Kelantan
Pasukan Kelantan meraikan kejayaan bersama trofi Piala Malaysia setelah menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), semalam.
PIALA Malaysia 2012 melabuh tirainya dengan Kelantan dinobatkan juara Piala Malaysia buat kali kedua, sekali gus mencipta sejarah dengan memenangi tiga gelaran utama sebaris termasuk juara Piala FA dan Liga Super.

Kejuaraan kali ini adalah yang kedua bagi Kelantan selepas kali pertama memenanginya pada 2010 apabila menumpaskan Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

 
Pasukan yang dibarisi barisan bintang dan berpengalaman, jelas membuktikan pasukan itu sememangnya layak untuk mencipta sejarah mereka tersendiri dalam arena bola sepak.

Semua sedia maklum, sejak awal perlawanan peringkat kumpulan lagi, ramai yang sudah menjangka pasukan Kelantan mampu merampas kembali kejuaraan ini daripada Negeri Sembilan berdasarkan prestasi cemerlang ditunjukkan pasukan The Red Warriors.

Dan, akhirnya terbukti apabila skuad kendalian Bojan Hodak nyata tidak menghampakan peminat setia skuad Kijang apabila memenuhi impian berjuta peminat seluruh Malaysia dengan berjaya menewaskan Angkatan Tentera Malaysia 3-2 di final.

 
Bagaimanapun pada awalnya, anak didik Bojan terpaksa mengharungi laluan berliku dalam saingan di peringkat kumpulan apabila tewas 0-2 ketika menentang Terengganu. Namun, Kelantan bangkit untuk menewaskan Kedah 2-1.
 
Selepas itu, skuad The Red Warriors terus menunjukkan taring apabila menjinakkan Terengganu 6-1 dalam perlawanan akhir peringkat kumpulan dan melayakkan bimbingan Bojan ke saingan suku akhir.

Bagaimanapun, laluan semakin getir terpaksa diharungi pasukan Kelantan di peringkat suku akhir dan separuh akhir apabila terpaksa berdepan Felda United dan Selangor.

Namun, dengan status juara, tidak diragui bahawa kebolehan skuad kendalian Bojan untuk muncul juara Piala Malaysia sememangnya jelas berdasarkan prestasi mereka yang konsisten sejak bermulanya saingan di peringkat kumpulan.

Secara keseluruhan pertemuan semalam, Kelantan dan ATM membuktikan kedua-dua pasukan adalah pasukan yang terbaik. Masing-masing menunjukkan aksi yang cemerlang apabila berjaya mengunci pergerakan dalam melakukan serangan yang banyak ke arah gawang.

Meskipun Kelantan berjaya mendahului lawan pada mulanya, tetapi ATM bangkit dan dilihat mampu untuk menyaingi barisan tengah berpengalaman Kelantan setelah setiap gerakan The Army seolah-olah sentiasa menjadi sehingga berjaya mengikat kedudukan 2-2 dan mengheret perlawanan tersebut di masa tambahan.

Perlawanan semakin genting dan mendebarkan.

ATM bersemangat untuk mencari kejuaraan buat julung kalinya, namun pengalaman yang dimiliki oleh Kelantan akhirnya memusnahkan impian itu apabila jaringan Indra Putra Mahayuddin memastikan Piala Malaysia menjadi milik The Red Warriors.


Apa yang jelas, pujian harus diberi kepada anak buah B. Sathianathan.

Meskipun gagal untuk menjulang Piala Malaysia buat julung kalinya, ATM membuktikan mereka sebuah pasukan antara yang terbaik dalam kancah bola sepak dan wajar digeruni.

Begitupun perlawanan sedikit tercalar ekoran pergaduhan pemain di atas padang dan insiden penyokong yang masih berkelakuan tidak bermoral. Pokoknya, pertemuan antara dua gergasi, Kelantan dan ATM sangat menghiburkan peminat seluruh Malaysia apabila perlawanan itu dipenuhi dengan aksi-aksi menarik.

Akhirnya, keputusan final membawa Kelantan mencipta tiga rekod.

Satu kejayaan yang luar biasa dan membanggakan. Tahniah Kelantan.