JERTIH: ”Ibu cepatlah datang segera ke
kubur, Siti takut tiada orang lain di sini.” Itulah khidmat pesanan
ringkas (SMS) yang dihantar Siti Balqis Mohd Nor, gadis yang mendakwa
sering ghaib dari rumah selepas tiba-tiba menyedari berada di perkuburan
Kampung Bukit Kenak, kira-kira lima kilometer dari rumahnya tiga hari
sebelum Aidilfitri lalu.
Siti Balqis (atas), 22, yang menghadapi
gangguan misteri sejak dua bulan lalu menyebabkannya sering ghaib dari
rumahnya di Kampung Gong Nangka, Apal, di sini mendakwa ketika itu
telefon bimbit yang ada bersamanya menunjukkan jam 2 pagi.
“Namun, saya tidak tahu bagaimana boleh
berada di tanah perkuburan dan lebih dahsyat saya berada di dua tanah
perkuburan pada malam itu.
Selepas tersedar berada di kubur Kampung
Bukit Kenak, saya tiba-tiba berada pula di kubur Kampung Gong Rengas,
kira-kira 10 kilometer dari rumah kami,” katanya ketika ditemui semalam.
Siti Balqis mendakwa hanya mengetahui
kisah kubur berkenaan apabila dibawa semula ke kawasan berkenaan, tetapi
hingga kini tidak tahu siapa yang membawanya, apa yang dilihat dan
dilakukannya sepanjang lima hingga enam jam berada ‘di alam ghaib’.
Namun, Siti Balqis mendakwa sepanjang di
tanah perkuburan itu, dia mendengar orang menangis, meminta tolong dan
mengaji al-Quran.
Sementara itu, ibunya, Norizan Said, 47,
berkata, pada malam mendapat SMS Siti Balqis, beliau bersama suami
serta seorang lagi anaknya bergegas ke kubur berkenaan, tetapi selepas
puas mencari, mereka tidak menemuinya.
“Kami bergegas pula ke kubur di Kampung
Gong Rengas dan di satu kubur baru, ada bekas seperti diduduki
seseorang, tetapi Siti tiada di situ,” katanya dan menambah mereka
kemudian ke Balai Polis Jertih pada jam 5 pagi untuk membuat laporan.
Bagaimanapun, sejurus masuk ke rumah
kira-kira jam 6 pagi, Siti muncul di depan rumah dengan tubuhnya
dibasahi air dan baju berlumuran tanah merah.
Kisah Siti Balqis menggemparkan penduduk
daerah ini hinggakan ramai yang sukarela membantu berjaga bersama
keluarganya selepas anak sulung empat beradik itu dikatakan ghaib ke
pelbagai tempat termasuk siling rumah, atas pokok, dalam mesin pembancuh
simen dan atas kubur.
Siti Balqis juga mendakwa dia luka pada
tangan dan kaki ketika berada di sebuah mesin pembancuh simen tidak jauh
dari rumah dan ketika di atas pokok manggis, di belakang rumahnya.
Dia juga mendakwa ternampak saudara mara
dan orang kampung mencarinya, malah ketika berada di sebuah rumah
tinggal, dia menyentuh bapa saudaranya tetapi tidak perasan
kehadirannya.
Malam tadi, Norizan menggunakan khidmat
tujuh bomoh untuk mengubati anaknya secara tradisional dan wakil Berita
Harian turut berada di rumah Siti Balqis bagi meninjau dan memastikan
dakwaan dia ghaib.
Sementara itu, kalangan ahli agama di
negeri ini berpendapat kejadian itu mungkin disebabkan gangguan jin yang
cuba merosak keimanan manusia dan cara terbaik mengatasinya ialah
amalan zikir dan membaca al-Quran serta solat hajat dan tahajud.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama
dan Penerangan negeri, Muhammad Ramli Nuh, berkata kejadian adalah luar
biasa tetapi perlu dilihat secara positif dari sudut agama.
Muhammad Ramli berkata, cara terbaik
mengatasinya ialah ahli keluarga Siti Balqis sentiasa berdoa kepada
Allah meminta dilindungi daripada perbuatan sihir dan diganggu syaitan.
Timbalan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama
Negeri (Operasi), Omar Musa, pula berkata apa yang dialami Siti Balqis
itu mungkin ada kaitan dengan gangguan makhluk halus.
Katanya, keluarga mangsa hendaklah
bersabar dan mendapatkan rawatan alternatif perubatan Islam bagi
membolehkannya tidak lagi diganggu oleh makhluk halus.
“Tetapi, perlu diingatkan jangan
sekali-kali beranggapan apa yang terjadi terhadap Siti Balqis ada kaitan
dengan keramat kerana ada makhluk jin yang mahu merosakkan dan
menyesatkan pemikiran dan akidah orang Islam,” katanya.
0 Komen:
Post a Comment