Friday, March 8, 2013

Budak 2 tahun bawa jentolak

8 Mac 2013
Budak 2 tahun bawa jentolak
Ahmad Adam tenang semasa mengendalikan jentolak.
Budak 2 tahun bawa jentolak
Adam dikatakan akan menangis jika tidak dapat kendalikan jentolak berkenaan.
BALING - Mengendalikan jentolak memang perkara biasa, tetapi amat mustahil sekiranya ia dikendalikan seorang kanak-kanak yang baru berusia dua tahun.

Namun, dengan kuasa ALLAH Ahmad Adam Haziq, 2, boleh mengendalikan jentolak itu sejak dua minggu lalu kerana sering mengikuti ayahnya ke tapak kuari pasir di Sungai Ketil Becah Sawa.

Ayahnya, Amran Ahmad, 43, dari Kampung Becah Sawa berkata, anak kedua keduanya itu boleh menghidupkan jentolak, menggerakkan malah mengorek pasir seperti biasa.

Kelebihan Adam disedari setelah dia menangis hanya kerana ingin mengendalikan jentolak tersebut.

Amran berkata, pada mulanya dia tidak membenarkannya kerana tidak mempercayai anaknya itu mampu mengendalikan jentolak itu.

“Dia (Adam) terus menangis, dan mendesak mahu mengendalikan jentolak itu, jadi saya membenarkannya dengan pemantauan saya.

“Saya betul-betul terkejut kerana Adam memang boleh mengendalikan jentolak itu dengan baik seperti mereka yang telah berpengalaman,” katanya kepada Sinar Harian.

Ditanya bagaimana anaknya itu mampu mengendalikan jentera berat itu, Amran berkata, anaknya itu sering berada di kawasan kuari itu selain turut diajar oleh salah seorang pekerjanya.

“Pekerja saya sering mengajarnya, saya pun tidak pernah ajar Adam bawa jentolak ini. Disebabkan itu, saya terkejut setelah melihat kemahirannya itu,” katanya.

Menurutnya, Adam seorang yang cenderung kepada aktiviti menukang malah pernah meleraikan beberapa komponen motosikalnya.

“Adam pantang tengak kayu, kalau ada, pasti dia nak paku. Memang itu hobinya. Tetapi, saya sama sekali tidak menyangka dia mampu bawa jentolak.

“Kini, setiap hari saya perlu membawa Adam ke sini agar dia dapat mengendalikan jentolak ini. Sekiranya tidak, dia akan menangis,” katanya.

Amran berkata, walaupun Adam mampu mengawal jentera itu dengan baik, dia tetap mengawasi anaknya itu agar tidak berlaku sebarang kejadian tidak dingini.

“Di sini kawasan sungai, sebarang kejadian boleh berlaku. Adam hanya mengendalikan jentolak ini sekiranya ada pemantauan dari saya mahupun pekerja lain di sini,” katanya.

Thursday, March 7, 2013

'Batman' tangkap suspek dikehendaki polis


5 Mac 2013
BRADFORD - Seorang lelaki yang berpakaian seperti ‘Batman’ menangkap dan menyerahkan suspek dikehendaki kepada polis sebelum menghilangkan diri.

Menurut pihak polis, penjenayah yang berusia 27 tahun itu dibawa oleh lelaki yang memakai kostum Batman pada awal pagi 25 Februari lalu.

Penjenayah itu didakwa atas kesalahan mencuri dan menipu.

“Individu yang membawa penjenayah itu ke balai polis memakai kostum Batman dan hingga kini, identitinya masih lagi menjadi misteri,” kata sumber polis.

“Bukan saja identiti Batman itu tidak diketahui, malah kami sendiri juga kurang pasti sama ada lelaki itu terlibat sama atau tidak dengan penjenayah yang diserahkan kepada polis,” ujar pihak polis.

Pemilik kedai The Joke Shop di Kirkgate, Kathryn Sutcliffe berkata, dia ada menjual kostum Batman kepada seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an beberapa hari sebelum kejadian itu.

Sutcliffe berkata, lelaki itu menggunakan loghat penduduk tempatan dan berambut kerinting.

Tambah beliau, mungkin lelaki itu yang terlibat menyerahkan penjenayah kepada pihak polis baru-baru ini kerana dia membeli kostum batman menggunakan kad kredit dan berkata mahu merahsiakan identitinya.

Guru paling kenit di dunia

6 Mac 2013
Guru paling kenit di dunia
Masalah hormon pelik yang berlaku pada anggota badan Azad membuatkan tumbesarannya terbantut sejak berusia lima tahun.
SEWAKTU berumur 18 tahun, beliau pernah dilabelkan sebagai peserta sarkas pelik, namun lelaki kenit Azad Singh yang berketinggian hanya 91 sentimeter (sm) berjaya menutup mulut masyarakat setempat apabila menjadi guru paling kecil di dunia.

Azad, 22, disahkan menghidap sejenis penyakit gangguan genetik luar biasa yang menghentikan tumbesarannya ketika berumur lima tahun, sekali gus kekal sehingga ke hari ini.

