Friday, December 10, 2010

Beri peluang guru sandaran diserap jadi guru tetap

http://duniacikgu.files.wordpress.com/2010/10/serap-gstt.jpg

Saudara Pengarang,
ISU guru siswazah yang tidak mencukupi di sekolah khasnya di kawasan pedalaman memang bukan perkara baru di negara kita terutamanya di negeri seperti Sarawak dan Sabah. Baru-baru ini kita dikejutkan lagi dengan cabaran yang bakal dihadapi oleh guru-guru sekolah di negara ini yang menghendaki agar mata pelajaran Matematik dan Sains diajar dalam Bahasa Inggeris. Di kawasan pedalaman, masih ada guru yang mengajar menengah atas dengan hanya memiliki kelayakan SPM.

Pengalaman mengajar di empat buah sekolah di sekitar kawasan Sarawak selama 5 tahun (sebaik sahaja menamatkan pengajian saya di sebuah universiti tempatan pada awal tahun 1997) telah sedikit sebanyak mematangkan saya tentang alam pendidikan. Bidang pengurusan yang dipelajari di IPTA tersebut dipergunakan sebaik mungkin walaupun ia tidak berkaitan secara langsungnya.

Malah sekarang ini, jawatan sebagai Ketua Panitia yang diamanahkan kepada saya oleh rakan-rakan Panitia yang lain (yang lama menjadi guru tetap) masih digenggam erat dan amat berbangga mengenainya walaupun hanya bergelar sandaran. Pencapaian yang memberansangkan dalam mata pelajaran serta kepelbagaian teknik pengajaran yang bersesuaian dengan tahap pelajar menyebabkan saya sering menerima pujian dan kadang-kadang terlupa bahawa diri ini hanyalah guru sandaran.

Pelbagai kursus yang berkenaan dengan bidang pengajaran dan pembelajaran telah dihadiri malah sijil kursus yang diperoleh semasa menjadi Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) ini lebih banyak berbanding dengan yang diperoleh semasa di alam persekolahan. Ini termasuklah sijil jurulatih sukan dan jurulatih pertolongan cemas.

Bagi GSTT, saat yang paling mendebarkan adalah apabila guru tetap datang ke sekolah, ramai yang berpeluh walaupun bilik guru berhawa dingin. Persoalan utama yang meniti di bibir mereka adalah ``guru itu mengajar subjek apa?'' Jika kena pada subjek yang diajar oleh GSTT, maka walau sebanyak manapun sumbangan yang telah mereka curahkan kepada sekolah sebelum ini, semuanya tinggal kenangan kerana terpaksa mengucap selamat tinggal kepada sekolah berkenaan.

Ada yang bertanya mengapa tidak memohon Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI)? Entah berapa kali sudah memohon, semuanya hampa. Jawapan yang selalu ditujukan kepada saya ialah ``ingin memberi peluang kepada GSTT yang telah lama mengajar'' dan ``ijazah anda tidak berkenaan dengan subjek yang dipohon.'' Keputusan yang cemerlang dalam SPM dan STPM rupanya-rupanya tidak banyak membantu hanya kerana saya memiliki ijazah pengurusan.

Saya terlalu memilih pekerjaan? Tidak, sudah semestinya tidak. Malah persoalan yang seharusnya timbul di sini ialah adakah pekerjaan ingin memilih saya? Sebaik sahaja menerima gelaran siswazah, pelbagai jawatan telah cuba dipohon.

Tajuk lagu yang sering dimainkan oleh si penemuduga ialah ``anda belum ada pengalaman'' (belum termasuk lagi liriknya). Bagi mencari pengalaman jawatan sebagai penolong pula yang dijadikan sasaran, lagu overqualified pula yang datang.

Nasib GSTT mungkin tidak sebaik guru Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang besar kemungkinan diserap ke sekolah kebangsaan. Apa yang cuba disampaikan di sini ialah berilah peluang kepada GSTT untuk diserap ke dalam sistem pendidikan atau diserap menjadi guru tetap khasnya yang telah mempunyai pengalaman mengajar lebih daripada lima tahun dan memegang pelbagai jawatan di sekolah.

Saya percaya ramai lagi yang mengalami nasib yang sama seperti saya malah yang paling lama berkhidmat sebagai GSTT yang pernah saya temui ialah berpengalaman mengajar selama lapan tahun dan memegang pelbagai jawatan penting di sekolah. - GSTT MALANG, Kuching, Sarawak.



0 Komen: