Saturday, January 22, 2011

Kontrak 1,614 GSTT disambung

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Kementerian Pelajaran memutuskan untuk menyambung kontrak 1,614 guru sandaran tidak terlatih (GSTT) di seluruh negara yang telah tamat tempoh pada 31 Disember lalu.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kesemua GSTT yang akan disambung kontrak itu adalah terdiri daripada guru sandaran yang terpilih memenuhi syarat utama kelayakan iaitu berpengalaman bertugas selama tiga tahun berturut-turut.

Menurutnya, syarat lain yang perlu dipenuhi ialah bersedia untuk ditukarkan ke sekolah lain.

"Kami telah menjalankan proses saringan dan mendapati 1,614 GSTT yang terdiri daripada 338 guru sandaran sekolah rendah dan 1,276 dari sekolah menengah memenuhi syarat tersebut. Jadi kami mengambil keputusan untuk menyambung kontrak mereka.

"Untuk tujuan itu, kementerian telah mengarahkan jabatan pelajaran di setiap negeri supaya mengambil semula guru-guru sandaran ini dengan segera dan berharap mereka akan mendapat surat tawaran dalam masa terdekat,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan terkini GSTT yang masih belum disambung kontrak setelah ia tamat tempoh pada 31 Disember lalu.

Sementara itu, berhubung permintaan Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMMB) supaya GSTT yang berpengalaman lebih tiga tahun diberi keutamaan untuk melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan guru (IPG), Puad berkata, keutamaan sememangnya telah diberikan kepada golongan tersebut.

Bagaimanapun katanya, tidak semua guru sandaran itu boleh melanjutkan pengajian ke IPG kerana kebanyakannya tidak memenuhi syarat bidang pengkhususan dalam pendidikan di sekolah.

"Kami memberi keutamaan. Sebab itu wujudnya Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Kursus Dalam Cuti (KDC) tetapi masalahnya ialah kebanyakan guru sandaran ini tidak memenuhi syarat pengkhususan dalam mata pelajaran di sekolah.

"Sebagai contoh, guru sandaran yang mempunyai kelulusan dalam bidang kejuruteraan sukar untuk dipilih ke IPG berbanding mereka yang mempunyai kelulusan di dalam bidang bahasa dan sejarah kerana kurang pengkhususan terhadap bidang tersebut di sekolah,'' jelasnya.

Friday, January 21, 2011

Larang guru kerja Sabtu

KUALA LUMPUR: Pengetua dan guru besar sekolah di seluruh negara diminta tidak memaksa guru mereka bertugas pada Sabtu, selain patuh pada peraturan dikeluarkan kerajaan yang menetapkan hari berkenaan sebagai cuti buat kakitangan sekolah.

Sehubungan itu, guru yang tidak berpuas hati ditugaskan pengetua mereka untuk bekerja pada setiap Sabtu di sekolah masing-masing, diminta tampil membuat aduan bertulis kepada Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) supaya hak mereka untuk berehat pada hari itu dapat dibela.


Presiden NUTP, Hashim Adnan berkata, masih ada pengetua atau guru besar sekolah yang tidak memahami peraturan serta ingkar dengan arahan kerajaan yang menetapkan Sabtu sebagai hari cuti berehat untuk semua guru.

Bagaimanapun, beliau berkata, peraturan itu masih fleksibel kerana guru berkenaan boleh dipanggil oleh pengetua untuk bertugas pada mana-mana dua Sabtu dalam sebulan jika keadaan benar-benar memerlukan bagi menjayakan sesuatu acara yang tidak dapat dilakukan pada hari persekolahan biasa.


“Ada pengetua menganggap keputusan mereka mengarah guru bertugas pada Sabtu terutama untuk mengadakan kelas tambahan kononnya untuk mempertingkatkan lagi pencapaian pelajar sedangkan kelas yang sudah diadakan dari Isnin hingga Khamis sepatutnya sudah mencukupi “Pengetua yang mahu mengarah guru bekerja pada Sabtu sepatutnya mengeluarkan arahan dalam bentuk surat arahan rasmi dan bukannya secara lisan kerana jika apa-apa perkara tidak diingini berlaku, pihak sekolah dan pengetua akan bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi semalam.


Hashim berkata, guru mempunyai hak untuk berehat pada Sabtu bersama keluarga serta menenangkan fikiran dan tidak sepatutnya dikerah bekerja hingga mengganggu masa senggang mereka.

Katanya, beliau memahami keadaan guru yang tersepit dan serba salah dengan arahan pengetua serta akan mengikut saja berikutan bimbang dikenakan tindakan jika enggan bertugas pada Sabtu walaupun ia sudah diisytiharkan sebagai hari cuti buat mereka.


