SAKIT...murid malang ini menjerit kesakitan ketika diangkat Yanhong dengan memegang cuping telinganya.
BEIJING: Seorang guru prasekolah di China dipecat selepas laman
perkongsian foto di Internet menunjukkan dia mengangkat muridnya dengan
memegang cuping telinga kanak-kanak malang itu.
Ibu bapa di wilayah Zhejiang di negara itu membuat aduan kepada jabatan
pendidikan tempatan selepas imej tidak berperikemanusiaan itu dimuat
naik dalam rangkaian laman sosial Weibo.
Foto itu menunjukkan Yan Yanhong, 20, tersenyum ketika dia mengangkat
kanak-kanak yang menjerit kesakitan itu beberapa inci dari lantai di
sebuah sekolah di bandar raya Wenling. Foto itu adalah satu daripada
lebih 700 gambar yang dimuat naik Yanhong di Internet yang kelihatannya
dirakam oleh guru lain.
Foto lain menunjukkan kanak-kanak dengan mulut mereka ditutup pita
pelekat dan tangan mereka dilekatkan ke meja agar mereka duduk diam
tidak bergerak. Satu lagi foto menunjukkan seorang kanak-kanak dicampak
dalam tong sampah dengan belakang tubuhnya melengkung di tepi tong
sampah.
Gambar terakhir menunjukkan kepala seorang kanak-kanak diserkup dengan bakul sampah.
Bagaimanapun, apabila bersemuka dengan media tempatan, Yanhong menjelaskan dia dan murid berkenaan hanya berseronok.
Sebuah akhbar tempatan melaporkan: “Tadika itu diarahkan agar
menyingkirkan guru terbabit dan melaporkan perkara itu kepada pihak
keselamatan awam tempatan.”
Pihak berkuasa yang menyiasat kes itu mendapati Yanhong tidak layak
untuk kerja itu, tetapi diambil bekerja ekoran kekurangan tenaga
pengajar.
Awal minggu ini seorang lagi guru di negara itu mencetuskan kemarahan
apabila rakaman menunjukkan dia menampar kanak-kanak perempuan berusia
lima tahun berulang kali. - DM
0 Komen:
Post a Comment