Sunday, October 14, 2012

Tanam cuping telinga di lengan



TELINGA Sherrie ditanam di tangan kirinya (gambar kiri) selama dua tahun sebelum menjalani kaedah pembinaan semula telinga.


DUA tahun lalu Sherrie Walter, 42, tidak sanggup untuk mengikat rambutnya dan tidak dapat memakai sepasang anting-anting selepas menjalani prosedur pembedahan akibat kanser kulit, di telinga.
Kanser yang jarang ditemui itu bermula apabila Sherrie berasa sakit berterusan dalam telinganya. Kesakitan itu kemudian didiagnosis sebagai basal cell carcinoma yang telah merebak ke sekeliling telinganya sehingga doktor terpaksa membuang cuping telinga kirinya.
Sejak itu, dia menjadi pekak sehinggalah ditawarkan peluang untuk menjalani satu prosedur perubatan yang akan memberikannya cuping telinga baharu, dan diletakkan di bawah kulit lengannya untuk beberapa bulan bagi membolehkan ia berkembang.
Keseluruhan proses itu mengambil masa hampir 20 bulan tetapi masih terdapat banyak pembedahan kosmetik sebelum cuping telinga baharu Sherrie melekat sepenuhnya.
“Saya berasa seperti bahan eksperimen dan saya fikir ia ada sesuatu yang saya lakukan tidak membenarkan ia untuk sembuh. Saya mengambil ubat antibiotik untuk mengurangkan sakit di bahagian telinga tetapi luka yang dialami tidak juga sembuh.
“Lapan bulan kemudian, saya membuat temu janji bersama pakar kulit dan doktor memberitahu saya menghidap kanser selepas melihat keadaan cuping kurang daripada lima minit.
“Saya memandang ibu saya dan melihat diri saya sendiri selepas doktor mengesahkan penyakit sebenar yang saya alami,” ujar Sherrie yang melalui pelbagai prosedur untuk mendapatkan cuping telinga baharu di Hospital Johns Hopkins, Maryland.
Sherrie berharap prosedur membuang cuping telinganya mudah tetapi rupa-rupanya dia terpaksa menjalani rawatan agresif bagi mengeluarkan tujuh lapisan kulit selain memastikan cuping telinganya masih kekal seperti bentuk asal.
Bagaimanapun, pada Oktober 2010, Sherrie mendapati terdapat darah dalam telinganya sebelum pakar mengesahkan ia ialah sel kanser yang telah merebak ke saluran telinga kirinya.
Doktor kemudian mencadangkan penghasilan cuping telinga yang baharu dan dia memilih untuk mencuba di sebalik amaran bahawa proses tersebut akan mengambil masa hampir dua tahun.
“Ia seolah-olah sedikit pelik, tetapi saya bersedia untuk mencuba,” jelas Sherrie kepada Baltimore Sun Times.
Doktor memutuskan untuk meletakkan cuping telinga baharu yang dibina ke dalam lengan kirinya menggunakan rawan yang diambil dari tulang rusuknya dan prosedur itu digambarkan sebagai pembinaan semula telinga yang paling rumit pernah dijalankan di Amerika Syarikat.
Pasukan itu yang diketuai oleh seorang profesor di Sekolah Perubatan Johns Hopkins University, Dr. Patrick Byrne, menjelaskan organ baharu itu mengambil masa selama empat bulan diletakkan di bawah kulit lengan kirinya sebelum ia dipindahkan ke kepalanya pada bulan Mac.
“Saya sudah memikirkan strategi ini bertahun-tahun sebelum ini dan sedang mencari pesakit untuk mencubanya. Prosedur selama 16 jam dilakukan untuk mengeluarkan saluran telinganya termasuk gegendang telinga dan telinga kirinya. Walaupun cacat, Sherrie mempunyai pilihan untuk mendapatkan semula cuping telinganya yang baharu,” beritahu beliau.
Menurutnya, prosedur itu mengambil masa beberapa minggu dan kemudian pada bulan November 2011, telinga baharu Sherrie ditanam dalam lengannya.
“Kami tanam cuping telinganya berhampiran pergelangan tangan dan hanya membiarkan ia di sana supaya semua kulit boleh tumbuh ke dalam telinga baharu itu dan ia mengambil masa selama empat bulan untuk benar-benar matang,” jelas Patrick.
Pada Mac, cuping telinga baharu Sherrie kemudiannya diletakkan kembali ke tempat asalnya dan doktor mula mencari jalan bagaimana untuk membuat ia kelihatan seperti cuping telinga kanannya.
“Ia hanya tidak kelihatan seperti apa-apa yang diberitahu dan saya hanya berharap ia membuahkan hasil setelah melalui pelbagai prosedur,” kata Sherrie.
Ujar Patrick, apabila Sherrie sembuh sepenuhnya, cuping telinga baharu boleh bertahan selama bertahun-tahun dan kini hanya menunggu masa untuk bengkak itu surut dan sembuh, dia percaya Sherrie akan mempunyai cuping telinga seperti dahulu.
Walaupun pemulihan belum berakhir, Sherrie menganggap dirinya bernasib baik dan berharap orang lain belajar daripada kisahnya.
“Jika tidak pasti tentang sesuatu penyakit, dapatkan pemeriksaan pakar kerana itulah apa yang saya tidak lakukan terlebih dahulu,” ceritanya

0 Komen: