Tuesday, December 28, 2010

60,000 guru ijazah 2015

40,000 dijangka ikuti program pensiswazahan mulai Mac tahun depan

KEMENTERIAN Pelajaran mempergiat usaha meningkatkan tahap kelulusan akademik pendidik pada Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10) menerusi memperuntukkan RM1.4 bilion bagi Program Pensiswazahan Guru (PPG).

Pengarah Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Datuk Mohd Ghazali Ab Rahman, berkata program bertujuan mencapai sasaran 60,000 guru sekolah rendah dan menengah memiliki ijazah menjelang 2015.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya 40,000 guru dijangka mengikuti PPG di institut pendidikan guru dan institusi pengajian tinggi seluruh negara mulai Mac. Mereka akan mengikuti pelbagai mata pelajaran dalam tempoh tiga setengah hingga empat tahun pengajian.

Guru yang mengikuti PPG katanya, diberi biasiswa kerajaan dengan kontrak perkhidmatan bagi mengikuti program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) supaya mereka kekal berkhidmat pada sesi persekolahan.

“PPG yang dilaksana pada RMKe-10 adalah penerus kepada dasar latihan keguruan yang dirancang sebelum ini bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang dipelajari untuk dilaksanakan pada sesi pengajaran.

“Program ini sejajar hasrat kerajaan meningkatkan jumlah guru berijazah di sekolah menengah daripada 89 peratus kini kepada 90 peratus menjelang 2015. Bagi sekolah rendah pula, kadar semasa 28 peratus ditingkatkan kepada 60 peratus bagi tempoh sama.

“PPG diiklankan sejak 21 November lalu dan sambutan menggalakkan. Setakat ini, kira-kira 20,000 permohonan diterima sepanjang tempoh sebulan,” katanya kepada Berita Harian di Putrajaya, baru-baru ini.

Mohd Ghazali berkata, lima syarat utama ditetapkan iaitu pemegang status warganegara, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Bukan Siswazah yang disahkan dalam jawatan.

Katanya, kakitangan dalam perkhidmatan di Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), sekolah rendah, sekolah menengah serta sekolah bantuan kerajaan kelolaan kementerian, juga layak memohon.

Umur pemohon tidak melebihi 45 tahun pada 1 Mac tahun depan selain memiliki Diploma Pendidikan/Perguruan atau Sijil Perguruan. Pemohon juga tidak berdaftar dengan mana-mana universiti sebagai pelajar sepenuh masa atau sambilan menerusi tajaan Kementerian Pelajaran.

Katanya, permohonan PPG secara dalam talian menerusi laman web www.moe.gov.my dan menggunakan e-perkhidmatan Kementerian Pelajaran.

Bagi guru di kawasan pedalaman, kementerian memberi kelonggaran dengan membenarkan mereka mereka mendaftar secara manual menerusi JPN atau PPD berhampiran.

“Permohonan secara dalam talian masih dibuka hingga hari ini (22 Disember ini). Urusan sokongan Pengetua/Guru Besar pada 25 Disember hingga 7 Januari depan dan pengesahan daripada JPN pada 8 Januari hingga 14 Januari depan.

“Pemohon boleh menyemak keputusan permohonan pada 15 Februari sebelum mendaftar pada 12 Mac,” katanya.

0 Komen: