KOTA BHARU- Kelantan negeri pertama di negara ini mencipta sejarah mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Record (MBOR) dengan penyertaan terbesar seramai 6,000 rakyat berqiamulai bersama Sultan Muhammad V, malam kelmarin.
Terdahulu dalam majlis bersempena Qiam With Me bersama Sultan Muhammad V yang bersejarah dan julung kali diadakan di Istana Negeri, Kubang Kerian itu, baginda menunaikan solat Isyak dan Tarawih bersama rakyat.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Exco Kerajaan Negeri serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Pada program tersebut juga Tuanku perkenan menyampaikan zakat RM200 seorang kepada 1,433 asnaf seluruh negeri ini dan pada jam 11 malam, tazkirah diadakan oleh Ustaz Azhar Idrus.
Pegawai MBOR, Zuhairi Mohammad Zain berkata, pengiktirafan itu diberikan kerana program itu mencapai jumlah sasaran dan syarat minimum yang ditetapkan MBOR iaitu minimum 5,000 peserta.
“Program seperti ini pertama kali dianjurkan di negara ini dan Kelantan satu-satunya negeri yang melakukan Qiamulai secara besar-besaran yang membabitkan penyertaan yang ramai,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.
Zuhairi berkata, penganjuran program seumpama itu dapat mengimarahkan aktiviti keagamaan di negara ini sekali gus menghidupkan semangat untuk berqiamulai.
“Pelbagai rekod bersifat keagamaan dicatat sebelum ini iaitu membaca al-Quran dalam tempoh yang lama iaitu 100 jam, begitu juga agama lain kita akan bagi pengiktirafan sekiranya ingin melakukan aktiviti untuk mencipta rekod,” katanya.
Sementara itu, Bendahari Pertubuhan Kerabat Di Raja Kelantan Al-Muhammadi, Tengku Ibrahim Farihadin Tengku Feissal berkata, program tersebut anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, bersama Pertubuhan Kerabat Di Raja Kelantan Al-Muhammadi dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam.
Beliau berkata, anjuran seperti program sedemikian merupakan satu langkah baik untuk mengeratkan silaturahim antara Kerabat Di Raja Kelantan dengan rakyat setempat.
0 Komen:
Post a Comment