Friday, December 10, 2010

Berita baik bagi guru sandaran

http://blog.hedayat7.com/wp-content/uploads/2008/12/612px-kementerianpelajaran_putihsvg.png

MELAKA 24 Okt. - Kementerian Pelajaran merancang menyerap masuk guru sandaran tidak terlatih (GSTT) yang berkhidmat melebihi lima tahun ke dalam program Kursus Dalam Cuti (KDC) sebelum layak memegang jawatan tetap.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pihaknya sedang mengenal pasti GSTT yang berkhidmat lebih lima tahun daripada keseluruhan 12,000 orang yang mengikuti KDC.

Menurutnya, kementerian tidak mampu menyerap masuk kesemua GSTT mengikuti KDC memandangkan tempat yang disediakan agak terhad.

''Bagi memenuhi permintaan pelbagai pihak untuk mengambil guru sandaran ke jawatan tetap, mungkin kita boleh ambil GSTT yang berkhidmat lebih lima tahun mengikuti KDC sebelum mereka diserap ke jawatan tetap," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menutup Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) ke-22 di sini hari ini.

Katanya, kementerian menganggarkan kurang 1,000 GSTT yang sudah berkhidmat lebih lima tahun ketika ini.

''Jumlah mereka amat kecil, tidak sampai beribu orang, hanya mereka ini yang mungkin dipilih mengikuti KDC sebelum boleh diserap ke jawatan tetap," katanya.


0 Komen: