Sunday, October 14, 2012

Datuk bandar Eropah pertama bertudung



KATA Amra, rakyat perlu menghukum ahli politik yang tidak mendengar pandangan mereka.


AMRA BABIC, 43, daripada Parti Tindakan Demokratik (SDA) berjaya meyakinkan rakyat sekali gus memenangi pilihan raya kerajaan tempatan di Visoko, Bosnia. Amra mencatatkan majoriti 2,500 undi berbanding pencabar terdekatnya.
Amra bukan sahaja menjadi datuk bandar wanita yang pertama dalam sejarah Bosnia, tetapi juga merupakan ketua wanita pertama Eropah, yang memakai tudung. Hakikat ini menyebabkan perhatian yang besar diberikan terhadap kepentingan awam domestik dan antarabangsa.
Dalam temu bual eksklusif dengan Agensi Anatolia (AA), Amra memberitahu jawatan datuk bandar yang dilihat bertepatan dengan usahanya untuk memberi sumbangan kepada pembangunan masyarakat dan negara.
"Saya membuat keputusan untuk tampil bertenaga dan berani melibatkan diri untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi masyarakat kita dan negeri ini,” cerita Amra kepada AA.
Amra menjelaskan bahawa kemenangannya merupakan satu peristiwa penting dalam arena politik di Bosnia-Herzegovina, berikutan sebahagian besar penduduknya masih prejudis terhadap wanita bertudung yang bergiat aktif dalam politik.
"Pemilihan ini boleh menjadi model untuk Eropah, khususnya bagi Bosnia, di mana budaya Barat dan Timur bertemu di negara ini.
“Apabila saya bertanding untuk menjadi datuk bandar, saya tertanya-tanya sama ada masyarakat cukup matang untuk menerima seorang wanita.
“Kemenangan di dalam pilihan raya ini telah menunjukkan bahawa masyarakat semakin sedar,” ujarnya.
Model baharu
Beliau memberitahu, salah satu matlamat utamanya adalah untuk memperkenalkan model baharu tadbir urus dan pengurusan perbandaran dan politik secara umum, untuk mengekalkan hubungan yang berterusan dengan rakyat.
“Saya mahu bekerja bersama-sama dengan rakyat dan menunjukkan kepada mereka bahawa kita ialah ahli-ahli politik dan birokrat yang juga sebahagian daripada rakyat.
“Bekerja bersama-sama untuk memajukan bandar ini dan saya menetapkan masa selama tiga jam, seminggu sekali untuk mendengar masalah dan pendapat mereka.
“Pada saya, rakyat perlu menghukum ahli-ahli politik yang tidak mendengar pandangan rakyat dan saya mahu untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa politik adalah seni kepimpinan dan organisasi yang baik,” tambahnya.
Ujarnya, semasa berkempen, dia berpeluang mendekati rakyat yang mengucapkan tahniah atas kemenangannya dan dia berpendapat bahawa rakyat di Bosnia memerlukan contoh-contoh yang lebih positif.
“Rakyat kita harus menjana nilai-nilai positif untuk menarik tenaga baru dan kreativiti. Saya amat gembira bahawa begitu ramai golongan muda menyokong saya kerana ia jelas menunjukkan bahawa mereka mahu perkembangan positif di negara ini.
“Oleh itu, kita mesti bukan sahaja bercakap tentang perkara-perkara negatif tetapi perlu sentiasa mencari penyelesaian dan jalan keluar daripada krisis ekonomi, sosial dan politik yang dihadapi,” katanya.
Persepsi salah
Beliau menambah, pemilihannya sebagai datuk bandar itu menunjukkan persepsi salah yang wujud dalam masyarakat berkenaan wanita bertudung.
“Kain adalah hanya bentuk, kerana intipati yang paling penting watak, apa yang perlu kita lakukan sebagai wanita Islam dalam kehidupan awam dan pada setiap langkah dalam tindakan harus menggalakkan nilai-nilai yang positif.
“Saya sudah bersedia untuk melakukan setiap usaha dan pengetahuan dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh majlis perbandaran. Saya sedar tanggungjawab dan fungsi sebagai ketua sangat berat tetapi ia juga meninggalkan ruang selain memberi peluang untuk merealisasikan wawasan saya.
“Saya ingin memulakan dengan membuat syarat bagi pembangunan ekonomi dan komersial perbandaran, dan ia sangat penting untuk meningkatkan taraf bandar ini sebagai pusat komersial dan ekonomi, di mana ia akan menjadi lebih banyak pelaburan,” tuturnya.

GOLONGAN muda akan diberi ruang untuk melibatkan diri dalam kehidupan awam dan politik.


Peluang golongan muda
Amra mengatakan sebagai ketua, dia lebih memberikan ruang kepada orang muda dan profesional untuk lebih terlibat dan memberi sumbangan kepada kemajuan bandar.
“Saya fikir bahawa golongan muda adalah kapasiti yang besar dan itulah sebabnya saya mahu memberi motivasi kepada mereka untuk melibatkan diri dalam kehidupan awam dan politik.
“Dengan golongan muda untuk mengambil risiko kerana mereka berani dan progresif. Jadi jangan hanya duduk di kafe dan bercakap tidak baik. Itu tidak betul. Anda perlu terlibat dan melakukan sesuatu yang positif untuk komuniti anda,” jelas ibu kepada tiga orang anak ini.
Beliau turut menyatakan bahawa dia telah menubuhkan hubungan dengan ahli perniagaan dari luar negara untuk mempergiatkan usaha dalam kemajuan ekonomi majlis perbandaran Bosnia.
“Kita sudah mempunyai kenalan dengan ahli perniagaan Turki. Tidak lama lagi, sebuah forum ekonomi akan dianjurkan di Visoko, di mana akan ada sebilangan besar perniagaan dari Turki dan negara ini. Saya berfikir bahawa kerjasama ekonomi yang kukuh boleh menarik pelaburan asing,” tambahnya.
Sebelum dipilih menjadi datuk bandar, Amra pernah menjawat jawatan sebagai menteri kewangan di Kanton, Zenica, Bosnia Tengah.
“Saya tidak akan pernah mencampurkan politik dan agama. Jika saya memiliki kekuatan untuk melindungi hak saya maka saya akan mencari kekuatan untuk melindungi hak orang lain,” janji Amra yang kehilangan suami dalam Perang Bosnia.

0 Komen: