Wednesday, December 22, 2010

Menambah nilai dikir barat


KETUA Kumpulan Dikir Barat Tok Sangkut, Zulplay Mat Junus (tengah, pegang piala) bersama anggota kumpulannya yang muncul juara dalam pertandingan dikir barat pada Majlis Merakyatkan Seni Budaya Dikir Barat 1Malaysia di Pasir Mas, baru-baru ini.


PASIR MAS 16 Jun - Dikir barat yang merupakan satu bentuk hiburan tradisional masyarakat Kelantan terus subur kerana keupayaannya disesuai dan dikembangkan mengikut peredaran zaman.

Lazimnya pada masa silam, ia dinyanyikan secara berkumpulan oleh beberapa anak muda berbaju putih dengan lilitan kain sarung di pinggang dan batik lepas di kepala.

Di atas bangsal, tok juara dan tukang karut berlagu di tengah-tengah bulatan para pemain dan liriknya adalah apa sahaja yang terlintas di kepala mereka di tengah ban.

Selain sumber hiburan bagi meriahkan suasana dalam sesuatu majlis dan memenuhi slot di stesen radio tempatan, peranannya juga kini dipelbagaikan termasuk bagi mempromosikan produk perniagaan di samping menyampaikan maklumat.

Kumpulan-kumpulan dikir barat juga kini muncul dengan pelbagai kostum warna warni malah dipersembahkan dengan pelbagai gaya dan bahasa bagi menarik perhatian penonton.

Bagi Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, seni persembahan itu harus diperluaskan lagi sebagai landasan yang boleh memupuk perpaduan.

Beliau yakin ia boleh diterima oleh masyarakat berbilang kaum di negara ini kerana ia mudah disesuaikan dengan keadaan masyarakat setempat melalui pemilihan lagu dan irama.

Malah katanya, melalui lirik-lirik spontan ia boleh membawa pelbagai mesej yang ingin disampaikan oleh kerajaan termasuk gagasan 1Malaysia.

"Melalui dikir barat kita bukan sahaja dapat melihat seni dan budaya lama itu digarap dan dijadikan sebagai panduan dalam kehidupan tetapi sekali gus membawa semangat kekitaan.

"Kalau kita buat perbandingan, persembahan seni lain yang berbentuk solo tidak dapat menandingi dikir barat dalam menyampaikan mesej melalui kumpulan suara, gerak badan dan tepuk sorak yang dipersembahkan," katanya.

Rais menggambarkan harapannya itu ketika berucap merasmikan Majlis Merakyatkan Seni Budaya Dikir Barat 1Malaysia bersama kira-kira 5,000 pengunjung di Kampung Repek, Pasir Mas baru-baru ini.

Majlis tersebut yang diserikan dengan Pesta Dikir Barat berkonsepkan 1Malaysia dibuat sebagai menggilap bakat-bakat muda yang ada di seluruh Pasir Mas dalam mempersembahkan dikir barat yang sememangnya terkenal di negeri ini.

Sebanyak 18 kumpulan dikir barat yang dianggotai kira-kira 20 ahli bagi setiap kumpulan bertanding dalam pesta itu yang dianjurkan bersama oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKK) Kelantan dan Penggiat Seni Budaya Rantau Panjang.

Pesta yang mendapat sambutan mengagumkan daripada penduduk tempatan itu menampilkan persembahan dua kumpulan dikir barat iaitu Dikir Barat Kampung Tok Sangkut (KTS) dan Dikir Barat Kampung Senor (KS) yang bertembung di pentas akhir.

KTS dipilih menjadi juara dan menerima hadiah wang tunai RM2,000 manakala KS membawa pulang wang tunai RM1,500.

Mohd. Haniff Nasir dari KS pula dipilih sebagai Tok Jogho (Juara) manakala Tukang Karut KTS, Aidil Osman Abdullah turut memenangi gelaran terbaik dan kedua-duanya membawa pulang wang tunai RM200.

Rais berkata, selaras dengan usaha kementerian memperkenalkan budaya tempatan ke seluruh negara, kedua-dua kumpulan ini akan dibawa ke Kuala Lumpur untuk merakamkan persembahan mereka bagi siaran televisyen.

"Negeri Kelantan harus diberi penghargaan atas contohnya menampilkan seni tradisi lama ini tetapi sayang sekali olahan seni budaya ini tidak menyeluruh suatu ketika dulu.

"Tetapi dengan bimbingan JKK kita akan memberi ruang yang lebih kepada dikir barat sekali gus mencipta ketokohan berpantun, berseloka di samping penggunaan bahasa-bahasa indah dalam persembahan mereka," ujarnya.

Mengulas mengenai trend semasa masyarakat di bandar-bandar besar yang lebih menggemari hiburan semasa berbanding yang bersifat tradisional, Rais berkata, kementeriannya akan membawa seni dikir barat untuk dijadikan sebagai salah satu hiburan.

Jelasnya, kawasan perumahan di Lembah Kelang mempunyai masyarakat yang pelbagai kaum dan dikir barat amat sesuai untuk mendekati mereka bagi menjadikan seni itu milik bersama.

"Ia seharusnya dilakukan dengan cara kita memberi hadiah dan galakan kepada mereka, malah kebolehan tukang karut itu harus diiktiraf bakat mereka.

"Saya berminat membawa perkara ini kerana dikir barat mempunyai tarikan tersendiri dan juga ciri-ciri yang tidak ada pada kumpulan lain yang saya yakin kita boleh mencungkil bakat dan memperkenalkan bibit baru seni budaya itu," jelasnya.

0 Komen: