Thursday, July 12, 2012

Selangkah dibelit ular

PENDUDUK Felda Tenang memegang ular sawa sepanjang 6.5 meter yang ditembak mati di Labis semalam.


LABIS - Seorang penoreh getah di tanah rancangan Felda Tenang di sini trauma selepas dia nyaris dibelit seekor ular sawa batik sepanjang 6.5 meter ketika bekerja di kebunnya semalam.
Narizan Ali, 41, memberitahu, kelibat reptilia gergasi itu disedari kira-kira pukul 9.30 pagi ketika dia menoreh dari satu pokok ke satu pokok di kebun getah berkeluasan 3.2 hektar itu.
"Bila saya beralih ke satu pohon lain, saya terkejut ternampak seekor ular sawa batik yang hanya selangkah dari kedudukan saya.
"Saya panik dan terus lari sebelum haiwan itu sempat menyerang. Pada masa itu saya hanya fikirkan mati," katanya ketika ditemui selepas kejadian itu di rumahnya yang terletak hanya satu kilometer dari kebun tersebut.
Narizan menceritakan, tanpa berlengah dia terus menggunakan telefon bimbit untuk mendapatkan bantuan penduduk kampung.
Beberapa minit kemudian, lima lelaki termasuk seorang rakannya yang juga anggota Rela tiba di tempat kejadian bersama selaras senapang patah.
Namun, usaha mereka selama 30 minit untuk menangkap reptilia gagal gara-gara tindak balas agresif ular berkenaan yang cuba menyerang mereka.
"Ular itu sangat agresif, melawan seperti nak menelan kami. Demi keselamatan, kami ambil keputusan membunuhnya dengan rakan saya melepaskan dua das tembakan," jelas Narizan.
Namun, ular itu tidak mati, sebaliknya ia sempat melarikan diri ke dalam belukar.
Penduduk kampung kemudian melancarkan gerakan memburu ular sawa berkenaan sebelum berjaya menarik reptilia yang cedera itu kira-kira sejam kemudian.

0 Komen: