Sunday, October 14, 2012

Wajah cair bagai lilin



KEHIDUPAN Chandra Wisnu berubah apabila mula mendapat ketumbuhan pada muka dan badannya pada usia 19 tahun.


MEMPUNYAI wajah yang seakan-akan cair seperti lilin, Mohammad Latif Khatana yang berasal dari Kashmir, India, menempuh masa sukar dalam hidupnya kerana wajah yang pelik.
Lelaki berusia 32 tahun yang hidup di wilayah sangat daif itu menghabiskan sisa-sisa hidupnya dengan menelan semua sindiran dan cercaan orang ramai hanya kerana ketumbuhan di wajahnya.
Latif dilahirkan dengan ketumbuhan kecil pada mukanya tetapi ia mulai membesar saban tahun sehingga akhirnya menutup muka dan pancainderanya.
Anak bongsu daripada enam adik beradik itu merupakan satu-satunya anggota keluarga yang menghidap penyakit yang dipanggil neurofibromatosis itu.
Bagi Latif, adik-beradiknya merupakan inspirasi kehidupan tatkala dia kesunyian akibat dipinggirkan masyarakat sekeliling.
“Ibu masih menangis setiap kali melihat saya. Dia rasa bersalah dan tidak faham mengapa anak bongsunya ditimpa nasib sebegini.
“Tidak ada orang yang mahu bermain dengan saya. Setiap hari saya dipukul dan diejek oleh kanak-kanak lain. Saya kehilangan mata kiri ketika berusia lapan tahun. Mereka memanggil saya si mata satu,” katanya.
Tidak sempurna
Disebabkan wajahnya yang menakutkan, Latif tidak dapat mencari pekerjaan dan terpaksa mengemis untuk mencari sesuap nasi untuk kelangsungan hidup keluarganya. Hasil daripada simpati orang ramai, beliau mampu memperoleh 400 rupee (RM25) sehari.
Kekurangan Latif juga menyebabkan dia sukar mencari jodoh. Ibu bapanya berusaha mencari isteri untuknya tetapi tidak ada wanita yang sudi berkahwin dengan Latif sehinggalah dia mendengar mengenai Salima.
“Isteri saya hanya mempunyai sebelah kaki sahaja dan sudah lama dia berusaha untuk mendapatkan seorang suami.
“Sebaik bertemu, kami sedar bahawa kami dicipta untuk satu sama lain. Kami berdua tidak sempurna anggota dan itu menjadikan kami pasangan yang sepadan,” katanya.
Kini dia gembira apabila mendapat berita wanita yang dikahwinnya itu hamil tetapi dia begitu bimbang, anak yang bakal dilahirkan itu akan berwajah sepertinya.
“Saya tidak sabar untuk menjadi bapa dan memiliki sedikit kebahagiaan dalam kehidupan saya. Tetapi saya bimbang dan berdoa setiap hari supaya anak saya tidak dilahirkan seperti saya.
Kesengsaraan Latif itu turut dirasai oleh Chandra Wisnu, 57. Lelaki separuh abad dari Indonesia itu menghidap penyakit sama seperti Latif, bagaimanapun wajah Chandra ditumbuhi ketulan seperti gelembung tumbuh.
Ketulan kecil itu mula tumbuh di mukanya ketika dia berumur 19 tahun tetapi ia hanya merebak ke bahagian belakang badannya pada usia 24 tahun. Dalam tempoh lapan tahun, seluruh tubuh Chandra ditumbuhi gelembung.
Keadaan tersebut adalah kerana faktor genetik dan mungkin disebabkan oleh kelainan pada sistem saraf yang menyebabkan tumor pada kulit atau tulang. Walaupun diberikan bermacam-macam jenis krim, namun ketulan tersebut terus merebak.
Sangat aneh
“Penyakit ini memberi kesan besar terhadap kehidupan saya, ketulan itu sangat gatal dan sakit ketika cuaca panas. Bagi mengelakkan daripada gatal dan menghentikan jelingan orang ramai, saya akan pakai jaket tiga lapis dan menutup kepala jika hendak keluar.
“Orang tidak pernah mengolok-olok atau memperkecilkan saya secara langsung, tetapi mereka merenung dan mengelakkan saya, kebanyakan orang bertindak sangat aneh di sekeliling saya.
”Ia membuatkan saya berasa amat tidak selamat dan marah apabila orang melayan saya dengan cara berbeza. Orang menjadi takut dengan muka saya yang mengerikan dan bimbang akan berjangkit kepada mereka.
”Saya jarang keluar kecuali untuk mengambil anak perempuan saya dari sekolah dengan menutup kepala dan muka kerana tidak mahu anak saya dibuli kawan sekolahnya kerana mempunyai ayah seperti saya,” kata bapa kepada empat orang anak itu.
Kebimbangan Chandra makin bertambah apabila dua orang anaknya iaitu Martin Ananda dan Lis Chandra mempunyai ketumbuhan yang sama pada tubuh mereka.
“Mereka hanya mempunyai beberapa ketulan kecil pada masa ini tetapi mereka bimbang akan datang ia akan menjadi lebih buruk.
“Saya amat berbesar hati sekiranya ada pihak yang sanggup memberikan rawatan secara percuma.
“Tetapi sekarang satu-satunya penawar yang saya ada ialah keluarga yang terus memberikan sokongan moral,” ujarnya.

Reaksi Anda:

0 Komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...