Monday, December 6, 2010

Kursus pengajaran subjek Sivik diperkenal

KUALA LUMPUR 24 Jun - Kementerian Pelajaran hari ini menjelaskan, ia memperkenalkan opsyen Malaysia Negaraku bagi mata pelajaran Sivik dan Kewarganegaraan dalam usaha melahirkan lebih ramai guru terlatih bagi subjek itu.

Unit Komunikasi Korporat kementerian dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, kursus berkenaan diperkenalkan di Institut Pendidikan Guru Malaysia bermula sesi pengambilan bulan ini.

"Ketika ini, 60 guru pelatih yang mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) menjadi perintis untuk kursus berkenaan.

"Kursus ini diwujudkan kerana peranan mata pelajaran tersebut sebagai subjek teras untuk semua murid tahap dua di sekolah rendah," kata kenyataan tersebut.

Kenyataan itu reaksi kepada surat pembaca bertajuk Latih lebih ramai guru Sivik oleh Sensei Mataisu dari Klang, Selangor yang disiarkan dalam ruangan Forum akhbar ini pada 14 Jun lalu.

Dalam surat itu, Sensei antara lain melahirkan kebimbangannya apabila terdapat sesetengah sekolah melabelkan kedua-dua subjek itu sebagai sampingan dan melantik guru tidak terlatih untuk mengajarnya.

Surat itu seterusnya menyeru kerajaan supaya segera melahirkan lebih ramai guru opsyen pengkhususan tersebut.

Sementara itu, kementerian memberitahu, menjadi tanggungjawab semua pihak termasuk pentadbiran sekolah untuk membina sahsiah dan potensi murid dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang perlu.

"Murid juga perlu dipupuk dengan pemikiran kritis dan kreatif serta kesedaran sivik untuk melahirkan individu yang dapat memainkan peranan berkesan dalam keluarga dan masyarakat.

"Berdasarkan pelaksanaan dan tindakan yang telah diambil, adalah menjadi satu keperluan bagi kementerian melahirkan lebih ramai guru opsyen pengkhususan mata pelajaran tersebut," kata kenyataan itu.

0 Komen: