Tahir Musa
Golongan peminta sedekah dari Taman Rahmat
MARANG – Seorang penghuni rumah kebajikan Taman Rahmat di sini, mengumpul wang tunai RM15,000 di bawah katil selain mempunyai simpanan RM60,000 dalam tiga akaun bank berasingan, dipercayai hasil kegiatan meminta sedekah.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Penghuni Taman Rahmat, Tahir Musa berkata, perkara itu terbongkar apabila penghuni cacat penglihatan itu meninggal dunia lebih sebulan lalu sebelum waris si mati menemui sejumlah wang tunai dan buku akaun bank miliknya.
Menurutnya, perkara itu sebenarnya tidak mengejutkan kerana kegiatan meminta sedekah membabitkan segelintir penghuni rumah perlindungan itu tidak pernah selesai, walaupun tindakan penguatkuasaan diambil ke atas mereka dari semasa ke semasa.
“Mereka bijak cari ‘lubuk’ seperti di pusat bandar raya dan pasar malam di setiap daerah dan mereka sanggup ke mana sahaja dengan apa cara sekalipun selain menggunakan sepenuhnya kecacatan fizikal mereka untuk menagih simpati.
“Saya dimaklumkan sendiri mengenai perkara itu oleh mereka yang terlibat dan sehingga kini terdapat seramai 12 penghuni Taman Rahmat masih terlibat dalam kegiatan meminta sedekah walaupun mereka menerima bantuan bulanan daripada kerajaan,” katanya.
Ditanya sejak bila penghuni yang berjaya mengumpul sejumlah wang begitu banyak terlibat dalam kegiatan itu, katanya, kegiatan meminta sedekah membabitkan penghuni Taman Rahmat sudah bermula sejak 10 tahun lalu. 
Sehubungan itu, Tahir berharap pihak penguat kuasa bersikap lebih tegas dan tidak cukup sekadar memberi amaran serta menghantar mereka pulang semula ke Taman Rahmat ketika didapati meminta sedekah, sebaliknya menggugurkan bantuan bulanan yang diterima.
Dalam tinjauan berasingan di sebuah lagi pusat perlindungan, Rumah Sejahtera Taman Bahagia di Bukit Payung di sini, ada penghuni meminta sedekah bukan untuk membiayai keperluan hidup tetapi kerana sudah terbiasa.
“Mereka meminta sedekah bukan kerana tiada wang untuk makan dan minum, tetapi kerana tabiat semula jadi yang tidak dapat diubah lagi,” kata Bendahari Jawatankuasa Pengurusan Rumah Sejahtera Taman Bahagia, Nordin Abu Hasan di Wakaf Dua.
Menurutnya, pelbagai usaha dan tindakan diambil pihak pengurusan bagi mencegah kegiatan itu, namun kehadiran orang ramai memudahkan mereka meraih simpati tanpa perlu merayu.