2 November 2012
Dia yang menghidap sejenis penyakit dikenali sebagai ‘capillary malformation’ sejak lahir itu turut melahirkan harapan tinggi rawatan laser bakal dijalani 8 November depan dapat mengubah wajahnya.
Bagaimanapun katanya, dia tetap berasa takut dan bimbang terhadap kesan rawatan bakal dijalani di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kelantan itu.
Chee Ming yang juga anak ketiga daripada enam beradik menyatakan jika wajahnya berjaya dipulihkan tiada perkataan lain selain gembira kerana dapat menikmati hidup bersosial dengan masyarakat sekitar selepas 42 tahun menyembunyikan wajahnya itu dengan duduk di rumah sahaja.
“Saya memang teringin hendak menjadi seperti manusia normal yang lain, tidak larat hendak bawa benda ini (ketumbuhan) yang berat di wajah setiap hari.
“Mengenai rawatan laser bakal dijalankan memang ada rasa takut kerana tidak tahu apa tindak balas dan kesannya selepas itu,” katanya yang merupakan antara pesakit pertama menerima rawatan untuk penyakit seperti itu di hospital negara ini.
Sementara itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Kembangan, Datuk Liew Yuen Keong berkata, lelaki berkenaan sudah menjalani lapan pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak enam bulan lalu sebelum kesnya dirujuk ke HUSM.
Katanya, sebuah jawatankuasa kecil ditubuh dan mendapat sokongan 12 doktor pakar untuk membantu Chee Ming dan seorang lagi pesakit yang menghidap penyakit sama mendapatkan rawatan.
“Sejak enam bulan lalu, kedua-dua pesakit sudah menjalani pemeriksaan dan mereka akan dihantar untuk mendapatkan rawatan laser mematikan selnya.
“Kita berharap rawatan diterima akan dapat memulihkan wajahnya dan dalam masa sama meningkatkan perkhidmatan perubatan diberikan oleh hospital di negara ini tanpa perlu membuat rawatan di luar negara,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Wanita MCA Selangor, Senator Chew Lee Giok berkata, beliau sudah mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan untuk mengurangkan beban ditanggung keluarga lelaki itu.
Beliau dalam pada itu mengingatkan supaya ibu bapa yang menyedari terdapat tanda-tanda bintik merah di wajah dan tubuh badan anak mereka ketika lahir supaya segera merujuk perkara itu kepada hospital.
Katanya, penyakit itu boleh dicegah awal namun jika tidak ia akan menyulitkan keadaan di kemudian hari. “Seperti kes ini, sudah terlalu lama barulah rawatan hendak dibuat, dalam kebanyakan kes sebelum ini, apabila ketumbuhan yang wujud disedari ketika bayi dibuang, ia tidak tumbuh dan menjadi begitu serius apabila pesakit meningkat dewasa,” katanya.
0 Komen:
Post a Comment