Friday, March 4, 2011

13,000 GSTT diambil semula



KINABATANGAN 3 Mac – Nasib hampir 13,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang ditamatkan tugas baru-baru ini bakal terbela apabila kerajaan bersetuju mengambil semula mereka untuk berkhidmat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan berita gembira itu berkata, kerajaan telah meneliti perkara itu dengan terperinci dan meminta Ketua Pengarah Pelajaran mengambil tindakan segera.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan bersetuju untuk menarik semula tindakan memberhentikan tugas kumpulan pengajar tersebut dan berusaha menempatkan mereka di kawasan yang memerlukan.

Bagaimanapun katanya, kumpulan GSTT tersebut harus bersedia ditempatkan di mana-mana kawasan yang diperlukan mereka bertugas di seluruh negara.

“Mereka inginkan jawatan ini, maka mereka juga harus bersedia untuk ditempatkan di mana-mana kawasan yang memerlukan khidmat mereka,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Juara Rakyat dan Majlis Penyampaian Dividen Ladang Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Tongod dan Geran Komunal Lalampas, Tongod dekat sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin.

Sebelum ini kerajaan memutuskan untuk tidak menyambung semula perkhidmatan GSTT yang ditamatkan pada akhir tahun lalu dengan tiada sebarang pelantikan baru bagi tahun ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, individu yang pernah memegang jawatan GSTT sebelum ini, terutama yang berkhidmat selama dua atau tiga tahun akan diberi peluang untuk terus berkhidmat.

“Kumpulan tersebut mempunyai pengalaman mengajar dan khidmat mereka diperlukan untuk mendidik anak bangsa,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kumpulan GSTT yang diberhentikan itu juga akan diberi peluang menjadi guru terlatih dengan menyertai pelbagai kursus meningkatkan kemahiran yang disediakan kerajaan seperti kursus lanjutan dan kursus dalam cuti.

Beliau berkata, penambahan kursus-kursus tersebut bertujuan meningkatkan kemahiran mereka dalam mata pelajaran pilihan seperti Bahasa Inggeris dan Matematik.

Ditanya bilakah kumpulan tersebut akan berkhidmat semula, Muhyiddin berkata, arahan mengambil semula kumpulan GSTT itu telah dikeluarkan kepada pihak terbabit sejak dua bulan lalu.

“Ia kini dalam proses pengurusan logistik dan penempatan semula kumpulan GSTT tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pengambilan GSTT kali ini akan dilakukan dengan lebih teliti dengan memberi keutamaan kepada mereka yang pernah berkhidmat.

Justeru, beliau meminta semua Pengarah Pelajaran Negeri dalam pemilihan nanti supaya memberi perhatian kepada individu yang telah berkhidmat sebagai GSTT sebelum ini dan hanya mengambil mereka yang benar-benar layak.

Related Posts:

  • Berita baik bagi guru sandaranMELAKA 24 Okt. - Kementerian Pelajaran merancang menyerap masuk guru sandaran tidak terlatih (GSTT) yang berkhidmat melebihi lima tahun ke dalam program Kursus Dalam Cuti (KDC) sebelum layak memegang jawatan tetap. Timbala… Read More
  • Guru sandaran rayu sambung kontrak Sebahagian daripada guru sandaran tidak terlatih (GSTT) menunjukkan berita mengenai nasib mereka selepas tidak disambung tugas sebagai guru walaupun ada kenyataan pihak tertentu mengekalkan jawatan itu di Kangar, sema… Read More
  • Serap GSTT ke jawatan tetapKUALA LUMPUR 12 Okt. - Kementerian Pelajaran bakal memperkenalkan mekanisme bagi membolehkan lebih ramai guru sandaran tidak terlatih (GSTT) diserap ke jawatan tetap pada masa hadapan. Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. … Read More
  • Beri peluang guru sandaran diserap jadi guru tetapSaudara Pengarang,ISU guru siswazah yang tidak mencukupi di sekolah khasnya di kawasan pedalaman memang bukan perkara baru di negara kita terutamanya di negeri seperti Sarawak dan Sabah. Baru-baru ini kita dikejutkan lag… Read More
  • Harapan guru sandaran belum kesampaian...GURU tetap atau sandaran, matlamat tetap sama mahu menjadikan murid cemerlang dalam akademik, berakhlak mulia. - Gambar hiasanMENCEBURI bidang pendidikan bukanlah suatu tugas yang mudah kerana dunia pendidikan dewasa ini penu… Read More

0 Komen: