Tuesday, December 21, 2010

Nasi Kerabu Hijau


MEHTONG sedang menyediakan ramuan untuk sajian nasi kerabu hijau di Kampung Terbak, Tumpat semalam.


NASI kerabu cukup sinonim dengan negeri Cik Siti Wan Kembang. Namun, satu perkara yang mungkin tidak ramai mengetahuinya adalah hidangan yang menjadi simbol negeri Kelantan itu sebenarnya berasal dari negara jiran, Thailand. Masyarakat Melayu Kelantan menghasilkan variasi nasi kerabu. Daripada nasi yang berwarna kuning, biru dan hitam sehinggalah jenis nasi kerabu yang menggunakan kuah tumis berasaskan santan.

Nasi kerabu atau dalam bahasa Siamnya khao jam merupakan salah satu juadah istimewa masyarakat Siam Kelantan yang berasal dari Thailand. Suatu ketika dahulu, nasi kerabu lazimnya disediakan oleh penduduk kampung pada hari-hari keraian secara gotong-royong.

Khao dalam bahasa Thai yang membawa maksud nasi manakala jam pula bermaksud campuran.

"Perbezaan ketara antara nasi kerabu Siam dengan nasi kerabu Kelantan ialah ia tidak ada kuah tumis santan yang dimasak bersama budu seperti kaum Melayu Kelantan.

"Bahkan ramuan yang digunakannya untuk menghasilkan nasi kerabu Siam menggunakan bahan-bahan asli untuk memberi warna kepada nasi kerabu," kata Pengerusi Persatuan Masyarakat Siam Kelantan, Eh Chot Cha Chan ketika ditemui baru-baru ini.


VIPHADA (dua dari kiri) menghidangkan nasi kerabu hijau kepada pelanggan.


Menurut beliau, dalam pembuatan nasi kerabu Siam juga tiada bahan atau unsur haram cuma cara penyediaannya saja dilakukan oleh orang bukan Islam.

Pati air hijau

Pengusaha nasi kerabu asli berketurunan Siam, Mek Mas Ehtit, 71, misalnya, mula menjual nasi kerabu hijau dan bubur nasi seawal pukul 7 pagi hingga 6 petang setiap hari. Perniagaan tersebut dijalankan di pekarangan kompleks Wat Phikulthong Vararam, Kampung Terbak, Tumpat, kira-kira 20 kilometer (km) dari pusat bandar Kota Bharu. Mek Mas atau lebih mesra dengan panggilan Mehtong yang dibantu oleh anak dan cucunya mula memasak seawal pukul 6 pagi di rumahnya di Kampung Gelam Kechik di Tumpat.

"Nasi kerabu ini berwarna hijau kerana saya menggunakan perahan air dedaun hijau yang dikisar bersama serai. Ini termasuklah sejenis tumbuhan herba dipanggil kenchai atau temu lawak. "Bagi mendapatkan nasi yang sedap, saya menggunakan beras bermutu tinggi," katanya.

Antara bahan yang dikisar untuk mendapat pati air hijau tersebut termasuklah daun mengkudu, daun lagundi, daun kesum, daun serai kayu, daun cekur manis, daun pandan dan kunyit.

Menurut Mehtong, nasi kerabu hijau itu dihidangkan bersama bahan-bahan seperti bawang besar, bunga kantan, serai, daun kesum dan kacang panjang yang dihiris halus. "Selain itu, bahan wajib iaitu kelapa parut yang digoreng tanpa minyak dan ikan selayang bakar yang dikisar, budu, sambal cili padi dan kisaran lada hitam," katanya yang mempunyai pelanggan pelbagai kaum termasuklah masyarakat Melayu. Mehtong berkata, nasi kerabunya yang dijual pada harga RM1 sepinggan tanpa ayam atau daging bakar.


NASI kerabu hijau Mek Mas yang menyelerakan.


Salah seorang pelanggan tetapnya, Lee Leng Leng, 31, peniaga dari Kota Bharu berkata, nasi kerabu Mehtong cukup istimewa dan tidak dijual di tempat lain.

"Rasa nasi kerabunya sangat berbeza kerana aromanya, saya akan singgah di sini setiap kali ada urusan di Tumpat dan menempah beberapa bungkus untuk dibawa pulang," katanya. - ASMA HANIM MAHMOOD

0 Komen: