Tuesday, June 14, 2011

Budaya asing ancam dikir barat


PENAMPILAN tukang karut wanita antara elemen baru dalam dikir barat.


KOTA BHARU 27 April - Keindahan seni akan hanya menyakitkan hati dan mata memandang jika keasliannya terpalit atau sengaja dipalit dengan elemen tidak sepatutnya.

Bahkan, dari sudut nilainya sendiri sudah pasti tidak mampu memberi apa-apa kekuatan sama ada dari perspektif moral atau fizikal, sekali gus signifikan di sebaliknya gagal diterjemahkan kepada umum.

Demikian nasib kemungkinan akan menimpa seni dikir barat yang kini didakwa tercemar berikutan diwarnai elemen yang boleh menjejaskan keaslian seninya.

Antara elemen tersebut adalah membawa masuk atau penggunaan sistem muzik moden, menggunakan kaedah 'minus one' dan menampilkan tukang nyanyi wanita selain berunsurkan konsert rock dan dangdut semasa persembahan.

Perkembangan itu secara tidak langsung menggamit kebimbangan di kalangan pencinta serta peminat seni dikir barat asli negeri ini.

Presiden Koperasi Dikir Barat Kelantan Bhd., Zulkepli Mohamed atau lebih dikenali dengan panggilan Zul Wisma, melahirkan rasa dukacita terhadap senario yang berlaku di dalam persembahan dikir barat mutakhir ini.

Katanya, elemen tersebut mengetepikan konsep asal seni dikir barat yang menggunakan alat seperti gendang, gong dan canang di mana prinsip persembahan sepatutnya dibawa secara langsung kepada penonton.

"Seni asli dikir barat tiada muzik moden. Tiada 'minus one'. Manakala, kehadiran artis wanita hanya menimbulkan fitnah di kalangan orang ramai. Situasi ini patut diatasi.

"Unsur-unsur begini bukan sahaja akan melenyapkan kegemilangan seni yang diwarisi sejak puluhan tahun lampau tetapi mencemar warisan budaya yang menjadi kebanggaan anak Kelantan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Tambahnya, tindakan membawa masuk elemen tersebut oleh sesetengah pihak penganjur, adalah semata-mata untuk menjadikan persembahan dikir barat sebagai acara komersial bagi mengaut keuntungan.

Pada 1991, Kerajaan Pas Kelantan telah menyusun semula acara kesenian dan hiburan yang melibatkan persembahan hiburan tradisional seperti makyong, menora, wayang kulit termasuk dikir barat di negeri ini agar tidak bercanggah dengan Islam.

Persoalannya, sejauh mana penguatkuasaan penyusunan itu dilaksanakan sedangkan gejala buruk itu terus berleluasa, terutamanya dalam persembahan yang diadakan di padang atau di kampung-kampung.

"Jika senario ini terus berleluasa, maknanya penguatkuasaan itu tidak konkrit," katanya yang juga tukang karut termasyhur kumpulan dikir barat negeri ini.

Justeru, Zulkepli yang juga pengerusi salah sebuah firma audit di negeri ini meminta pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi kerajaan berkaitan termasuk kerajaan negeri sendiri memandang serius senario yang berlaku demi mengekalkan keaslian seni dikir barat.

Dikir barat adalah permainan tradisional paling digemari oleh masyarakat Melayu Kelantan suatu masa dahulu dan sering dimainkan pada musim menuai serta pada majlis perkahwinan.

Persembahannya disampaikan secara berkumpulan yang diketuai oleh seorang Tukang Karut dan Tok Juara bertindak mendahului nyanyian sambil berbalas pantun dan diikuti oleh awak-awak sebagai suara latar dengan suara yang kuat dan lantang.

Sementara itu, Presiden Persatuan Dikir Barat Kelantan (Pendikir), Mohd. Ruby Jaffar berkata, senario tersebut bukan perkara baru dan telah mewarnai arena dikir barat di merata-rata tempat kebelakangan ini.

Namun, tambahnya, oleh kerana penguatkuasaan pihak berkenaan terlalu longgar, budaya asing semakin mudah menular mencemari seni asal dikir barat.

"Saya percaya fenomena tersebut tidak wujud sekiranya pemantauan dibuat secara bersepadu oleh pihak berkenaan terutamanya sewaktu meluluskan permit persembahan," katanya.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan negeri memberi kuasa kepada pihak persatuan untuk menapis setiap permohonan persembahan dikir barat dari mana-mana penganjur sebelum membuat persembahan.

Cadangan itu katanya, bagi membantu pihak terbabit menangani budaya yang bercanggah dengan undang-undang hiburan negeri di samping menjaga keaslian persembahan dikir barat itu sendiri.

"Kita juga bersedia untuk bekerjasama dengan pihak terbabit bagi membuat apa jua pemantauan bersabit perkara itu sebab persatuan sentiasa memperjuangkan keaslian seni dikir barat," katanya.

0 Komen: