KOTA BHARU 24 Mei - Karnival Futsal 1Murid 1Sukan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang di sini hari ini melakar sejarah dan nostalgia tersendiri dengan kehadiran selebriti sukan negara, Khairul Fahmi Che Mat.
Kehadiran anak muda ini menarik perhatian para murid, guru dan ibu bapa yang hadir pada karnival tersebut memandangkan Khairul, 23, sendiri menghabiskan alam sekolah rendahnya di situ.
Kemunculannya ke sekolah itu merupakan yang pertama sejak menjadi pemain bola sepak profesional iaitu selaku penjaga gol pasukan Liga Super Kelantan dan skuad kebangsaan.
Khairul ketika ditemui berkata, dia mendapat pelawaan untuk datang ke karnival tersebut bulan lalu dan terus menerima jemputan itu.
"Pihak sekolah hubungi saya untuk menjemput ke karnival ini. Memang sangat gembira apabila mendapat jemputan seperti ini malah sudah lama saya menunggu waktu terbaik untuk datang.
"Saya harap kehadiran saya di sini mampu memberi semangat kepada murid-murid sekolah untuk aktif dalam bidang sukan yang boleh dijadikan sebagai kerjaya," katanya.
Suasana meriah sambutan karnival itu yang bermula pukul 7.30 pagi seolah-olah bertukar menjadi 'histeria' apabila murid-murid sekolah segera mengerumuni Khairul sebaik sahaja dia tiba pada pukul 10 pagi.
Selain para murid yang sibuk meminta beliau menurunkan tandatangan di beg, topi dan buku masing-masing, ibu bapa dan para guru juga dilihat teruja dan tidak melepaskan peluang bergambar dengan Khairul.
Sementara itu, guru besar, Rosmayati Hamat ketika ditemui berkata, selain memupuk semangat kesukanan di kalangan murid, karnival yang pertama kali dianjurkan itu turut dijadikan landasan untuk memilih pemain sekolah yang akan bertanding pada Karnival Futsal Datuk Fatmi pada Jun dan Julai ini.
"Ia membabitkan semua pelajar lelaki darjah satu hingga enam. Sebanyak 29 pasukan bertanding dengan setiap satu diwakili lapan pemain daripada setiap kelas," katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Sukan SK Tapang, Pauzi Saat berkata, pada karnival itu, kelas Satu Tekun dan Satu Usaha masing-masing menjadi johan untuk kategori darjah satu manakala Dua Bestari dan Dua Tekun menjadi dua pasukan terbaik untuk kategori darjah dua.
"Bagi kategori darjah tiga, kelas Tiga Tekun menjadi johan selepas menewaskan Tiga Bestari pada perlawanan akhir manakala Empat Bestari menjadi johan untuk kategori darjah empat dan Empat Tekun sebagai naib johan.
"Kelas Lima Usaha pula mengungguli kategori darjah lima diikuti Lima Cemerlang manakala untuk kategori darjah enam, Enam Usaha menjadi johan dan Enam Tekun sebagai naib johan," tambahnya.
Wednesday, May 25, 2011
Home »
» Khairul Fahmi gamatkan Karnival Futsal 1Murid 1Sukan di SK Tapang
Khairul Fahmi gamatkan Karnival Futsal 1Murid 1Sukan di SK Tapang
5/25/2011 10:58:00 PM
No comments
0 Komen:
Post a Comment