Monday, December 6, 2010

Seragam gaji guru KPLI

KUALA LUMPUR 3 Julai – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan supaya gaji guru lepasan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) diseragamkan tanpa mengira jurusan yang diambil sebelum mengikuti kursus berkenaan.

Presiden NUTP, Hashim Adnan berkata, gaji permulaan yang berbeza di antara siswazah yang mengambil kursus kritikal dan sastera perlu dilakukan untuk mengurangkan rasa tidak puas hati guru lepasan KPLI yang mendapat gaji lebih rendah.

‘‘Mereka mengajar subjek yang sama di sekolah tetapi gaji dibayar berbeza mengikut jurusan yang diambil sebelum memasuki KPLI.

‘‘Keadaan ini juga akan mengurangkan peluang guru yang memiliki ijazah dalam jurusan sastera untuk naik pangkat kerana gred gaji yang lebih rendah berbanding mereka yang memiliki ijazah dalam bidang profesional,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat Exco NUTP Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Menurut Hashim, dalam mesyuarat itu NUTP turut mengeluarkan resolusi menyokong cadangan untuk memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tetapi dengan beberapa syarat.

‘‘Satu mekanisme yang berkesan untuk menilai prestasi pelajar perlu diwujudkan agar pelajar dan guru tidak hilang fokus dalam proses pembelajaran.

‘‘Walau apa bentuk ujian yang akan menggantikan UPSR dan PMR kelak, perlu ada pemantauan yang khusus oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia,’’ katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng berkata, persatuan itu menyokong penuh dasar 1Murid 1Sukan yang akan dilaksanakan tahun depan kerana dapat menanam budaya sukan dalam diri setiap murid dan merapatkan persefahaman di antara pelajar berbilang kaum.

0 Komen: