Tunggu binjai gugur, bagaikan pesta  
  • Md Shariff (kanan) bersama penduduk menunjukkan buah yang berjaya diperoleh ketika menunggu binjai gugur di Kampung Nibong, kelmarin.
HULU TERENGGANU - Biarpun rasanya tidak seenak durian, namun ketibaan musim buah binjai atau nama saintifiknya ‘mangifera caesia’ bagaikan mengundang fenomena tersendiri bagi komuniti setempat, di sini.

Semuanya terbukti apabila ada yang sanggup bersengkang mata di bawah pokok binjai semata-mata mahu menunggu buahnya gugur, malah turut membina bangsal bagi dijadikan tempat berteduh.

Menariknya, konsep ‘siapa cepat dia dapat’ menambahkan lagi kemesraan antara yang menunggu kerana kebiasaannya apabila binjai gugur, mereka akan sama-sama meluru mendapatkan buah tersebut.

Penduduk, Salleh Jusoh, 52, berkata, senario menunggu binjai seolah-olah menjadi tradisi bagi komuniti kampung berkenaan setiap kali tibanya musim binjai gugur dan ia juga mampu memberikan keseronokan kepada mereka yang setia menanti.

“Pokok binjai ini sudah berusia lebih 100 tahun dan secara kebetulan berada di tepi  laluan utama kampung ini, jadi senanglah penduduk termasuk kanak-kanak menunggu buahnya gugur.

“Kebiasaannya, pokok binjai ini tidak berbuah setiap tahun, namun kali ini buahnya begitu lebat dan  boleh kata, setiap masa pasti akan ada orang datang menunggu. Pernah jumlahnya melebihi 50 orang pada satu-satu masa terutamanya waktu petang," katanya kepada Sinar Harian.

Salleh berkata, walaupun tidak ramai gemar makan binjai kerana rasanya yang masam, namun mereka tetap tidak lepaskan peluang menunggu buah itu gugur kerana ia memberikan keseronokan tersendiri.

Malah katanya, ada penduduk sanggup membina bangsal untuk dijadikan tempat  duduk sementara menunggu binjai gugur.

"Selain itu, ada juga yang merebut peluang berniaga minuman di kawasan pokok binjai ini pada waktu petang,” katanya.

Jadi tradisi

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Paloh Nyior, Md Shariff Busu berkata, penduduk kampungnya juga tidak ketinggalan menyertai aktiviti menunggu binjai  gugur, apatah lagi lokasi pokok tersebut terletak bersempadan dengan Kampung Nibong.

Menurutnya, tidak semua binjai gugur merupakan buah masak, namun ia boleh dibezakan daripada bunyi terhasil ketika buah itu jatuh ke tanah.

"Mereka yang sudah biasa pasti dapat kesan perbezaan bunyi antara buah masak atau sebaliknya," katanya.

Beliau berkata, penduduk setempat memang menantikan acara itu memandangkan musim binjai berbuah lebat dan gugur jarang-jarang berlaku dan biasanya buah yang dikutip untuk makan sendiri, bukan dijual.

“Ketika saya kecil, pesta ini sudah ada dan ternyata ia bagaikan tradisi kerana masih menjadi ikutan sehingga kini. Melihat kanak-kanak turut sama menyertai aktiviti ini, semua ini pendedahan terbaik untuk mereka teruskan pesta ini pada masa akan datang,” katanya.