada kelajuan bunyi


WASHINGTON - Pelagak ngeri Austria, Felix Baumgartner menjadi manusia pertama bergerak lebih pantas daripada kelajuan bunyi di luar sebuah kapsul kelmarin.

Dia terjun dari kapsul tersebut yang berada setinggi 39 kilometer (km) dari Bumi.

Kapsul tersebut bergerak ke udara dengan menggunakan belon helium.

Ia mengambil masa lebih dua jam untuk tiba pada ketinggian 39km dari Bumi.

Kelajuannya mencecah 1,342 kilometer sejam (km/j).

Lelaki itu 265km/j lebih pantas daripada bunyi.

Baumgartner, 43, kemudian mendarat dengan menggunakan payung terjun di sebuah kawasan di sebuah gurun di Roswell, New Mexico, Amerika Syarikat (AS).

Laman web syarikat minuman tenaga Red Bull menyiarkan aksi pelagak ngeri itu yang memakai pakaian seperti angkasawan semasa dia berada di dalam kapsul tersebut.

Baumgartner menanggalkan topi dan menggenggam kedua-dua tangannya selepas dia mendarat dengan selamat.

"Apabila saya berdiri di atas dunia, anda berasa rendah diri. Anda tidak berfikir tentang memecahkan rekod lagi. Anda juga tidak memikirkan untuk memperoleh data saintifik.

"Satu-satunya perkara yang anda fikirkan ialah pulang dengan selamat," katanya selepas dia selamat mendarat kepada wartawan stesen televisyen CBS.

Dia turut memecahkan rekod sebagai manusia pertama membuat terjunan dari altitud tinggi.

Sebelum ini seorang bekas pegawai tentera udara AS, Kolonel Joe Kittinger memegang rekod itu dengan terjun dari sebuah gondola pada ketinggian 31 kilometer dari Bumi dengan kelajuan 988km/j pada tahun 1960.

Baumgartner menyatakan pengalamannya terjun dengan lebih laju daripada bunyi itu sukar untuk digambarkan.

"Anda tidak mengetahui kepantasan anda," katanya.

Rekod itu kemudian disahkan oleh jurucakap Persekutuan Aeronautik Antarabangsa (FAI) pada sidang akhbar di Roswell, New Mexico.

Presiden Austria, Heinz Fischer mengucapkan tahniah ekoran kejayaannya dalam projek terjunan anjuran Red Bull Stratos.

Baumgartner pernah terjun dengan menggunakan payung terjun dari Bangunan Petronas di Kuala Lumpur pada 1999. - Agensi

Monday, October 15, 2012

Perlumbaan lembu di sawah padi



SEJUMLAH penonton menyaksikan pertandingan perlumbaan Pacu Jawi. - Agensi


PADANG PANJANG, Sumatera Barat – Satu perlumbaan lembu di kawasan sawah padi diadakan di sini kelmarin.
Sukan itu dikenali sebagai Pacu Jawi dalam kalangan penduduk Minangkabau.
Ia diadakan selepas musim menuai padi berakhir. Pada perlumbaan itu, seorang lelaki akan berdiri di atas sekeping papan yang ditarik dua ekor lembu.
Lelaki itu turut memukul ekor haiwan itu supaya berlari dengan lebih pantas untuk menewaskan pesaingnya. – Agensi

Latihan khas siswazah menganggur

SISWAZAH menganggur kini berpeluang menambah kemahiran bagi memudahkan mereka mendapat pekerjaan. – Gambar hiasan.



KUALA LUMPUR – Siswazah menganggur kini diberi peluang unik mengikuti program latihan selama enam minggu tajaan kerajaan bagi membantu mereka mendapatkan pekerjaan.
Dikenali sebagai Graduate Career Accelerated Programme (GCAP), program tersebut menawarkan latihan peningkatan kemahiran untuk mencerahkan peluang siswazah diambil bertugas dalam industri perkhidmatan.
Program latihan berkenaan mengutamakan pemberian pengalaman dan bersifat interaktif untuk memberi kelebihan istimewa kepada peserta, di samping mempersiap lepasan universiti untuk menghadapi cabaran pasaran kerja yang amat berdaya saing kebelakangan ini.
GCAP ditaja TalentCorp iaitu sebuah badan di bawah Pejabat Perdana Menteri yang diurus My-Partners Sdn. Bhd. dan disusun serta dilaksanakan oleh Scicom Education Group.

Budak lelaki 2 tahun maut dihempap televisyen


Halif Hariz yang maut selepas dihempap televisyen.
Halif Hariz yang maut selepas dihempap televisyen.
KUALA LUMPUR - Seorang budak lelaki berumur dua tahun mati dihempap televisyen di rumahnya di Jalan Saujana 1, Taman Ampang Saujana di Ampang dekat sini hari ini.
  
Kejadian kira-kira 1.50 petang itu berlaku ketika Halif Hariz Khairil Anuar menarik sebuah laci rak televisyen dalam bilik tidur, yang menyebabkan televisyen 29 inci condong ke depan dan menghempap mangsa.
  
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Superintenden Md Nazri Zawawi berkata semasa kejadian, ibu mangsa, Nor Azlin Mohd Ali, 31, yang berada di bilik itu terdengar bunyi benda jatuh.
  
"Apabila menoleh ke arah anaknya, beliau mendapati anaknya dihempap televisyen," katanya ketika dihubungi hari ini.
  
Beliau berkata Halif Hariz mengalami kecederaan teruk dan meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Ampang.
  
Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut. - Bernama

Sunday, October 14, 2012

Misteri bola mata gergasi


Misteri bola mata gergasi
Kemunculan bola mata gergasi berwarna biru di pantai Florida Selatan ini mencetuskan tanda tanya banyak pihak. Foto:AP
MIAMI - Kemunculan bola mata gergasi berwarna biru di pantai Florida Selatan telah mencetuskan tanda tanya banyak pihak selepas gambarnya dimuat naik ke dalam internet.

Pembantu profesor untuk program sains marin di Universiti Antarabangsa Florida, Heather Bracken-Grissom berkata, hasil pemerhatian awal mereka mendapati objek misteri itu mungkin spesies sotong yang hidup di laut dalam atau ia adalah spesies ikan todak yang besar.

Difahamkan, bola mata gergasi itu ditemui oleh seorang penduduk tempatan semasa dia bersiar-siar di sepanjang pantai Pompano utara Fort Lauderdale pada Rabu lalu.

Menurut Heather, perubahan suhu dunia turut memberi kesan kepada laut dan keadaan tersebut mungkin telah menyebabkan kemunculan beberapa spesies hidupan laut dalam yang tidak pernah dilihat sebelum ini di pesisir pantai.

"Kanta bebola mata objek misteri itu menyerupai bentuk mata sotong di laut dalam.Ia boleh membesar seperti saiz sebuah bola sepak.

Misteri bola mata gergasi tersebut akan terjawab selepas kami selesai menjalankan kajian ke atasnya di Institut Penyelidikan Hidupan Liar dan Akuatik Florida di St Petersburg," jelasnya.-AP

Gua menyerupai sampan, tangga


Sungai Kenong
Keindahan gua batu kapur sambil Sungai Kenong mengalir deras melewati gua itu
Taman Rimba Kenong
Keindahan landskap gua batu kapur di Taman Rimba Kenong
TAMAN Rimba Kenong merangkumi kawasan seluas 121 kilometer persegi di Lembah Kenong yang terletak di barat daya Taman Negara Pahang.

Taman ini memiliki beberapa gua batu kapur yang menakjubkan, ditambah bunyi nyanyian burung dan deruan air terjun memecahkan suasana tenang dan sunyi.

Seorang penduduk tempatan yang mahu dikenali sebagai Pak Tam, 70, berkata, terdapat lebih 20 gua di kawasan itu termasuk lapan yang dikenal pasti dan diterokai, antaranya Gua Batu Tinggi, Gua Batu Tangga, Gua Kesong, Gua Hijau, Gua Buta dan Gua Harimau.

Menurutnya, setiap gua batu kapur di sini terletak sejauh setengah jam perjalanan merentas hutan.

“Daripada lapan gua itu, yang paling menarik ialah Gua Batu Tinggi kerana dikatakan menyerupai sebuah sampan tebuk sambil Sungai Kenong mengalir deras melewati gua itu.

“Menurut cerita dongeng masyarakat tempatan, gua ini terbentuk ketika sebuah sampan yang membawa utusan raja dari Pekan berubah menjadi batu,” katanya.

Pak Tam berkata, Gua Batu Tinggi terletak antara 122 hingga 152 meter dari permukaan laut dan keunikannya terletak pada pembentukan batu-batan yang menyerupai tangga sejarah purba.

“Menariknya, pelbagai jenis tumbuhan liar termasuk jenis bunga anggerik, pohon ara dan epifit menghiasi dan menambah keunikan gua itu," katanya.

Di samping dapat menyaksikan keajaiban sejarah purba, Pak Tam berkata, Gua Batu Tinggi juga menjanjikan pemandangan dan pengalaman berbeza apabila pengunjung dapat melihat kehadiran pelanduk, landak mahupun gajah.

Difahamkan gua-gua itu menjangkau usia yang terlalu lama kerana mengikut kajian ahli kaji bumi dan ahli kaji purba dari kesan-kesan peninggalan purba, sudah wujud kehidupan sejak berabad lalu yakni sejak Zaman Batu.

Pak Tam berkata, bagi pencinta alam yang gemar menjejaki keunikan gua-gua berusia ratusan tahun, Taman Rimba Kenong adalah pilihan tepat untuk disisipkan dalam agenda percutian.

"Hanya tiga jam hendak sampai ke taman ini dari Kuala Lumpur, ia juga boleh dihubung melalui pengangkutan kereta api. Mereka perlu berhenti di bandar Kuala Lipis sebelum mengambil tren ke stesen di Batu 9.

“Dari situ, mereka boleh berjalan kaki selama lima minit ke jeti di Sungai Jelai dan kemudian menaiki bot selama 20 minit menuju Jeti Tanjung Kiara di Sungai Kesong. Pengembaraan ke rimba itu bermula dari jeti ini,” katanya.

Pak Tam berkata, pelancong juga boleh mengambil bot dari Jeti Kuala Lipis untuk ke Tanjung Kiara atau menaiki pacuan empat roda melalui jalan ke Felda Kechau Sembilan sebelum merentas Kampong Matok.

“Terdapat penginapan dalam bentuk resort, chalet, bilik ala asrama serta tapak perkhemahan di Taman Negara.

“Pelancong yang pernah menjejakkan kaki di taman rimba itu bukan sahaja terdiri daripada pencinta alam tempatan, bahkan dari luar negara seperti Perancis dan Britain.” katanya.

Menurutnya, pengunjung juga pastinya seronok berkelah di air terjun tujuh tingkat Lata Kenong serta jeram di Sungai Kenong.

Temelian sembah berhala


Temelian sembah berhala
Ikan Tomanlian yang berjaya dinaikkan oleh seorang kaki pancing.
Temelian sembah berhala
Ikan temelian ini akan mencari kawasan cetek untuk berkumpul dan membiakkan telurnya.
Temelian sembah berhala
Sungai di jambatan berhampiran Felda Jengka 8 inilah yang dikatakan menjadi laluan ikan Tomanlian pergi berkumpul menyembah berhala.
Mungkin ramai yang masih belum mengetahui mengenai mitos ini, namun ia amat terkenal buat kaki-kaki pancing yang mencari ikan temelian seberat 30 hingga 50 kilogram

Menurut cerita seseorang, setiap awal tahun sekitar Januari hingga Jun, sekumpulan ikan temelian akan timbul di sepanjang sungai Pahang.

Difahamkan hidupan air terbabit berenang di sepanjang Sungai Pahang, bermula dari Jerantut melalui sungai di jambatan Felda Jengka 8 dan menuju ke sungai berdekatan Sungai Tekam.

Dikatakan, di sepanjang sungai terbabit, terdapat berhala dalam hutan yang menjadi tempat berkumpulnya ikan-ikan terbabit.

Dikatakan juga, setiap tahun, sekumpulan ikan temelian ini akan menuju ke situ untuk menyembah berhala tersebut yang berada di dalam sungai di tengah-tengah hutan dan tidak dapat dilihat manusia.

Kesempatan tersebut digunakan sebaiknya oleh penduduk setempat yang mengetahui tempat berkumpulnya ikan-ikan terbabit untuk membuat tangkapan.

Menurut kata kaki pancing Sungai Pahang, mereka akan mula memasang jaring ketika itu dan menanti ikan temelian itu tersangkut di jaring mereka.

Ketika  tiba musim ini, penduduk sekitar seperti berpesta di mana mereka akan turun beramai-ramai ke sungai untuk mendapatkan ikan ini.

Seekor ikan temelian boleh mencecah sehingga lebih 40 kilogram dan sebesar seorang kanak-kanak yang berusia sekitar 12
tahun.

Sekadar cerita dongeng

Sinar Harian turut membuat tinjauan orang ramai berkaitan cerita mitos ini, namun rata-ratanya tidak mengetahuinya.

Bagi Mohd Nasir Zainal, 58, atau lebih gemar dikenali sebagai Pak Itam, berkumpulnya ikan-ikan temelian terbabit bukanlah hendak menyembah berhala seperti yang didongengkan, sebaliknya, ia berkumpul untuk membiak.

“Setiap awal tahun, ikan temelian ini akan mencari kawasan cetek untuk membiakkan telurnya.

“Ia juga dikenali sebagai musim ikan berlaga oleh penduduk sekitar kerana ikan ini akan berlaga sesama mereka untuk memecahkan telur,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya lagi, ikan temelian ini kebiasaannya akan berkumpul di kawasan-kawasan pulau dan berpasir serta di kuala-kuala sungai.

“Di kawasan-kawasan ini, kita akan dapat lihat ikan-ikan ini timbul dan berlaga sesama mereka melalui percikan-percikan air di sungai.

“Pada ketika itu juga, ikan-ikan ini amat mudah diperolehi, malah kebesarannya adalah di luar jangkauan kerana mencecah berpuluh-puluh kilogram,” katanya yang pernah menangkap ikan temelian seberat 42 kilogram.

Menurutnya lagi, ikan temelian ini suatu ketika dahulu tidaklah semahal harga sekarang, malah orang dahulu tidak gemar memakannya kerana saiznya yang besar.

“Suatu ketika dahulu ia dijual pada harga RM5 sekilogram dan tidak mendatangkan apa-apa keuntungan. Kini saya mendapat tahu, ikan temelian ini dijual pada harga RM25 sekilogram,” katanya.

Menurutnya lagi, menangkap ikan temelian ketika tiba musimnya mengawan dan bertelur adalah suatu kenangan indah buatnya bersama arwah ayahnya.