“Ada guru yang sukarela bertugas dengan mengadakan kelas tambahan pada Sabtu atau menganjurkan program berbentuk sukan, tetapi bagi mereka yang tidak rela, jangan duduk diam dan kita minta mereka membuat aduan supaya hak mereka terbela.

“Manakala guru yang terpaksa bertugas pada Sabtu perlu berani meminta pengetua mengeluarkan satu surat rasmi yang tertera arahan mengenai tugas supaya pihak sekolah akan bertanggungjawab jika ada masalah,” katanya.


Sementara itu, Hashim turut memberi pandangan supaya beberapa perkataan yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan kaum India di negara ini seperti yang terkandung dalam novel Interlok dihitamkan saja dengan dakwat bagi memuaskan hati semua pihak.

Monday, January 17, 2011

ARWAH IBU MELAWAT JENAZAH ANAK

Kisah ini diceritakan oleh seorang ustaz yang bertugas memandikan mayat orang Islam di hospital.

Lebih kurang jam 3.30 pagi, saya menerima panggilan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah,

Klang, Selangor untuk menguruskan jenazah lelaki yang sudah seminggu tidak dituntut.

Di luar bilik mayat itu cukup dingin dan gelap serta sunyi dan hening.

Hanya saya dan seorang penjaga bilik tersebut yang berada dalam bilik berkenaan.

Saya membuka dengan hati-hati penutup muka jenazah.

Kulitnya putih,badannya kecil dan berusia awal 20-an.

Allah Maha Berkuasa.

Tiba-tiba saya lihat muka jenazah itu sedikit demi sedikit bertukar menjadi hitam.

Mulanya saya tidak menganggap ia sebagai aneh,

namun apabila semakin lama semakin hitam, hati saya mula bertanya-tanya.

Saya terus menatap perubahan itu dengan teliti,

sambil di hati tidak berhenti-henti membaca ayat-ayat suci Al-Quran.

Detik demi detik berlalu,wajah jenazah semakin hitam.

Selepas lima minit berlalu,barulah ia berhenti bertukar warna.

Ketika itu wajah mayat berkenaan tidak lagi putih seperti warna asalnya,

tetapi hitam seperti terbakar.

Saya keluar dari bilik berkenaan dan duduk termenung memikirkan kejadian aneh yang berlaku itu.

Pelbagai pertanyaan timbul di kepala saya;

apakah yang sebenarnya telah terjadi?

Siapakah pemuda itu?

Mengapa wajahnya bertukar hitam?

Persoalan demi persoalan muncul di fikiran saya.

Sedang saya termenung tiba-tiba saya dapati ada seorang wanita berjalan menuju ke arah saya.

Satu lagi pertanyaan timbul, siapa pula wanita ini yang berjalan seorang diri

di bilik mayat pada pukul 4.00 Semakin lama dia semakin hampir,

dan tidak lama kemudian berdiri di hadapan saya.

Dia berusia 60-an dan memakai baju kurung.

Ustaz," kata wanita itu.

"Saya dengar anak saya meninggal dunia dan sudah seminggu mayatnya tidak dituntut.

Jadi saya nak tengok jenazahnya." kata wanita berkenaan dengan lembut.

Walaupun hati saya ada sedikit tanda tanya,

namun saya membawa juga wanita itu ke tempat jenazah tersebut.

Saya tarik laci 313 dan buka kain penutup wajahnya.

"Betulkah ini mayat anak mak cik?"tanya saya.

"Mak cik rasa betul... tapi kulitnya putih."

"Makcik lihatlah betul-betul." kata saya.

Selepas ditelitinya jenazah berkenaan,

wanita itu begitu yakin yang mayat itu adalah anaknya.

Saya tutup kembali kain penutup mayat dan menolak kembali lacinya ke dalam dan

membawa wanita itu keluar dari bilik mayat.

Tiba di luar saya bertanya kepadanya.

"Mak cik, ceritakanlah kepada saya apa sebenarnya yang berlaku

sampai wajah anak mak cik bertukar jadi hitam?" tanya saya.

Wanita itu tidak mahu menjawab sebaliknya menangis teresak-esak.

Saya ulangi pertanyaan tetapi ia masih enggan menjawab.

Dia seperti menyembunyikan sesuatu.

"Baiklah, kalau mak cik tidak mahu beritahu,

saya tak mahu uruskan jenazah anak mak cik ini. "

kata saya untuk menggertaknya.

Bila saya berkata demikian, barulah wanita itu membuka mulutnya.

Sambil mengesat airmata, dia berkata,

"Ustaz, anak saya ni memang baik,

patuh dan taat kepada saya.

Jika dikejutkan di waktu malam atau pagi supaya buat sesuatu kerja,

dia akan bangun dan buat kerja itu tanpa membantah sepatahpun.

Dia memang anak yang baik.

Tapi..." tambah wanita itu lagi

"apabila makcik kejutkan dia untuk bangun sembahyang,

Subuh misalnya, dia mengamuk marahkan mak cik.

Kejutlah dia, suruhlah dia pergi ke kedai,

dalam hujan lebat pun dia akan pergi, tapi kalau dikejutkan supaya bangun sembahyang,

anak makcik ini akan terus naik angin.

Itulah yang mak cik kesalkan." kata wanita tersebut.

Jawapannya itu memeranjatkan saya.

Teringat saya kepada hadis nabi bahawa barang siapa yang tidak sembahyang,

maka akan ditarik cahaya iman dari wajahnya.

Mungkin itulah yang berlaku.

Wajah pemuda itu bukan sahaja ditarik cahaya keimanannya,

malah diaibkan dengan warna yang hitam.

Selepas menceritakan perangai anaknya,

wanita tersebut meminta diri untuk pulang.

Dia berjalan dengan pantas dan hilang dalam persekitaran yang gelap.

Kemudian saya pun memandikan, mengapankan dan menyembahyangkannya.

Selesai urusan itu, saya kembali ke rumah semula.

Saya perlu balik secepat mungkin kerana perlu bertugas keesokan harinya sebagai imam di Masjid Sultan Sallehuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Selang dua tiga hari kemudian, entah kenapa hati saya begitu tergerak untuk menghubungi waris mayat pemuda tersebut. Melalui nombor telefon yang diberikan oleh Hospital Tengku Ampuan Rahimah,

saya hubungi saudara Allahyarham yang agak jauh pertalian persaudaraannya.

Selepas memperkenalkan diri, saya berkata,

"Encik, kenapa encik biarkan orang tua itu datang ke hospital seorang diri di pagi-pagi hari.

Rasanya lebih elok kalau encik dan keluarga encik yang datang

sebab encik tinggal di Kuala Lumpur lebih dekat dengan Klang."

Pertanyaan saya itu menyebabkan dia terkejut,

"Orang tua mana pula?" katanya.

Saya ceritakan tentang wanita berkenaan, tentang bentuk badannya,

wajahnya,tuturannya serta pakaiannya.

"Kalau wanita itu yang ustaz katakan,

perempuan itu adalah emaknya, tapi.... emaknya dah meninggal lima tahun lalu!"

Saya terpaku, tidak tahu apa yang hendak dikatakan lagi.

Jadi 'apakah' yang datang menemui saya pagi itu?

Walau siapa pun wanita itu dalam erti kata sebenarnya,

saya yakin ia adalah 'sesuatu' yang Allah turunkan untuk memberitahu kita apa yang sebenarnya telah berlaku hingga menyebabkan wajah pemuda berkenaan bertukar hitam.

Peristiwa tersebut telah terjadi lebih setahun lalu, tapi masih segar dalam ingatan saya.

Ia mengingatkan saya kepada sebuah hadis nabi,

yang bermaksud bahawa jika seseorang itu meninggalkan sembahyang satu waktu dengan sengaja,

dia akan ditempatkan di neraka selama 80,000 tahun.

Bayangkanlah seksaan yang akan dilalui kerana satu hari di akhirat

bersamaan dengan seribu tahun di dunia.

Kalau 80,000 tahun?

-sekian-

www.haticlassic.blogspot.com .•´¯`•.¸¸.•

Jawatan GSTT di Negeri Melaka - Jan 2011


JAWATAN:
- Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT)
(Sekolah Menengah negeri Melaka)

SYARAT-SYARAT:
1. Warganegara Malaysia
2. Umur tidak melebihi 35 tahun bagi siswazah dan 30 tahun bagi bukan siswazah
3. Mempunyai kelayakan akademik yang diiktiraf (Telah tamat pengajian dan dianugerahkan IJAZAH atau DIPLOMA)
4. Mempunyai kepujian Bahasa Malaysia (SPM) atau yang setaraf dengannya dan mendapat kepujian dalam 3
matapelajaran yang lain.
5. Bagi lantikan guru-guru Agama, calon-calon hendaklah mempunyai kelulusan Bahasa Arab sekurang-kurangnya
peringkat SPM, matapelajaran Agama Islam Tinggi ataupun IV Senawi.
6. Pemohon akan dihubungi melalui telefon sekiranya ada kekosongan.

BORANG PERMOHONAN
http://www.jpnmelaka.gov.my/portal/images/stories/borang_guru_gstt_2011.pdf

Sila Sertakan bersama borang permohonan
1. Salinan Sijil SPM ( sekurang-kurangnya memperoleh 4 kepujian ) yang DIAKUI SAH
2. Salinan Sijil STPM ( sekurang-kurangnya Lulus Kertas Am + 2P + 2R ) yang DIAKUI SAH, JIKA ADA
3. Salinan Kad Pengenalan dan Salinan Sijil Akademik SAHAJA yang DIAKUI SAH
4. Salinan skrol Ijazah/Diploma yang DIAKUI SAH

Hantarkan kepada alamat berikut:

Pengarah
Jabatan Pelajaran Melaka
Jalan Istana,
75450 Bukit Beruang
Melaka
( u.p : Unit Sekolah Menengah )

Tarikh Tutup : 31 Januari 2011

Friday, January 14, 2011

Guru sandaran rayu sambung kontrak


Sebahagian daripada guru sandaran tidak terlatih (GSTT) menunjukkan berita mengenai nasib mereka selepas tidak disambung tugas sebagai guru walaupun ada kenyataan pihak tertentu mengekalkan jawatan itu di Kangar, semalam.


KANGAR 5 Jan. - Harapan sekumpulan guru sandaran tidak terlatih (GSTT) di negeri ini untuk sentiasa bergelar guru musnah setelah ditamatkan kontrak perkhidmatan walaupun ada di antara mereka pernah mengharumkan nama sekolah.

Lebih menyedihkan, mereka sudah lima kali membuat permohonan untuk mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) namun jawapan yang diterima mengecewakan.

Ada di antara mereka yang telah menjadi GSTT sejak tiga tahun lalu malah mereka merupakan antara GSTT yang tidak pernah merungut untuk berkhidmat sebagai pendidik walaupun pada cuti sekolah.

Sehubungan itu, mereka merayu Kementerian Pelajaran untuk menyambung khidmat mereka dan mempermudahkan pengambilan KPLI dan DPLI dengan mengutamakan GSTT yang telah mempunyai banyak pengalaman mengajar.

Menurut GSST berkenaan iaitu Suriani Shahidan, 27; Aznida Hassan, 26; Habibah Saad, 29; Haniza Hashim, 26; dan Tarmizi Shukeri, 28; pengalaman menjadi guru amat bernilai dan mereka berharap dapat meneruskan profesion tersebut.

"Kami bukan tidak mahu mencari kerja lain namun jiwa kami telah sebati dengan tugas mendidik malah kami pernah memohon Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan sekolah swasta namun tiada jawapan," kata mereka kepada pemberita di sini hari ini.

Mereka merupakan antara GSTT yang sangat meminati bidang pendidikan malah sanggup dihantar ke kawasan pedalaman di negara ini untuk menjadi guru.

"Kami bukan berjanji kerana belum dapat jawatan ini, tetapi memang kami menyintai bidang perguruan malah kami tidak kisah jika dihantar ke mana sahaja walaupun ke Sabah atau Sarawak."

"Sekali kami dipanggil cikgu biarlah selama-lamanya kami dipanggil cikgu juga," ujar mereka.

Mereka juga berharap agar dapat diterima masuk mengikuti kursus berkenaan dalam tempoh yang terdekat memandangkan usia mereka menghampiri had umur kelayakan memohon kursus itu.

Bagi Tarmizi, kejayaannya mengharumkan nama sekolah dalam sukan bola tampar merupakan saat yang paling manis dalam hidupnya.

Dia yang menjadi jurulatih sukan berkenaan untuk kategori bawah 18 tahun dan bawah 16 tahun berjaya menempatkan sekolah itu di tempat ketiga dan kedua pada Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Perlis (MSSPs) tahun lalu.

"Malah dua pelajar sekolah berkenaan telah dipanggil untuk mengikuti Latihan Pembangunan Bola tampar Perlis kerana kejayaan sekolah justeru saya sangat berharap ada pihak yang menghargai usaha saya dan rakan-rakan dengan menerima kami sebagai guru tetap," katanya.

Monday, January 10, 2011

NUTP cadang sistem penilaian baru untuk tujuan naik gaji

07/01/2011 12:33pm

KUALA LUMPUR, 7 Jan. - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan agar sistem baru untuk menilai prestasi kerja penjawat awam kelak hanya melibatkan soal pergerakan gaji kakitangan dan bukannya untuk tujuan kenaikan pangkat.

Presidennya Hashim Adnan berkata, urusan kenaikan pangkat perlu diserahkan sepenuhnya kepada ketua jabatan yang membuat penilaian berdasarkan prestasi dan pengalaman.

Menurut beliau, cara begitu akan memberi peluang kepada guru terutamanya untuk naik pangkat setelah lama berkhidmat tanpa perlu memikirkan soal perlu lulus sebarang peperiksaan awam seperti sebelum ini.

"Ada guru yang sudah lama berkhidmat tetapi masih gagal dalam peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) sebelum ini dan gagal menerima kenaikan pangkat selama bertahun-tahun,” katanya di sini hari ini. - Bernama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...