1 Ogos 2012
ALOR GAJAH - Tujuh bulan diberi tumpang siling sebuah rumah di Lorong Datuk Megat Alam Melintang, Taboh Naning, di sini, tiga beruk bukan sahaja tidak 'mengenang budi' malah sebaliknya cuba 'menculik' dan melarikan bayi tuan rumah.
Mujurlah dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi semalam, bayi itu, Waqil Wafi Sahrul Sayuti yang berusia tujuh bulan, berjaya diselamatkan neneknya, Esah Salim, 63.
Menceritakan semula kejadian itu, Esah berkata, dia dikejutkan dengan bunyi lampu pecah tatkala menjaga Waqil Wafi yang sedang tidur dalam buaian.
"Saya terkejut apabila tiba-tiba mendapati serpihan kaca lampu yang pecah itu jatuh dan nyaris terkena cucu saya," katanya.
Ketika itu, hanya mereka berdua di rumah. Anak Esah, Sahrul Sayuti Zainal, 34, keluar bekerja di Rembia manakala menantunya, Norazila Norsobrani, 33, mengajar di Sekolah Kebangsaan Cherana Putih.
Pada masa yang sama, kata Esah, dia mendengar bunyi hentakan yang sangat kuat dan bertalu-talu pada siling rumahnya.
"Ia benar-benar menakutkan. Sudahlah kaca lampu yang jatuh dan mengenai buaian cucu saya menyebabkan ia jatuh berderai di lantai membuatkan saya terkejut," katanya.
Rasa cemas Esah semakin kuat apabila mendapati siling rumahnya merekah dan kemudian pecah.
"Ketika itulah saya lihat tangan binatang itu cuba mencapai cucu saya yang masih dalam buaian," katanya yang masih lagi cemas dengan kejadian itu ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
Seakan berebut, Esah terus mencapai cucunya dan kemudian berlari sekuat hati keluar dari rumah. Tujuannya adalah ke rumah kakaknya, Jariah, 65, yang tinggal bersebelahan.
“Kami hubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk mendapatkan bantuan. Mujurlah cucu saya selamat. Saya tak dapat bayangkan jika dia dilarikan beruk liar itu,” katanya.
Esah berkata, tiga beruk berkenaan telah menghuni bahagian siling rumahnya sejak tujuh bulan lalu tetapi semakin mengganas sejak kebelakangan ini sehingga menimbulkan kebimbangannya sekeluarga.
Selongkar rumah pusaka
“Pelbagai cara saya lakukan bagi memastikan rumah tidak diganggu beruk tetapi semuanya tidak berhasil.
"Kemuncaknya adalah hari ini (semalam) apabila siling di bahagian ruang tamu dan bilik pecah dikerjakan binatang itu," katanya.
Esah yang menetap di kawasan berkenaan sejak lebih setahun lalu berkata, binatang itu turut memasuki rumah pusaka ibunya yang terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya.
"Binatang itu selongkar semua barang dalam rumah hingga bersepah. Setiap hari kami diganggu sehingga mahu keluar rumah pun jadi bimbang kerana risau diterkam. Bayangkan, saiznya sahaja sudah menggerunkan kerana sebesar kanak-kanak berusia 6 tahun.
"Kumpulan beruk itu berkeliaran di depan rumah hampir setiap hari,” katanya.
Lari ke hutan
Sementara itu, Ketua Operasi JPAM Alor Gajah, Mohd Rizuan Rahmat berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 9.35 pagi.
Seramai tujuh anggota JPAM dan dua anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bergegas ke lokasi kejadian bagi menangkap haiwan berkenaan.
“Bagaimanapun, apabila kami tiba di tempat kejadian, tiada lagi bunyi hentakan kedengaran dan saya segera menghubungi Jabatan Perhilitan Melaka untuk membantu menangkap beruk terbabit jika ia masih berada di siling rumah berkenaan.
“Namun kumpulan beruk liar itu dipercayai sudah melarikan diri ke hutan dan kami akan sentiasa memantau dari semasa ke semasa bagi memastikan ia tidak mencederakan dan mengganggu penduduk di kawasan berkenaan,” katanya.
0 Komen:
Post a Comment