Sunday, October 14, 2012

Hampir dirogol rakan sekerja


LIA tidak ingin berkahwin kerana kejadian buruk yang menimpa dirinya.



LIA (nama samaran) berasal dari Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Tubuhnya kecil genit bagai pelajar sekolah namun ramai tidak menyangka dia sudah menginjak 21 tahun. Bukan sahaja fizikalnya menarik tetapi ramai jejaka turut terpaut dengan sikap peramah Lia.
Wanita ini bekerja sebagai seorang pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta di ibu negara.
Tugas yang digalas memerlukan Lia berurusan dengan ramai pelanggan namun kerana alasan ingin membina karier dulu, dia tidak terfikir untuk mempunyai teman lelaki.
Tetapi, sifat peribadinya itu menyebabkan dia hampir dirogol oleh rakan sekerjanya sendiri.
Memulakan bicara dengan nada suara yang perlahan, Lia memberitahu, dia baru bekerja selama setahun.
“Sebagai seorang pegawai pemasaran, saya perlu berpakaian menarik selain mesra dengan pelanggan.
“Tetapi, saya tidak menyangka ia sebenarnya punca sehingga rakan sendiri tergamak untuk merogol saya,’ katanya.
Dia menetap di sebuah asrama yang disediakan majikannya.
Sekadar rakan
Mulanya, ramai rakan sekerja menaruh hati terhadap Lia.
Itu menyebabkan terdapat rakan sekerja wanita iri hati dan menyimpan sifat hasad kepadanya.
“Saya menganggap mereka tidak lebih sebagai rakan. Jika keluar minum dan menonton wayang sekalipun kami akan keluar beramai-ramai.
“Ada rakan menyatakan hasrat untuk menjadikan saya teman istimewa tetapi saya tolak dengan baik,” cerita Lia.
Namun, dia hampir menjadi mangsa rogol rakannya sendiri setahun yang lalu.
Katanya, semasa kejadian dia sedang berbaring di katilnya untuk tidur.
“Waktu itu pukul 12 malam, selepas menonton televisyen saya terus ke bilik untuk tidur.
“Tiba-tiba pintu bilik yang dikunci dibuka oleh seseorang yang kemudian terus menghempap badan saya,” katanya.
Lelaki itu menutup muka wanita malang ini dengan bantal untuk menghalangnya menjerit sebelum mengoyak baju tidur serta menyentuh bahagian sulitnya.
“Mujur saya datang bulan semasa itu menyebabkan lelaki keji itu melupakan niatnya. Tetapi suaranya mirip rakan sekerja saya.
“Namun, dia sempat mengambil dompet saya selain barang kemas yang terdapat di meja lampu tidur,” kata Lia dengan nada geram.
Dia amat terkejut dengan peristiwa itu sehingga trauma serta mengasingkan diri daripada bergaul dengan orang lain.
Hati Lia kemudian terdetik berikutan lelaki durjana yang cuba merogolnya mempunyai kunci rumah asramanya.
Selain itu, semasa kejadian, empat rakan serumahnya tiada di rumah.
Lia mengambil keputusan untuk menceritakan titik hitam yang berlaku itu kepada kakak angkatnya yang bekerja di tempat sama.
Kakak angkat Lia yang mesra disapa Siti itu bercerita, sebelum kejadian berkenaan ramai rakan lelaki sekerja berasa kejantanan mereka tercabar akibat tindakan Lia yang menolak cinta mentah-mentah.
“Kak Siti terdengar mereka merancang sesuatu yang buruk terhadap saya,” ujarnya.
Bersekongkol
Kesemua rakan serumahnya menafikan bersekongkol dengan perkara itu.
“Malah, mereka mendakwa saya sengaja membuat cerita sebelum menghalau saya keluar dari asrama.
“Itu membuatkan saya tertekan sebelum mengambil keputusan berhenti kerja,” katanya.
Walaupun kehormatannya hampir diragut, Lia tetap enggan melaporkannya kepada pihak polis.
Tutur Lia, dia takut sekiranya peristiwa itu diadukan kepada pihak polis, ibu bapanya tidak akan membenarkan dia tinggal berasingan daripada keluarga.
“Saya juga tidak akan dibenarkan bekerja kerana keluarga merupakan ahli perniagaan yang berjaya.
“Saya juga tidak mahu hidup terkongkong kerana saya anak bongsu dan satu-satunya anak perempuan dalam keluarga,” cerita Lia.
Tidak lama kemudian Lia mengambil kursus pengawal peribadi di sebuah syarikat swasta dan kini dia bertugas sebagai seorang pengawal peribadi sepenuh masa.
“Kini saya lebih berhati-hati kerana takut peristiwa yang sama berulang dan takut untuk mempunyai teman lelaki.
“Sekurang-kurangnya saya mempunyai ilmu mempertahankan diri untuk mengelak situasi sama berulang,” katanya.
Dia juga bertegas tidak ingin mempunyai teman hidup dalam masa yang terdekat.
“Mungkin anda boleh mencari lelaki yang jujur untuk saya,” katanya dengan nada penuh pengharapan.

Reaksi Anda:

0 Komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...