Monday, December 6, 2010

Calon mohon KPLI kini perlu ada ijazah pengkhususan

KUALA LUMPUR 19 Jan. – Syarat Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) kini diperketatkan termasuk mewajibkan calon memiliki ijazah dalam subjek yang ingin diajar, kata Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Asariah Meor Sharuddin.

Beliau berkata, syarat itu yang bertujuan menghasilkan tenaga pengajar berkualiti dan guru pakar telah dilaksana sejak pengambilan tahun lepas.

"Kalau dahulu kita tak tekankan pada bidang pengkhususan pelajar semasa mereka di universiti kerana bagi kita memadai sekiranya mereka ada ijazah pertama. Tetapi sekarang mereka perlu ada ijazah dalam sesuatu subjek yang ingin diajar.

"Contohnya kalau mereka ingin mengajar subjek Matematik, mereka perlu ada ijazah dalam subjek itu bagi membolehkan mereka diterima mengikuti kursus ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Pengurusan Pelajar Baru KPLI pengambilan Januari 2010, di Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Ilmu Khas di sini, hari ini.

Mengenai jumlah pengambilan pelajar pada tahun ini, beliau berkata, seramai 1,473 orang daripada 60,000 pemohon dipilih untuk mengikuti 17 bidang pengajian di 27 buah kampus institut pendidikan guru yang pendaftarannya bermula semalam. - Bernama

Reaksi Anda:

0 Komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...