Sunday, October 14, 2012

Temelian sembah berhala


Temelian sembah berhala
Ikan Tomanlian yang berjaya dinaikkan oleh seorang kaki pancing.
Temelian sembah berhala
Ikan temelian ini akan mencari kawasan cetek untuk berkumpul dan membiakkan telurnya.
Temelian sembah berhala
Sungai di jambatan berhampiran Felda Jengka 8 inilah yang dikatakan menjadi laluan ikan Tomanlian pergi berkumpul menyembah berhala.
Mungkin ramai yang masih belum mengetahui mengenai mitos ini, namun ia amat terkenal buat kaki-kaki pancing yang mencari ikan temelian seberat 30 hingga 50 kilogram

Menurut cerita seseorang, setiap awal tahun sekitar Januari hingga Jun, sekumpulan ikan temelian akan timbul di sepanjang sungai Pahang.

Difahamkan hidupan air terbabit berenang di sepanjang Sungai Pahang, bermula dari Jerantut melalui sungai di jambatan Felda Jengka 8 dan menuju ke sungai berdekatan Sungai Tekam.

Dikatakan, di sepanjang sungai terbabit, terdapat berhala dalam hutan yang menjadi tempat berkumpulnya ikan-ikan terbabit.

Dikatakan juga, setiap tahun, sekumpulan ikan temelian ini akan menuju ke situ untuk menyembah berhala tersebut yang berada di dalam sungai di tengah-tengah hutan dan tidak dapat dilihat manusia.

Kesempatan tersebut digunakan sebaiknya oleh penduduk setempat yang mengetahui tempat berkumpulnya ikan-ikan terbabit untuk membuat tangkapan.

Menurut kata kaki pancing Sungai Pahang, mereka akan mula memasang jaring ketika itu dan menanti ikan temelian itu tersangkut di jaring mereka.

Ketika  tiba musim ini, penduduk sekitar seperti berpesta di mana mereka akan turun beramai-ramai ke sungai untuk mendapatkan ikan ini.

Seekor ikan temelian boleh mencecah sehingga lebih 40 kilogram dan sebesar seorang kanak-kanak yang berusia sekitar 12
tahun.

Sekadar cerita dongeng

Sinar Harian turut membuat tinjauan orang ramai berkaitan cerita mitos ini, namun rata-ratanya tidak mengetahuinya.

Bagi Mohd Nasir Zainal, 58, atau lebih gemar dikenali sebagai Pak Itam, berkumpulnya ikan-ikan temelian terbabit bukanlah hendak menyembah berhala seperti yang didongengkan, sebaliknya, ia berkumpul untuk membiak.

“Setiap awal tahun, ikan temelian ini akan mencari kawasan cetek untuk membiakkan telurnya.

“Ia juga dikenali sebagai musim ikan berlaga oleh penduduk sekitar kerana ikan ini akan berlaga sesama mereka untuk memecahkan telur,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya lagi, ikan temelian ini kebiasaannya akan berkumpul di kawasan-kawasan pulau dan berpasir serta di kuala-kuala sungai.

“Di kawasan-kawasan ini, kita akan dapat lihat ikan-ikan ini timbul dan berlaga sesama mereka melalui percikan-percikan air di sungai.

“Pada ketika itu juga, ikan-ikan ini amat mudah diperolehi, malah kebesarannya adalah di luar jangkauan kerana mencecah berpuluh-puluh kilogram,” katanya yang pernah menangkap ikan temelian seberat 42 kilogram.

Menurutnya lagi, ikan temelian ini suatu ketika dahulu tidaklah semahal harga sekarang, malah orang dahulu tidak gemar memakannya kerana saiznya yang besar.

“Suatu ketika dahulu ia dijual pada harga RM5 sekilogram dan tidak mendatangkan apa-apa keuntungan. Kini saya mendapat tahu, ikan temelian ini dijual pada harga RM25 sekilogram,” katanya.

Menurutnya lagi, menangkap ikan temelian ketika tiba musimnya mengawan dan bertelur adalah suatu kenangan indah buatnya bersama arwah ayahnya.

Reaksi Anda:

0 Komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...