Anak muda yang amat kecil itu, bertanggungjawab mengajar mata pelajaran kemahiran komputer di sebuah sekolah rendah perempuan dalam Haryana, India.

"Kesemua pelajar saya lebih tinggi daripada saya," katanya sambil ketawa.

Bagaimanapun, Azad mempunyai sedikit masalah untuk mengajar, beliau terpaksa berdiri di atas meja guru untuk membolehkannya menulis di papan putih.

Pelajar turut menggelar Azad sebagai 'Chotu' atau 'Cikgu kecil' berikutan memiliki ketinggian 91 sm serta berat 18 kilogram (kg).

"Sejak bekerja sebagai guru, saya memiliki pendapatan sendiri iaitu setiap bulan saya menerima 10,000 rupees (RM563.70)," katanya.

Azad terpaksa akur dengan fizikalnya di mana beliau terpaksa memakai pakaian kanak-kanak walaupun usianya telah mencecah golongan dewasa.

Beliau berkata, walaupun tubuh badannya kenit dan tidak akan membesar seperti lelaki normal, beliau amat berbangga kerana mampu mencapai impian yang diidamkan iaitu menjadi seorang guru.

"Masyarakat sememangnya melayan saya sebagai lelaki normal kerana kini saya sudah bekerja dan pekerjaan saya ini amat dihormati orang ramai.

"Pernah sekali ketika saya berusia 18 tahun, saya telah disalah tafsir sebagai bayi oleh seorang pengawal kereta api.

"Sewaktu di sekolah pula saya juga pernah dibuli kerana masalah saiz badan saya dan berasa amat takut dengan ancaman yang saya berkemungkinan akan diculik oleh pengurus sarkas," katanya.

Bagaimanapun, Azad berkata cemuhan yang dilemparkan kepadanya sewaktu di zaman kanak-kanak menjadi pemangkin kepada beliau untuk membina karakter, sekali gus mematangkannya sehari demi sehari.

"Si pembuli itu berjaya membuatkan saya berusaha keras mencapai matlamat dan mereka tidak akan dapat berkata apa-apa lagi sekarang ini," katanya. - MailOnline

Sanggup jual diri, mahu hidup mewah

7 Mac 2013
Sanggup jual diri, mahu hidup mewah
Sanggup berbogel depan kamera untuk raih keuntungan.
KULIM - Hanya mahu hidup mewah dengan pendapatan lumayan setiap hari, golongan remaja hari ini rela menjual diri mereka menerusi laman web.

Pengerusi Persatuan Penguna Kulim, Mohd Zailan Hashim berkata, apa yang mengejutkan kebanyakan mereka terdiri daripada pelajar perempuan di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Menurutnya, pelanggan yang melayari laman web itu boleh berinteraksi bersama pelajar berkenaan dan meminta mereka melakukan apa sahaja aksi diingini.

"Sekiranya pelanggan mahu melihat pelajar itu membuka pakaian dan beraksi panas, mereka diarahkan untuk masuk ke ruangan peribadi dan membayar diantara 0.79 hingga 0.99 dollar bagi tempoh seminit," katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati ada dalam kalangan mereka juga masih bersekolah.

Tambah Mohd Zailan, permasalahan ini mesti ditangani segera sebelum ia menjadi ikutan untuk memperoleh pendapatan sambilan yang tidak bermoral.

"Mereka yang terlibat boleh disiasat di bawah akta komunikasi. Pihak berkuasa seharusnya lebih peka terhadap permasalahan ini dan tidak mengambil sikap lepas tangan.

"Saya sangat berharap kementerian terlibat dapat menangani masalah keruntuhan akhlak golongan remaja ini dengan sewajarnya," katanya.

Friday, March 1, 2013

PM umum berita gembira kakitangan awam 11 Mac?

Datuk Seri Dr Ali Hamsa
Datuk Seri Dr Ali Hamsa
SANDAKAN - Kertas kajian mengenai perubahan gaji penjawat awam yang sudah mencapai tangga gaji maksimum telah dikemukakan kepada kerajaan untuk pertimbangan Jawatankuasa Kabinet Gaji, kata Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata kajian itu dilakukan oleh pihaknya bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berikutan perkara itu merupakan antara masalah yang dihadapi dalam perkhidmatan awam di negara ini.

Katanya, penilaian telah dibuat terhadap kalangan penjawat awam yang sudah mencapai had atau tangga gaji maksimum dengan kebanyakan mereka ini mempunyai skor 80 hingga 85 ke atas dalam Laporan Penilaian Prestasi Tahunan.

"Ia menunjukkan penjawat awam itu telah melaksanakan tugas dengan cemerlang tetapi jika dilihat skim gaji, kita dapati ada yang terhenti dan sampai ke tahap maksimum," katanya dalam Program Temubual Bersama Radio Sandakan FM yang bersiaran semalam.

Ketua Setiausaha Negara berkata, masalah gaji sudah capai had maksimum atau statik dalam kalangan penjawat awam perlu perubahan selari dengan perkembangan semasa yang menyebabkan kenaikan kos hidup dan inflasi di negara ini pada kadar satu setengah peratus yang turut dihadapi penjawat awam.

Katanya, kertas cadangan itu turut meliputi cadangan kenaikan dua hingga lima peratus untuk penjawat awam yang sudah capai had gaji maksimum.

Menurutnya, perkara itu sedang dibincangkan di peringkat Kabinet dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dijangka membuat pengumuman secepat yang boleh.

Beliau yakin kerajaan akan mengambil perhatian perkara itu selepas meluluskan kenaikan pencen sebanyak dua peratus setiap tahun bermula tahun ini kepada pesara kerajaan.

Ali berkata, pada Sesi Amanat Perdana Menteri kepada Perkhidmatan Awam pada 11 Mac ini di Putrajaya, Perdana Menteri dijangka mengumumkan berita gembira kepada 1.4 juta penjawat awam di negara ini.

"Kita tunggu sahaja perdana menteri membuat pengumuman tidak lama lagi dan kalau ada insentif kita sama-sama tunggu.

"Tahun ini amat penting kerana kita perlu lihat kerajaan mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam," katanya.

Katanya, untuk faedah jangka panjang, pihaknya kini meneliti mengenai 86 jenis elaun penjawat awam disebabkan ada antara elaun itu sudah lama belum dikaji semula seperti elaun perumahan.

"Kami sedang melihat dan mungkin ia akan mengambil masa lebih sikit kerana kena perlu melihat balik semua elaun dan juga akan ada implikasi kewangan yang lebih," katanya.

Pada akhir program itu, beliau meminta penjawat awam di seluruh negara meneruskan perjuangan mereka untuk membaiki perkhidmatan diberikan kepada rakyat dan hala tuju negara ke arah pencapaian negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Beliau berkata, penjawat awam mesti bersikap kreatif dan inovatif secara lebih proaktif dengan disertai sikap positif, peribadi yang mulia dan berintegriti.

Katanya, tugas sebagai penjawat awam adalah untuk menyampaikan perkhidmatan cemerlang kepada rakyat. - Bernama

Wanita tertua di dunia

28 Februari 2013
Misao Okawa
Misao Okawa
MISAO Okawa, 114, diiktiraf Rekod Dunia Guinness sebagai wanita tertua di dunia dalam satu majlis khas di Osaka, semalam.
Menurut Institut Penyelidikan Gerontologi yang berfungsi mengesahkan maklumat mengenai umur untuk Guinness, Misao dilahirkan pada 5 Mac 1898 dan beliau bakal menyambut ulang tahun kelahirannya ke-115, minggu depan.

Pada masa ini, Jepun mempunyai lebih 51,000 penduduk berumur sekurang-kurangnya 100 tahun dan 87 peratus daripadanya ialah wanita.  - AP

Rezeki percuma nelayan Gaza

Rezeki percuma nelayan Gaza
Pegawai polis tempatan ini memerhati kejadian yang dianggap pelik tetapi rezeki buat mereka.
'ALHAMDULILLAH'. Itu adalah ungkapan yang diucapkan penduduk dan kumpulan nelayan di pantai Bandar Gaza, Palestin, apabila puluhan ekor ikan pari spesies Mobula terdampar, sekali gus menjadi sumber protein buat mereka.

Menurut seorang nelayan tempatan, Mohammad al-Yusof, kejadian pari terdampar di pantai adalah yang pertama sejak ia pernah berlaku pada enam tahun lalu.

"Ikan ini mampu mencapai berat lebih 76 kilogram (kg) dan kami pernah menjualnya kira-kira 5 shekels (RM4.22) setiap setengah kg di pasar tempatan.

"Kami juga percaya ia adalah rezeki daripada ALLAH SWT," kata al-Yusof.

Lapor agensi berita Ma'an, kumpulan pari Mobula itu mampu membesar sehingga saiz 5.2 meter dan kelihatan sama dengan pari spesies Manta yang cukup terkenal di Gaza.

Sementara itu, pakar ikan pari dunia daripada Kolej Santa Rosa Junior, California, Bob Rubin berkata, pari dari keluarga Mobula ini mengembara bersama kumpulan hidupan akuatik sangat besar selain mampu melompat dari dalam air ke udara.

"Spesies hidupan laut ini amat menarik. Malah kejadian kumpulan besar pari Mobula terdampar di pinggir pantai dalam jarak tempoh tertentu adalah sangat pelik.

"Selama saya mengkaji corak hidup pari Mobula di Teluk California, saya tidak pernah melihat kejadian seperti ini.

"Berdasarkan kesan luka pada sirip sebahagian besar ikan pari ini, ia berkemungkinan berlaku disebabkan insiden dilanggar bot, batu karang, pasir atau berlanggar satu sama lain sewaktu hidupan laut ini mengembara dalam kelompok yang banyak," kata Rubin.

Beliau juga tidak menolak pencemaran bunyi atau isyarat elektrik menjadi punca menyebabkan kumpulan pari itu terdampar di tepi pantai.

"Jika diberi kesempatan, saya akan menjalankan autopsi segera bagi mengetahui punca sebenar terdamparnya spesies Mobula di tepi pantai Bandar Gaza," katanya. - MailOnline

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...