Monday, August 26, 2013

Cincin beracun mampu membunuh musuh

Cincin beracun mampu membunuh musuh  
  • Pemilik membina lubang pada bahagian atas cincin dipercayai menjadi tempat penyimpan racun.
SEPASUKAN arkeologi Bulgaria menjumpai sebentuk cincin beracun  dipercayai digunakan sebagai senjata rahsia mengisi racun untuk membunuh musuh.

Barang perhiasan pada abad ke-14 itu, dilaporkan ditemui di tapak sebuah kubu zaman pertengahan di Cape Kaliakra berdekatan pantai Laut Hitam, bandar Kavarna.

Pakar percaya cincin dijumpai di Bulgaria itu, dimiliki seorang lelaki kaya yang jahat dan berniat membunuh musuhnya secara senyap.

Timbalan pengarah Institut Arkeologi dan Muzium Kebangsaan di Sofia, Boni Petrunova berkata, cincin dilengkapi lubang rahsia itu diperbuat daripada tembaga kukuh.

"Berdasarkan struktur, ia dipakai pada jari tangan kanan dan lubang pada bahagian atasnya berfungsi untuk menuangkan racun ke minuman atau makanan mangsa," katanya.

Artifak itu juga dilapor, membantu dalam penambahan pengetahuan mengenai kehidupan masyarakat khasnya golongan bangsawan di Cape Kaliakra pada abad ke-14.

Lebih 30 jenis barangan kemas kebanyakannya diperbuat daripada emas ditemui di tapak berkenaan sejak 2011.  - MailOnline

Glob tertua diukir atas telur burung unta

Glob tertua diukir atas telur burung unta 
  •  Ukiran dan lukisan pada telur unta ini kelihatan masih jelas selain didakwa menjadi glob pertama.
PERCAYAKAH anda, glob tertua di dunia diukir di atas sebiji telur burung unta? Penyelidik Belgium, Dr S Missinne berkata, glob bertulisan Latin itu mengandungi garisan halus sempadan negara yang sebelum ini pernah dinyatakan oleh pengembara terkenal dunia, Christopher Columbus.

"Glob ini dipercayai dibuat di Florence, Itali selain pengukirnya adalah seorang yang berbakat besar dalam bidang seni ukiran.

"Ia juga berkemungkinan besar pernah digunakan sebagai pengganti glob Lennox bermula tahun 1504, selain menggambarkan peta dunia sebaik sahaja Amerika mendapat nama," kata Missinne dalam laporan MailOnline

Sebelum ini, glob telur berkenaan dibeli oleh seorang pengumpul barangan antik Eropah di Pameran Peta London 2012, dan dipercayai menjadi glob pertama dunia selepas Missinne melihat serta mengkajinya.

"Saya amat teruja ketika diberi peluang mengkaji glob ini dan lebih gembira apabila jawapan ditemui menunjukkan ia adalah barangan yang amat bersejarah," katanya.

Setakat ini, lebih 100 pakar mengesahkan glob ukiran telur burung unta itu yang pertama di dunia.

Lagi misteri raksasa laut

raksasa laut  
PENDUDUK di pinggir pantai selatan Sepanyol gempar, apabila menjumpai satu bangkai reput raksasa laut lengkap bertanduk sepanjang 4 meter, kelmarin.

Menurut pihak berkuasa, makhluk itu ditemui seorang wanita tempatan berdekatan gua Almanzora di Villaricos, dalam keadaan badan dan kepala terputus.

"Ia menimbulkan tanda tanya kepada semua pihak dan saintis mula menjalankan kajian terhadap penemuan ini," katanya yang mengesahkan bangkai raksasa laut bertanduk yang busuk itu telah ditanam bagi tujuan kebersihan.

Sementara itu, agensi Discovery News melaporkan, satu sampel didakwa raksasa laut pernah dikumpulkan sepasukan saintis dalam 2004 dan merumuskan ia sejenis paus dari spesies berbeza dikenali sebagai 'blobster'.