Friday, March 1, 2013

Rezeki percuma nelayan Gaza

Rezeki percuma nelayan Gaza
Pegawai polis tempatan ini memerhati kejadian yang dianggap pelik tetapi rezeki buat mereka.
'ALHAMDULILLAH'. Itu adalah ungkapan yang diucapkan penduduk dan kumpulan nelayan di pantai Bandar Gaza, Palestin, apabila puluhan ekor ikan pari spesies Mobula terdampar, sekali gus menjadi sumber protein buat mereka.

Menurut seorang nelayan tempatan, Mohammad al-Yusof, kejadian pari terdampar di pantai adalah yang pertama sejak ia pernah berlaku pada enam tahun lalu.

"Ikan ini mampu mencapai berat lebih 76 kilogram (kg) dan kami pernah menjualnya kira-kira 5 shekels (RM4.22) setiap setengah kg di pasar tempatan.

"Kami juga percaya ia adalah rezeki daripada ALLAH SWT," kata al-Yusof.

Lapor agensi berita Ma'an, kumpulan pari Mobula itu mampu membesar sehingga saiz 5.2 meter dan kelihatan sama dengan pari spesies Manta yang cukup terkenal di Gaza.

Sementara itu, pakar ikan pari dunia daripada Kolej Santa Rosa Junior, California, Bob Rubin berkata, pari dari keluarga Mobula ini mengembara bersama kumpulan hidupan akuatik sangat besar selain mampu melompat dari dalam air ke udara.

"Spesies hidupan laut ini amat menarik. Malah kejadian kumpulan besar pari Mobula terdampar di pinggir pantai dalam jarak tempoh tertentu adalah sangat pelik.

"Selama saya mengkaji corak hidup pari Mobula di Teluk California, saya tidak pernah melihat kejadian seperti ini.

"Berdasarkan kesan luka pada sirip sebahagian besar ikan pari ini, ia berkemungkinan berlaku disebabkan insiden dilanggar bot, batu karang, pasir atau berlanggar satu sama lain sewaktu hidupan laut ini mengembara dalam kelompok yang banyak," kata Rubin.

Beliau juga tidak menolak pencemaran bunyi atau isyarat elektrik menjadi punca menyebabkan kumpulan pari itu terdampar di tepi pantai.

"Jika diberi kesempatan, saya akan menjalankan autopsi segera bagi mengetahui punca sebenar terdamparnya spesies Mobula di tepi pantai Bandar Gaza," katanya. - MailOnline

Reaksi Anda:

0 Komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...