BANGKOK - Lebih 90 peratus kedai di tiga wilayah bergolak di selatan Thai terus ditutup pada Jumaat, tiga minggu berturut-turut berikutan khabar angin kemungkin berlaku ancaman sekiranya para pekedai tidak mematuhi 'arahan' menutup kedai mereka.
  
Khabar angin yang disebarkan dari mulut ke mulut itu telah mengancam ekonomi di Narathiwat, Pattani dan Yala.
  
Kebanyakan pekedai bimbang mereka akan menjadi sasaran keganasan sekiranya mereka tidak menghiraukan arahan yang didakwa dikeluarkan bagi menghormati hari Jumaat, hari mulia untuk orang Islam.
  
Tinjauan Bernama mendapati kedai seperti kedai runcit, kedai emas, pasar barangan am, gerai makan dan restoran hampir lengang sementara separuh kedai serbaneka dan stesen minyak ditutup.
  
Orang ramai juga enggan membeli-belah kerana bimbang mereka menjadi sasaran sekiranya mereka turut ingkar kepada arahan berkenaan.

Namun pasar raya dan bank didapati dibuka seperti biasa.
  
Khabar angin tersebut turut menjejaskan perkhidmatan pengangkutan ekoran van antara daerah dan wilayah yang beroperasi selepas solat Jumaat hanya bermula kira-kira 1.15 petang.
  
Tidak jelas pihak mana yang bertanggungjawab menyebarkan khabar angin tersebut tetapi nampaknya penduduk di tiga wilayah berkenaan menganggapnya sebagai serius.
  
Kebimbangan mereka ditambah lagi dengan beberapa kejadian tembak di kedai-kedai emas dan pengeboman di bandar Saiburi pada 21 Sept lalu dan khabar angin yang tersebar luas bahawa mereka menjadi sasaran kerana enggan mematuhi perintah.
  
'Kami tidak mahu mengambil risiko," kata Karim Anshari, seorang pekedai di Pattani.

Berikutan perkembangan yang berlaku sejak dua minggu lalu, pihak kerajaan telah mengambil beberapa langkah termasuk meminta pemimpin agama Islam untuk mengumumkan bahawa bekerja di hari Jumaat tidak bercanggah dengan ajaran Islam.
  
Islam tidak melarang pengikutnya bekerja pada hari Jumaat, tetapi lelaki Islam mesti bersolat Jumaat.
  
Namun pihak peniaga dan orang ramai terus bimbang dengan keselamatan mereka walaupun pihak keselamatan memberi jaminan bahawa aspek keselamatan di tiga wilayah berkenaan akan dipertingkat.
  
Komander Tentera Wilayah Keempat, Lt Jen Udomchai Thammasarorath berkata puak pelampau menggunakan taktik untuk menyemai ketakutan di kalangan penduduk.
  
"Mereka menyalah guna Islam bagi memenuhi objektf mereka," katanya.
  
Lebih 5,000 orang terkorban sejak pihak pemisah yang disyaki mengangkat senjata bagi memperjuangkan kemerdekaan di tiga wilayah itu sejak lapan tahun lalu. - Bernama