|
|
KOTA BHARU – Ketangkasan serta ketenangan Khairul Fahmi Che Mat menjaga gawang gol setiap kali beraksi sememangnya ditagih oleh para peminat untuk memastikan ia tidak bolos.
Biarpun memiliki susuk tubuh yang kecil ditambah dengan pengalaman luas, keupayaannya boleh dianggap setanding dengan pemain yang lebih berpengalaman.
Itulah kelebihan yang dimiliki oleh anak jati kelahiran Kampung Cherang, Kota Bharu, Kelantan Khairul Fahmi atau Apek.
Tanggal 6 Mac 2010 menjadi titik kebangkitan Apek selepas dia berada dalam senarai kesebelasan utama B. Sathianathan ketika kunjungan Kelantan ke Terengganu untuk menentang T-Team pada aksi Liga Super.
Bermula dari situlah, anak keempat daripada lima beradik itu tidak menoleh lagi lantas membalas kepercayaan yang diberikan oleh ketua jurulatihnya dengan mempamerkan aksi terbaik.
Aksi cemerlangnya sepanjang saingan liga serta kempen Piala Malaysia telah berjaya menambat hati pengendali skuad kebangsaan K. Rajagobal.
Kejayaan membantu negara muncul juara dan tangkas di depan gawang dianggap faktor yang turut menjulang semula Malaysia sebagai pasukan yang digeruni di rantau ASEAN buat masa ini.
“Kehidupan saya tetap sama macam dahulu, cuma yang berbeza orang lebih mengenali saya berbanding sebelum ini, namun itu tidak mengganggu fokus saya untuk terus berjaya dalam bola sepak.
“Saya anggap semua ini sebagai cabaran buat untuk terus berjuang dalam bidang ini,” katanya yang cukup meminati pasukan bola sepak Bayern Munich.
Apek yang meminati sukan bola sepak sejak kecil tetapi mula berkecimpung secara aktif pada usia 12 tahun dengan mewakili pasukan Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Tapang sehingga ke peringkat negeri sebelum melanjutkan pelajar ke Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP) di Johor Bharu.
Bakatnya mula dikesan oleh gurunya Mohd. Zaki ketika mewakili sekolah. Bertitik tolak dari situlah Apek mendapat tunjuk ajar mengenai cara bermain bola sepak dengan betul.
“Masa itu, Cikgu Zaki yang banyak membantu saya dengan memberikan tunjuk ajar dan semangat untuk saya terus berjaya.
“Selain itu, keluarga juga turut memberikan sokongan padu kepada saya dengan menyediakan segala keperluan untuk bermain bola sepak,” ujarnya.
Ditanya apakah kerjaya lain yang ingin diceburi jika tidak bermain bola sepak, Apek memberitahu, dia mungkin berkecimpung dalam dunia perniagaan.
“Selain bola sepak, saya turut berminat dalam dunia perniagaan. Dalam keluarga pun ada yang berjaya dalam bidang perniagaan, mungkin saya akan ikut jejak langkah mereka.
Menggemari masakan siam, Tomyam, penjaga gol The Red Warriors ini bersedia untuk menerima teguran terutama daripada jurulatih dan rakan-rakan sepasukan.
“Saya masih mentah lagi dalam bola sepak. Banyak yang perlu saya pelajari terutama dalam meningkatkan mutu permainan dan corak persembahan agar dapat memberikan tumpuan sepenuhnya dalam kerjaya ini.
“Bola sepak adalah periuk nasi dan punca rezeki saya. Jadi saya perlu bekerja lebih keras untuk memastikan saya sentiasa mendapat tempat dalam pasukan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Apek turut bercita-cita untuk melebarkan sayapnya di pentas antarabangsa sama seperti yang dilakukan oleh beberapa bekas pemain negara termasuklah rakan sepasukan dalam skuad negara, Safee Sali yang beraksi di Liga Indonesia bersama Pelita Jaya FC.
“Impian saya suatu hari nanti ialah beraksi bersama kelab luar negara. Kalau boleh saya hendak beraksi dalam Liga Sepanyol atau Liga Jerman,’’ ujarnya.
0 Komen:
Post a Comment