Sunday, October 14, 2012

Gua menyerupai sampan, tangga


Sungai Kenong
Keindahan gua batu kapur sambil Sungai Kenong mengalir deras melewati gua itu
Taman Rimba Kenong
Keindahan landskap gua batu kapur di Taman Rimba Kenong
TAMAN Rimba Kenong merangkumi kawasan seluas 121 kilometer persegi di Lembah Kenong yang terletak di barat daya Taman Negara Pahang.

Taman ini memiliki beberapa gua batu kapur yang menakjubkan, ditambah bunyi nyanyian burung dan deruan air terjun memecahkan suasana tenang dan sunyi.

Seorang penduduk tempatan yang mahu dikenali sebagai Pak Tam, 70, berkata, terdapat lebih 20 gua di kawasan itu termasuk lapan yang dikenal pasti dan diterokai, antaranya Gua Batu Tinggi, Gua Batu Tangga, Gua Kesong, Gua Hijau, Gua Buta dan Gua Harimau.

Menurutnya, setiap gua batu kapur di sini terletak sejauh setengah jam perjalanan merentas hutan.

“Daripada lapan gua itu, yang paling menarik ialah Gua Batu Tinggi kerana dikatakan menyerupai sebuah sampan tebuk sambil Sungai Kenong mengalir deras melewati gua itu.

“Menurut cerita dongeng masyarakat tempatan, gua ini terbentuk ketika sebuah sampan yang membawa utusan raja dari Pekan berubah menjadi batu,” katanya.

Pak Tam berkata, Gua Batu Tinggi terletak antara 122 hingga 152 meter dari permukaan laut dan keunikannya terletak pada pembentukan batu-batan yang menyerupai tangga sejarah purba.

“Menariknya, pelbagai jenis tumbuhan liar termasuk jenis bunga anggerik, pohon ara dan epifit menghiasi dan menambah keunikan gua itu," katanya.

Di samping dapat menyaksikan keajaiban sejarah purba, Pak Tam berkata, Gua Batu Tinggi juga menjanjikan pemandangan dan pengalaman berbeza apabila pengunjung dapat melihat kehadiran pelanduk, landak mahupun gajah.

Difahamkan gua-gua itu menjangkau usia yang terlalu lama kerana mengikut kajian ahli kaji bumi dan ahli kaji purba dari kesan-kesan peninggalan purba, sudah wujud kehidupan sejak berabad lalu yakni sejak Zaman Batu.

Pak Tam berkata, bagi pencinta alam yang gemar menjejaki keunikan gua-gua berusia ratusan tahun, Taman Rimba Kenong adalah pilihan tepat untuk disisipkan dalam agenda percutian.

"Hanya tiga jam hendak sampai ke taman ini dari Kuala Lumpur, ia juga boleh dihubung melalui pengangkutan kereta api. Mereka perlu berhenti di bandar Kuala Lipis sebelum mengambil tren ke stesen di Batu 9.

“Dari situ, mereka boleh berjalan kaki selama lima minit ke jeti di Sungai Jelai dan kemudian menaiki bot selama 20 minit menuju Jeti Tanjung Kiara di Sungai Kesong. Pengembaraan ke rimba itu bermula dari jeti ini,” katanya.

Pak Tam berkata, pelancong juga boleh mengambil bot dari Jeti Kuala Lipis untuk ke Tanjung Kiara atau menaiki pacuan empat roda melalui jalan ke Felda Kechau Sembilan sebelum merentas Kampong Matok.

“Terdapat penginapan dalam bentuk resort, chalet, bilik ala asrama serta tapak perkhemahan di Taman Negara.

“Pelancong yang pernah menjejakkan kaki di taman rimba itu bukan sahaja terdiri daripada pencinta alam tempatan, bahkan dari luar negara seperti Perancis dan Britain.” katanya.

Menurutnya, pengunjung juga pastinya seronok berkelah di air terjun tujuh tingkat Lata Kenong serta jeram di Sungai Kenong.

0 Komen: