SHAH ALAM - Seorang guru sekolah menengah di Sepang memfailkan saman fitnah bagi menuntut RM1 juta terhadap empat defendan termasuk Majlis Agama Islam Negeri Selangor (Mais) berhubung penyebaran kandungan surat yang mendakwa beliau menyebarkan agama bertentangan.

Shahriah Omar, 47, selaku plaintif dalam tuntutan samannya telah menamakan Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Pejabat Agama Daerah Sepang, Ariff Alfian Norazman dan Pegawai Pendaftar Kanan Pejabat Agama Daerah Sepang, Abd Halim Mt Esa masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.

Beliau turut menamakan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Selangor, Marzuki Hussin sebagai defendan ketiga dan Mais pula defendan keempat dalam tuntutan tersebut.

Writ saman itu difailkan melalui Tetuan Kesavan menerusi peguam Fadiah Nadwa Fikri di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini, semalam jam 11.30 pagi.

Shahriah dalam pernyataan tuntutan mendakwa surat bertarikh 16 Mei 2011 dan Laporan Mengenai Aduan Ajaran Yang Bertentangan Dengan Ajaran Islam bertarikh 26 Mei 2011 telah dikeluarkan dan disebarkan kepada beberapa pihak termasuk sekolah plaintif mengajar.

Dakwanya, ia turut disebar kepada bekas suami plaintif, Dr Nazaruddin Ramli, di mana kedua-dua dokumen itu digunakan sebagai eksibit dalam afidavit yang diikrarkan oleh bekas suaminya dalam permohonan untuk mendapatkan hak penjagaan anak-anak.

Guru tersebut berkata, defendan kedua melalui dua surat bertarikh 11 Julai 2011 yang dikeluarkan kepada “sesiapa yang berkenaan” dan kepada plaintif telah mengakui bahawa Pejabat Agama Islam Sepang telah mengeluarkan dan menyebarkan surat dan laporan itu yang berstatus sulit.

Menurutnya, defendan kedua juga memohon maaf kepada plaintif melalui surat bertarikh 11 Julai 2011 kerana mengeluarkan dan gagal memelihara status sulit surat dan laporan berkenaan.

Shahriah berkata, kesemua defendan secara terus menyebarkan perkataan fitnah tersebut yang antara lain di dalam makna asal dimaksudkan sebagai merujuk plaintif sebagai seorang pengikut ajaran sesat, rosak akidah, melanggar ajaran Islam dan tidak layak memegang jawatan sebagai guru.

Beliau mendakwa tindakan kesemua defendan mencerminkan beliau seorang bekas isteri dan ibu yang tidak layak menjaga anak-anak selepas penceraian dengan suami, tidak mempunyai reputasi baik, selain merupakan seorang yang telah melakukan jenayah di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

“Perkataan fitnah tersebut telah menjejaskan kedudukan plaintif sebagai pihak yang terlibat dalam permohonan mendapatkan hak penjagaan anak difailkan oleh bekas suami di mana plaintif boleh kehilangan hak penjagaan akibat tuduhan itu.

“Perkataan-perkataan sedemikian adalah palsu, tidak berasas dan dikeluarkan atau disebarkan dengan niat jahat dan plaintif telah mengalami kecederaan teruk terhadap karakter, penghormatan, reputasi peribadi dan menjejaskan kedudukannya,” katanya.

Sehubungan itu, plaintif memohon tuntutan ganti rugi sebanyak RM1 juta, ganti rugi teruk dan teladan serta faedah 5 peratus setahun ke atas jumlah ganti rugi yang diberikan dari tarikh penghakiman hingga ke tarikh pembayaran penuh jumlah tersebut.

Shahriah turut memohon satu injunksi untuk menghalang defendan-defendan sama ada melalui mereka atau apa cara pun menyebabkan perkataan fitnah disebarkan terhadap plaintif sama ada secara lisan, bertulis atau media cetak dan internet.

Plaintif juga memohon defendan-defendan mengeluarkan kenyataan memohon maaf secara bertulis untuk diedarkan kepada pihak berkenaan, kos-kos bagi tindakan ini dan relif lanjut yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.