Monday, January 21, 2013

Pulau panjang umur



PULAU Ikaria merupakan salah satu lokasi yang disenaraikan sebagai Zon Biru iaitu sebuah konsep demografi yang diperkenalkan Gianni Pes dan Michel Poulain.




STAMATIS Moriatis, 98, pernah didiagnosis menghidap kanser paru-paru pada tahun 1976 ketika menetap di Amerika Syarikat.


HAMPIR semua orang mempunyai teori tentang kunci kepada umur yang panjang serta tubuh yang sihat. Dengan kemajuan dalam bidang perubatan, tidak hairanlah kebanyakan golongan tua hari ini dapat menikmati hidup mereka dengan baik sehingga mencecah usia 80 tahun dan ke atas.
Penduduk yang tinggal di Pulau Ikaria, Greece melakukan sesuatu yang berbeza berbanding penduduk lain di dunia kerana mereka berpotensi untuk hidup satu dekad lebih lama berbanding penduduk Eropah lain sebelum dikaitkan dengan penyakit tua.
Pulau Ikaria ialah sebuah pulau yang seolah-olah imun kepada penyakit Alzheimer, jantung, kanser dan pelbagai penyakit yang dikaitkan dengan usia tua. Ia terletak kira-kira 30 kilometer dari Laut Aegean, Turki dan merupakan antara lima lokasi yang dikenali sebagai Zon Biru iaitu satu konsep demografi yang diperkenalkan oleh penyelidik Itali dan Belgium, Gianni Pes and Michel Poulain. Mengikut teori, manusia akan hidup lebih lama jika menetap di zon tersebut.
Terkenal sebagai lokasi tarikan kesihatan kerana memiliki sumber air panas yang berkhasiat, pulau tersebut tidak seperti kebanyakan pulau lain di Greece kerana tiada kelab malam di situ.
Rahsia panjang umur penduduknya hanya berbaring untuk mendapatkan sinaran cahaya matahari dengan purata suhu pulau yang lebih daripada 10 darjah Celcius walaupun pada kemuncak musim sejuk dan berdepan taburan hujan yang sangat sedikit pada musim panas.
Selain itu, faktor pemakanan sayur-sayuran tempatan atau menikmati pelbagai jenis teh herba tradisional Greece yang dihasilkan di pulau itu juga memberikan impak kepada rahsia panjang umur penduduknya.
Kanser
Menurut seorang penduduk, Stamatis Moriatis, dia telah didiagnosis menghidap kanser paru-paru pada tahun 1976 ketika tinggal di Amerika Syarikat (AS) dan diberitahu bahawa dia boleh hidup selama sembilan bulan sahaja lagi tetapi baru-baru ini dia menyambut ulang tahunnya yang ke-98.
“Sebenarnya umur saya jauh lebih tua mengikut dokumen kelahiran, iaitu pada 1 Januari 1915. Saya pernah menjadi askar pada Perang Dunia Kedua dan kemudian berhijrah ke England sebelum berkahwin dan menetap di AS.
“Ketika itu kos pengebumian di AS sangat mahal dan saya meminta kepada isteri untuk pulang menghabiskan sisa hidup di pulau kelahiran saya selain mahu dikebumikan berdekatan pusara orang tua saya apabila meninggal dunia nanti.
“Saya menjalani kehidupan biasa dengan bertemu rakan-rakan lama. Setiap hari berlalu tanpa terjadi apa-apa kepada saya. Saya juga menguruskan sebuah kebun zaitun.
“Beberapa tahun lalu saya kembali ke AS dan cuba mencari doktor yang mendiagnosis penyakit saya dahulu tetapi semuanya sudah meninggal dunia,” jelasnya kepada akhbar The New York Times.
Pasukan penyelidik dari Universiti Athens memutuskan untuk mengkaji pulau tersebut dengan lebih terperinci dan menerbitkan keputusan mereka pada tahun 2011.
Mereka melihat secara terperinci pada kehidupan kira-kira 1,420 penduduk Ikaria yang berumur lebih daripada 30 tahun, dengan 89 lelaki dan 98 wanita berusia lebih 80 tahun.
Aktif
Kajian mendapati, hampir 84 peratus lelaki berumur lebih 80 tahun dan hanya lebih 70 peratus daripada rakan-rakan perempuan mereka masih aktif.
Itu tidak menghairankan memandangkan daratan pulau itu terdiri daripada gunung-ganang, jadi penduduk secara semula jadi menjalankan aktiviti senaman dengan berjalan ke mana sahaja yang mereka mahu.
Kajian yang dijalankan mendapati, enam daripada 10 orang yang berumur 90 tahun masih menganggap diri mereka aktif berbanding purata sebanyak 20 peratus mereka yang meninggalkan pulau itu. Purata mereka yang merokok juga amat sedikit.
Nampaknya penduduk mendapat manfaat daripada diet Mediterranean yang ketat, dengan mengambil lebih banyak kentang dan menghasilkan tanaman sendiri.
Maka wang bukanlah kunci kepada kehidupan yang panjang dan bahagia kerana peratusan bagi mereka yang mempunyai tanda-tanda kemurungan adalah sedikit. Hanya 5.7 peratus lelaki dan 2.1 peratus wanita yang berumur lebih 80 tahun mempunyai status kewangan yang sangat baik.
Kebanyakan orang berusaha mendapatkan wang pada siang hari, tetapi berbeza bagi penduduk Pulau Ikaria yang lebih gemar melakukan pekerjaan pada waktu malam kerana hampir 84 peratus lelakinya dilaporkan tidur pada siang hari.
Kaji selidik itu turut menyimpulkan bahawa rahsia penduduk pulau tersebut panjang umur terletak pada aktiviti fizikal, tabiat pemakanan dan gaya hidup yang diamalkan mereka. Kemasukan Ikaria ke dalam senarai Zon Biru adalah lebih rasional.
Seorang penyelidik dari Universiti Athens, Dr. Christina Chrysohoou memberitahu, terdapat banyak faktor yang dapat mengekalkan tahap kesihatan seseorang.
“Penduduk di sini juga sebenarnya menderita pelbagai penyakit seperti yang dihidap manusia tetapi mereka menderita penyakit tersebut pada usia yang jauh lebih tua.
“Kita tidak boleh menghindari penyakit-penyakit ini, tapi penduduk di sini berupaya mempertahankan gaya hidup mereka selama bertahun-tahun. Rata-rata umur penghidap penyakit jantung di seluruh dunia antara 55 tahun hingga 60 tahun tetapi di Pulau Ikaria, ia menjadi 10 tahun lebih lambat,” beritahu beliau.

Reaksi Anda:

0 Komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...