Sokong Kita semua tahu dunia di luar bandar tidak seseronok di bandar terutamanya bagi muda-mudi yang kononnya bercita-cita menjadi pendidik anak bangsa. Kita semua sudah sedia maklum bahawa guru adalah orang yang paling mulia dalam masyarakat kerana merekalah lilin yang rela membakar diri untuk anak bangsa. Jadi di manakah semangat lilin yang selalu digembar-gemburkan itu? Adakah anak bangsa di luar bandar tidak perlu diajar oleh guru-guru? Habis siapa yang perlu mendidik mereka? Tok Batin? Penghulu? Tauke balak? Kalau kita menunggu sukarelawan untuk berkhidmat, saya rasa belum tentu ada yang mahu tampil, maka wajarlah paksaan dikenakan terhadap guru-guru ini. Tak kenal maka tak cinta. Mungkin setelah mereka berada di sana, barulah mereka insaf dan sedar bahawa betapa besarnya pengorbanan yang telah mereka lakukan untuk anak bangsa. Mungkin juga semangat dan keazaman mereka lebih tinggi daripada mana-mana guru di Malaysia ini. Saya amat menghormati guru yang benar-benar menjadi lilin untuk masyarakat walau di mana mereka berada. – ANAK MURIDMU, Bandar Jengka, Pahang. Bantah Pada pendapat saya, beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang sebegitu. Kementerian Pelajaran seharusnya mencari alternatif yang lebih baik dan sesuai dengan keadaan semasa demi masa depan anak bangsa. Beliau perlu memikirkan implikasi yang akan timbul dengan arahan yang dibuat, antaranya: Keadaan rumah tangga yang tidak terurus disebabkan perpisahan suami, isteri dan anakanak. Boleh menyebabkan keruntuhan rumah tangga disebabkan suami isteri yang berjauhan (misalnya perceraian disebabkan suami bercinta lagi, isteri curang atau gangguan pihak ketiga disebabkan tinggal berjauhan dan sukar untuk berhubung dan jarang bertemu). Anak-anak akan terabai dan terbiar yang seterusnya mengakibatkan kesan yang lebih buruk (misalnya mat rempit, bohsia, penagih dadah atau bermacam gejala sosial lagi yang mungkin timbul kerana tiada pengawasan daripada ibu dan bapa yang sibuk mendidik anakanak orang lain). Saya hanya memberi dua contoh tetapi bagi saya amat menakutkan di zaman yang serba mencabar ini. Saya juga ingin mencadangkan: Guru-guru muda yang baru keluar dari KPLI atau maktab perguruan yang kebanyakannya adalah bujang disyaratkan mengajar di pedalaman sekurang-kurangnya setahun. Ambil calon guru dari daerah yang kekurangan guru dan mereka ini bolehlah ditempatkan di kawasan mereka apabila telah tamat kursus perguruan (sekurang-kurangnya sama negeri jika sukar untuk mendapatkan dari daerah yang sama). Saya berharap Yang Berhormat akan berfikir atau mengerahkan orangnya berfikir secara mendalam sebelum mengeluarkan sesuatu arahan atau kenyataan. – MOHD. SAYUTHI MAT ZIN, Kuala Lumpur.
SAYA amat bersetuju dengan Kementerian Pelajaran yang akhirnya telah bertegas dalam soal guru ke pedalaman ini. Seperti yang kita semua maklum, masalah ‘banyak songeh’ yang berlaku dalam dunia perguruan amat ketara dan salah satu ialah keengganan mereka berkhidmat di luar bandar kerana bermacam-macam alasan.
SAYA merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar mengenai penempatan guru di pedalaman.
0 Komen:
Post a Comment